MUQADDIMAH
1.
Nadzar[1]
merupakan satu persoalan yang cukup uniq kerana pada dasarnya ia dilarang,
namun jika sudah terlanjur bernadzar, nadzarnya itu tidak dianggap batal[2],
bahkan dituntut, yakni wajib menunaikannya[3].
Demikian ditegaskan oleh Al-Khaththabi sebagaimana yang disebutkan oleh
Asy-Syaukani dalam Nailul Authaar[4].
Pendapat yang hampir sama juga disebutkan oleh Syeikh ‘Abdullah Al-Bassam dalam
Taudhiih Al-Ahkam Min Bulugh Al-Maraam[5].
2.
Secara umumnya pendapat tersebut (di perenggan 1) ada kebenarannya, kerana
Nabi SAW sendiri pernah melarang nadzar seperti sabdanya:
عن ابن عمر رضي الله عنهما قال: نهى النبي (ص) عن النذر وقال: إنه لا يرد شيئا، وإنما
يستخرج به من البخيل.
“Dari Ibnu ‘Umar r.a, katanya: Nabi SAW melarang bernadzar dan
Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya nadzar tidak mampu menolak sesuatu pun dan
sesungguhnya nadzar hanya dikeluarkan dari (oleh) orang bakhil”. (H.R.
Bukhari, no. 6608 & Muslim, no. 1639. Lafaz ini milik Bukhari)
Dalam hadits Ibnu ‘Umar yang lain disebutkan:
نهى النبي (ص) عن النذر وقال: إنه لا يرد شيئا، ولكنه
يستخرج من البخيل.
“Nabi SAW melarang dari bernadzar dan bersabda: Sesungguhnya
nadzar tidak mampu menolak sesuatu, akan tetapi ianya dikeluarkan dari (oleh)
orang bakhil.” (H.R. Bukhari,
no.6639).
Diterima juga
daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
لا تنذروا فإن النذر لا يغنى من القدر شيئا، وإنما
يستخرج به من البخيل.
“Janganlah kamu bernadzar kerana sesungguhnya nadzar tidak
berpengaruh apa-apa terhadap taqdir dan sesungguhnya nadzar hanya dikeluarkan
dari (oleh) orang bakhil.” (H.R.
Muslim, no.1640(5); Tirmizi, no.1538; dan Nasaa’i, no.3805).
Dari
Abu Hurairah juga bahawasanya Nabi SAW bersabda:
إن النذر لا يقرب من ابن آدم شيئا لم يكن الله قدره له،
ولكن النذر يوافق القدر، فيخرج بذلك من البخيل ما لم يكن البخيل يريد أن يخرج.
“Sesungguhnya nadzar tidak dapat mendekatkan seseorang anak Adam
sedikitpun dari yang tidak ditaqdirkan Allah untuknya, akan tetapi nadzar
mengikuti taqdir (sehingga dengan demikian), maka ia dikeluarkan dari (oleh)
orang bakhil ketika orang bakhil tersebut enggan mengeluarkannya.” (H.R. Muslim, no.1640(7))
3.
Larangan dalam hadits-hadits di atas dan hadits-hadits lain yang semakna
dengannya oleh sebahagian ulama’ dikatakan bermaksud haram. Di antara
yang berpendapat demikian ialah Asy-Syaukani dalam Nailul Authaar[6].
Ash-Shan’ani dalam Subulus Salam[7],
seakan-akan cenderung kepada pendapat ini.
4.
Menurut Al-Qurthubi, larangan tersebut adalah makruh[8].
Pendapat ini dipersetujui oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani. Katanya: “Saya
hairan terhadap orang yang mengatakan bahawasanya nadzar tidak makruh, padahal
larangannya telah dikemukakan oleh Nabi SAW, kerana paling tidak, tingkat
larangan itu adalah makruh tanzih.”[9]
Para ulama’ Mazhab Hanbali dengan tegas
memakruhkannya[10].
