Pages

Thursday, December 4, 2014

MASALAH SHALAT BAGI WANITA HAIDH

MASALAH SHALAT BAGI WANITA HAIDH
WANITA HAIDH DAN NIFAS WAJIB MENGQADHA PUASA, NAMUN TIDAK MENGQADHA SHALAT [1]
1.    Dari Mu’adzah رضيﷲعنها  bahawasanya seorang wanita bertanya  kepada ‘Aisyah رضيﷲعنها : ”Apakah salah seorang dari kami wajib mengqadha shalatnya jika telah suci?” ‘Aisyah رضيﷲعنها menjawab :  “……. Kami mengalami haidh pada masa Rasulullah صلﷲﻋﻠﻴﻪﻮﺳﻠﻢ  , namun Beliau صلﷲﻋﻠﻴﻪﻮﺳﻠﻢ tidak memerintahkan kami mengqadha shalat.“ (Atau ‘Aisyah رضيﷲعنها berkata) : Kami tidak melakukannya.” [2] Adapun dalam lafadz yang lain disebutkan : “Kami diperintahkan untuk mengqadha puasa (yang ditinggalkan semasa haidh), namun tidak (diperintahkan) untuk mengqadha shalat (yang ditinggalkan semasa haidh).” [3]  

2.    Dari Ibnu ‘Abbas رضيﷲعنمها  ,  dia mengatakan : “Apabila seorang wanita yang berhaidh, suci (dari haidhnya) sesudah ‘Ashar (sebelum maghrib), maka hendaklah ia (qadha) shalat Zhuhur dan ‘Ashar,  dan sekiranya ia suci (dari haidhnya) sesudah (shalat) ‘Isya’ (sebelum Shubuh), maka hendaklah ia (qadha) shalat Maghrib dan ‘Isya’.”  [4]

3.    Dari ‘Abdurrahman bin ‘Auf رضيﷲعنه , dia berkata : ”Apabila seorang wanita berhaidh suci sebelum terbenam matahari, maka hendaklah ia shalat Zhuhur dan ‘Ashar, dan apabila dia suci (dari haidhnya) sebelum Fajar (Shubuh), maka hendaklah ia shalat Maghrib dan ‘Isya’.” [5]

KETERANGAN
Seluruh Fuqaha’ kecuali ‘ulamak Khawarij menetapkan bahawa wanita tidak wajib mengqadha shalat  yang ditinggalkan semasa dalam haidh, tetapi mereka wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan semasa haidh. [6]   Penetapan ini adalah benar berdasarkan Hadits ‘Aisyah رضيﷲعنها di atas.

Adapun bagi wanita yang suci haidhnya pada waktu ‘Ashar ataupun sebelum terbenam matahari, yakni sebelum Maghrib (kira-kira sekadar sempat shalat satu raka’at seperti yang disebutkan dalam Ihya’ ‘Ulumuddin), maka adakah ia wajib menqadha shalat ‘Ashar dan Zohor (yakni setelah ia mandi hadats)? ‘Ulama’ salaf tidak sepakat dalam masalah ini.

Menurut Al-Imam Asy-Syaukani رﺣﻤﻪﷲ  dalam Nailul Authaar (I/355), para ‘ulama salaf khilaf dalam masalah ini (yakni sebahagian mengatakan wajib qadha shalat ‘Ashar dan Zohor seperti yang disebutkan dalam Atsar No. 2 dan No. 3 di atas, yang lain pula menyatakan hanya wajib shalat ‘Ashar sahaja).  Ia mengatakan : “Imam Ahmad رﺣﻤﻪﷲ  mengatakan bahawa majoriti  ‘Ulama’ Tabi’in berpendapat seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu  ‘Abbas  رضيﷲعنمها  dan  ‘Abdurrahman bin ‘Auf  رضيﷲعنه ,  kecuali  al-Hasan Al-Bashri رﺣﻤﻪﷲ .”[7]

Para ‘Ulama’  yang berpendapat wajibnya mengqadha shalat Zhuhur dan ‘Ashar ke atas wanita apabila ia telah suci dari haidhnya sebelum matahari terbenam dan wajib mengqadha solat Maghrib dan ‘Isya’ apabila ia telah suci haidhnya sebelum fajar, adalah beralasan dengan pendapat Ibnu ‘Abbas رضيﷲعنمها dan Abdurrahman bin ‘Auf رضيﷲعنه , seperti di atas.