Imam At-Tirmizi menyebut beberapa ulama’ dari kalangan sahabat Nabi SAW
memakruhkan bernadzar.[11]
Menurut Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim, jumhur ulama’ menghukumi nadzar,
makruh.[12]
5.
Sebahagian ulama’ lain di antaranya An-Nawawi dalam At-Tahzib menegaskan
nadzar dianjurkan ataupun mustahab[13].
Pendapat ini juga didokong oleh Al-Qadhi Husain, Al-Mutawalli dan Al-Ghazali.[14]
Jumhur ulama’ Malikiyah juga berpendapat demikian.[15]
6.
Keanehan atau keuniqan nadzar sebagaimana yang ditegaskan oleh
Al-Khaththabi seperti yang disebutkan dalam perenggan satu (1) di atas, nampak
bertambah jelas apabila diperhatikan kata-kata Ibnu Al-Mubarak, iaitu makruh
bernadzar baik untuk melakukan ketha’atan ataupun ma’shiat kepada Allah.
Maksudnya, jika seseorang bernadzar untuk melakukan ketha’atan, lalu
dilaksanakannya (ditunaikan), ia mendapat pahala, tetapi ditegah baginya
bernazar.[16]
7.
Sebagai kompromi dari pelbagai pendapat di atas dapat dikatakan bahawa
bernadzar untuk melakukan ketha’atan kepada Allah apabila hajatnya ditunaikan
oleh Allah, hukumnya makruh. Namun, nadzar tersebut wajib ditunaikannya apabila
hajatnya tercapai. Letak makruh hukumnya ialah meletakkan syarat untuk
melakukan ketha’atan kepada Allah apabila hajatnya tercapai. Kalau hajatnya
tidak tercapai, ketha’atan yang dinadzarkan itu tidak dilaksanakan. Dengan
demikian, jelas dia adalah seorang yang bakhil dalam melakukan ketha’atan (yang
dinadzarkan) kepada Allah. Inilah yang dimaksudkan oleh hadits-hadits yang
disebutkan dalam perenggan (2) di atas.[17]
Adapun nadzar yang haram ialah nadzar (samada nadzar muthlaq atau nadzar
muqayyad)[18]
untuk melakukan ma’shiat kepada Allah, berdasarkan hadits:
من
نذر أن يطيع الله فليطعه، ومن نذر أن يعصيه فلا يعصه
“Barangsiapa yang bernadzar untuk
mentha’ati Allah, maka hendaklah dia mentha’atinya dan barangsiapa yang
bernadzar untuk mema’shiatinya, maka janganlah dia mema’shiatinya.”
(H.R. Bukhari, no.6696 & 6700; Abu Daud, no.3289; Tirmizi, no.1526; Nasa’I,
no.3806; Ibnu Majah, no.2126).
8. Manakala nadzar yang dianjurkan, bahkan
dipuji oleh Allah ialah Nadzar Muthlaq untuk melakukan ketha’atan kepada
Allah, lalu dia menunaikannya. Inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah:
يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ
مُسْتَطِيرا
“ Mereka menunaikan nadzar dan mereka
takut suatu hari yang ‘azabnya merata”
(Al-Insan, 76: 7)
Menurut
Qatadah sebagaimana yang disebutkan oleh Ath-Thabari dengan sanad yang shahih,
yang dimaksudkan dengan ayat يُوفُونَ بِالنَّذْرِ (mereka
menunaikan nadzar) ialah mereka bernadzar (secara muthlaq) kepada Allah
untuk melakukan ketha’atan seperti solat, puasa, zakat dan haji serta ‘umrah
dan kewajipan-kewajipan lainnya, lalu mereka menunaikannya. Oleh kerana itulah,
Allah SWT menamai mereka sebagai orang-orang yang abraar (yang membuat
kebajikan)[19] seperti firmanNya:
إِنَّ الْأَبْرَارَ يَشْرَبُونَ مِن كَأْسٍ
كَانَ مِزَاجُهَا كَافُورا- ٥ عَيْنًا يَشْرَبُ بِهَا عِبَادُ اللَّهِ يُفَجِّرُونَهَا تَفْجِيرًا- ٦ يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرا -٧
“Sesungguhnya
orang-orang yang abraar (berbuat kebajikan), minum dari gelas (berisi minuman)
yang campurannya adalah kaafur [20]. (Iaitu) mata air
(dalam syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat
mengalirkannya dengan sebaik-baiknya. Mereka menunaikan nadzar dan mereka takut
akan suatu hari yang ‘azabnya merata di mana-mana.”
(Al-Insan, 76: 5-7)
Menurut
Asy-Syaukani, ayat ini menunjukkan dengan tegas bahawa pujian Allah hanya
berlaku terhadap nadzar muthlaq, iaitu nadzar yang bebas dari unsur imbalan dan
kepentingan pihak yang bernadzar.[21]
9. Ulama’ yang
berpendapat nadzar di anjurkan, juga mendasarkan pendapat mereka kepada firman
Allah:
وَمَا أَنفَقْتُم
مِّن نَّفَقَةٍ أَوْ نَذَرْتُم مِّن نَّذْرٍ فَإِنَّ اللّهَ يَعْلَمُهُ
”Dan apa saja infaq yang kamu infaqkan atau nadzar yang kamu
nadzarkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Al-Baqarah, 2:
270)
10.
Baik ulama’ yang mengatakan nadzar itu makruh, maupun dianjurkan, namun
apabila sudah terlanjur bernadzar untuk melakukan ketha’atan kepada Allah,
nadzar tersebut wajib ditunaikan, berdasarkan hadits ‘Aisyah r.a bahawasanya
Nabi SAW bersabda:
من
نذر أن يطيع الله فليطعه، ومن نذر أن يعصيه فلا يعصه
“Barangsiapa
yang bernadzar untuk mentha’ati Allah, maka hendaklah dia mentha’atinya dan
barangsiapa yang bernadzar untuk mema’shiatinya, maka janganlah dia
mema’shiatinya.” (H.R. Bukhari, no.6696 & 6670;
Abu Daud, no.3289; Tirmizi, no.1526; Nasaa’i, no.3806; Ibnu Majah, no.2126)
Namun,
apabila bernadzar untuk melakukan ma’shiat kepada Allah, maka dia tidak wajib
menunaikannya bahkan haram baginya menunaikannya. Bahkan nadzarnya itu tidak
sah dan tidak ada kafarat kerana tidak menunaikannya,[22]
berdasarkan hadits ‘Aisyah di perenggan no. (10) di atas. Juga berdasarkan
hadits ‘Imran bin Hushain bahawasanya Nabi SAW bersabda:
لا نذر في معصية
الله ولا في ما لا يملك ابن آدم
“Tidak ada nadzar dalam mema’shiati Allah dan tidak ada nadzar dalam perkara yang tidak
dimiliki anak Adam.” (H.R. Nasaa’i,
no.3812-shahih)[23]
Dalam riwayat Ibnu Hujr, Nabi SAW bersabda:
لا نذر في معصية الله
“Tidak ada nadzar dalam mema’shiati
Allah.”
(H.R. Muslim, no.1641)
Juga berdasarkan
hadits ‘Imran bin Hushain:
لا وفاء لنذر في معصية ، ولا في ما لا يملك العبد
“Tidak boleh menunaikan nadzar dalam perkara ma’shiat dan tidak
(boleh pula menunaikan nadzar) pada sesuatu yang tidak dimiliki oleh seorang
hamba.” (H.R. Muslim, no.1641; dan
Abu Daud, no. 3316. Lafaz ini milik Muslim)
Jenis-jenis
Nadzar
11.