Mereka juga mengambil jalan ihtiyat (yang lebih selamat) dengan alasan mungkin darah haidh itu sebenarnya telah kering (suci) pada waktu Zhuhur atau pada waktu Maghrib lagi. Hanya sahaja keadaan itu tidak disedari oleh siwanita yang berkenaan disebabkan oleh kelalaiannya atau kealpaannya atau sebagainya.

Mereka juga berpendapat sedemikian dengan alasan bahawa ‘Ashar dan Zhuhur pasangan shalat jama’ bagi shalat siang , manakala ‘Isya’ dan Maghrib adalah pasangan shalat jama’ bagi shalat malam, samada jama’ ta’khir atau jama’ taqdim.

Alasan-alasan tersebut dijawab atau disanggah oleh ‘Ulama’-‘Ulama’ yang berpendapat sebaliknya (yakni wanita yang kering / suci dari haidhnya pada waktu ‘Ashar (sebelum Maghrib) atau ‘Isya’ (sebelum Fajar), hanya diwajibkan shalat ‘Ashar dan ‘Isya’ sahaja, tidak wajib mengqadha shalat Zhuhur atau Maghrib (mengikut mana-mana yang berkenaan) dengan alasan-alasan berikut :

Pertama :
Mereka berhujjah bahawa mewajibkan mengqadha shalat Zhuhur ke atas wanita yang kering/suci haidhnya pada waktu ‘Ashar (sebelum Maghrib) atau mewajibkan mengqadha shalat Maghrib ke atas wanita yang kering/suci pada waktu ‘Isya’ (sebelum Fajar) dengan berdasarkan pendapat Ibnu ‘Abbas رضيﷲعنمها dan Abdurrahman bin ‘Auf رضيﷲعنه , adalah tidak tepat kerana pendapat tersebut bercanggah dengan Hadits ‘Aisyah رضيﷲعنها  di atas yang menunjukkan para wanita tidak diwajibkan mengqadha shalat yang ditinggalkan semasa dalam haidh.

Kedua:
Mengenai hal ini (wanita tidak diwajibkan mengqadha shalat yang ditinggalkan semasa dalam haidh) telah diIjma’kan oleh ‘Ulama’ berdasarkan Hadits ‘Aisyah رضيﷲعنها  di atas, sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Imam Asy-Syaukani رﺣﻤﻪﷲ  dalam Nailul Authaar (I/354): Ibnul Mundzir, Al-Imam an-Nawawi dan selain keduanya رﺣﻤﻬﻢﷲ , menukil ijma’ kaum Muslimin dalam masalah ini, yaitu kaum wanita tidak wajib mengqadha shalat, namun wajib atasnya mengqadha puasa….” [8].

Al-Imam an-Nawawi رﺣﻤﻪﷲ dalam al-Majmuu’ (II/351) mengatakan : “At-Tirmidzi, Ibnul Munzir, Ibnu Jarir dan yang lainnya رﺣﻤﻬﻢﷲ telah menukil ijma’ bahawasanya ia (wanita) haidh dan nifas) tidak perlu mengqadha shalat, tetapi wajib mengqadha puasa…….” [9]

Hal ini sesungguhnya berdasarkan nash dan pendapat yang shahih dan yakin. Tidak ragu-ragu lagi yakni shalat yang ditinggalkan semasa dalam haidh tidak perlu diqadha.

Berdasarkan ketetapan ini, maka apabila wanita itu kering/suci dari haidhnya pada waktu ‘Ashar (sebelum maghrib) atau ‘Isya’ (sebelum Fajar), maka wanita itu diwajibkan bersuci (mandi hadats) pada waktu itu dan mengerjakan shalat ‘Ashar atau ‘Isya’ (mana-mana yang berkenaan). Demikianlah seterusnya.

Ia tidaklah sekali-kali diwajibkan mengqadha shalat Zhuhur atau Maghrib sebelumnya, kerana pada waktu itu ia masih lagi dalam haidh. Penetapan ini adalah kerana mengingatkan Hadits ‘Aisyah رضيﷲعنها  di atas, bahawa para wanita tidak diwajibkan mengqadha shalat yang ditinggalkan semasa haidh dan ini sudah jelas.  Oleh itu tidak timbul masalah ihtiyat (yang lebih selamat) di sini.

Kalau dikatakan “mungkin” wanita tersebut telah kering haidhnya pada waktu Zhuhur lagi, tetapi tidak disedari olehnya pada waktu itu kerana kecuaian, kealpaan atau sebagainya dan ia baru menyedari atau menyakini kering haidhnya itu pada waktu ‘Ashar sahaja, maka jawapannya adalah seperti berikut….yakni keringnya haidh itu pada waktu Zhuhur adalah satu kemungkinan sahaja. Maka bererti juga mungkin tidak kering lagi haidhnya pada waktu Zhuhur itu. Yang pastinya dia mengetahui darah haidhnya itu kering pada waktu ‘Ashar.  Ini adalah satu kepastian atau keyakinan sedangkan menurut qaidah, yang yakin tidak dapat dikalahkan oleh yang ragu, melainkan oleh yakin juga.

Adapun sikap berjaga-jaga atau berhati-hati mengenai hukum sememangnya dituntut oleh syara’.  Dalam masalah ini yang diminta berhati-hati adalah memerhatikan benar-benar bilakah darah haidhnya itu kering di hari-hari terakhir waktu haidhnya, bukan dengan cara mengqadha shalat pada waktu yang belum diyakini haidhnya telah kering (Zhuhur atau Maghrib).  Perhatikanlah.

Ketiga:
Mengenai alasan yang ketiga, yang mengatakan shalat Zhuhur dan ‘Ashar adalah regu shalat jama’ siang (maka kalau kering haidhnya pada waktu ‘Ashar ia diwajibkan shalat ‘Ashar dan mengqadha shalat Zhuhur sebelumnya), begitu juga shalat Mghrib dan ‘Isya’ adalah regu shalat jama’ malam (maka kalau kering haidhnya pada waktu ‘Isya’ ia diwajibkan shalat ‘Isya’ dan mengqadha shalat Maghrib sebelumnya), juga tidak dapat diterima, kerana menjama’ shalat (Zhuhur dan ‘Ashar / Maghrib dan ‘Isya’) dalam keadaan bermestautin (begitu juga dalam keadaan bermusafir), itu tidaklah diwajibkan. Bagaimana hendak mengenakan sesuatu yang tidak wajib kepada yang tidak diperintah? (Yakni jama’ shalat tersebut dalam masa bermestautin tidak disyari’atkan (kecuali dalam keadaan tertentu seperti hujan lebat, sakit dan sebagainya, diharuskan), sedangkan shalat dalam masa haidh tidak diwajibkan seperti yang dijelaskan dalam Hadits ‘Aisyah رضيﷲعنها . 

Oleh itu pendapat yang lebih mendekati kebenaran dalam masalah ini ialah para wanita yang kering / suci haidhnya pada waktu ‘Ashar atau ‘Isya’, hendaklah mandi hadats pada waktu itu juga, lalu mengerjakan shalat ‘Ashar atau ‘Isya’ itu sahaja dengan tidak diwajibkan mengqadha shalat Zhuhur atau Maghrib sebelumnya (seperti pendapat al-Hasan al-Bashri).  Demikianlah kesimpulan pendapat kami dalam masalah ini. 

ﻮﷲاﻋﻠﻢ
اﺑﻮﻣﺤﻤﺪﻧﺼﺮاﻟﺪﻳﻦاﻟﻜﻠﻨﺘﻨﻲ
22 November 1987
[Di taip semula dan diedit dengan izin : oleh Abu Mu'az @18 November 2014 (25 Muharram 1436)]







[1] Syaikh Husain bin “Audah al-‘Awaisyah, Ensiklopedi Fiqih Praktis Menurut Al-Qur-an dan as-Sunnah, Jilid 1:245 – 246, terj   
   Indonesia, Pustaka Imam Asy-Syafi’I, Jakarta, Cetakan I, 2009M.
[2] Ibid, ms, 246, notakaki no. 23, Diriwayatkan oleh al-Bukhari (no. 321), dan yang semakna dengannya oleh selainnya.
[3] Ibid, ms, 246, notakaki no. 23, Diriwayatkan oleh Muslim (no. 335), dan yang semakna dengannya oleh selainnya.
[4] & 5  Ibid, ms 246, dalam Nailul Authaar (I/355) disebutkan : “Keduanya diriwayatkan oleh Sa’id bin Manshur dalam
   Sunannya dan Al-Atsram.”

[6] Prof. T.M.Hasbi Ash-Shiddieqy, Koleksi Hadits-Hadits Hukum, 6:224, Pt. Al-Ma’arif, Bandung, Indon, cet.I, 1966
[7] Syaikh Husain bin “Audah al-‘Awaisyah, Ensiklopedi Fiqih Praktis Menurut Al-Qur-an dan as-Sunnah, Jilid 1:246, terj    
   Indonesia,  Pustaka Imam Asy-Syafi’I, Jakarta, Cetakan I, 2009M.

[8] Ibid, ms 226.
[9] Ibid, ms 226.

No comments:

Post a Comment