Dari segi lafaznya, nadzar terdiri dari dua jenis, Nadzar Muthlaq
dan Nazar Muqayyad.[24]
Nadzar Muthlaq bermaksud mewajibkan ke atas diri untuk melakukan sesuatu tanpa
mensyaratkan sesuatu. Misalnya
seorang mengatakan:”Kerana Allah aku bernadzar berpuasa tiga hari”. Ini
merupakan Nadzar Muthlaq jenis pertama, iaitu Nadzar Muthlaq yang isinya cukup
jelas. Manakala Nadzar Muthlaq jenis kedua pula, ialah Nadzar Muthlaq yang
disebutkan tanpa menegaskan dengan jelas apa yang dinadzarkannya. Misalnya,
seorang mengatakan:”Kerana Allah aku bernadzar”.[25]
12.
Nadzar Muthlaq yang pertama (yang jelas) boleh berlaku
dengan menggunakan kalimah nadzar secara jelas seperti seorang mengatakan: “Kerana
Allah aku bernadzar berpuasa tiga hari”, dan boleh juga berlaku secara
tidak jelas, yakni dengan tidak menggunakan kalimah nadzar. “Kerana Allah
aku wajib berpuasa tiga hari.” [26]
13.
Nadzar Muqayyad ialah mewajibkan ke atas diri untuk
melakukan sesuatu sekiranya hajatnya diperkenankan oleh Allah. Misalnya, “Kerana
Allah aku bernadzar untuk berpuasa tiga
hari jika penyakit yang aku alami ini sembuh”, atau “sekiranya Allah
menyembuhkan penyakitku ini, aku akan memberi makan tiga orang miskin”,
atau “aku berjanji, jika penyakitku ini sembuh, aku akan puasa tiga hari”,
atau “jika aku mendapat kawasan balak yang aku minta ini, wajib atasku puasa
3 hari” dan lain-lain seumpamanya.[27]
14.
Baik Nadzar Muthlaq maupun Nadzar Muqayyad, dilihat dari
segi isi kandungan yang dinadzarkan / dilafazkan, ianya dapat dibahagi kepada 4
jenis, iaitu:
i.
Nadzar untuk melakukan ketha’atan;
ii.
Nadzar untuk melakukan ma’shiat;
iii.
Nadzar untuk melakukan perkara-perkara yang makruh; dan
15.
Nadzar Muthlaq yang jelas untuk melakukan ketha’atan
kepada Allah SWT. Misalnya, “Kerana
Allah aku bernadzar berpuasa tiga hari”, atau “kerana Allah wajib bagiku
berpuasa tiga hari”, atau “kerana
Allah wajib bagiku memberi makan kepada tiga orang miskin”. Nadzar seumpama
ini dianjurkan, bahkan dipuji oleh Allah bagi orang yang bernadzar dan yang
menunaikannya.[30] Allah menyebut orang yang seumpama ini dengan orang-orang
“al-Abraar” (orang-orang yang berbuat kebajikan) seperti firmanNya:
إِنَّ الْأَبْرَارَ يَشْرَبُونَ مِن كَأْسٍ
كَانَ مِزَاجُهَا كَافُورا- ٥ عَيْنًا يَشْرَبُ بِهَا عِبَادُ اللَّهِ يُفَجِّرُونَهَا تَفْجِيرًا-
٦
يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرا
-٧
“Sesungguhnya
orang-orang yang abraar (berbuat kebajikan), minum dari gelas (berisi minuman)
yang campurannya adalah kaafur. (Iaitu) mata air (dalam syurga) yang
daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan
sebaik-baiknya. Mereka menunaikan
nadzar dan mereka takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana.”
(Al-Insan, 76: 5-7)
16.
Nadzar
ini wajib ditunaikan berdasarkan firman Allah di atas. Juga berdasarkan firmanNya yang lain:
وَأَوْفُوا
بِعَهْدِ اللَّهِ إِذَا عَاهَدْ
تُمْ
“Dan tunaikanlah perjanjian dengan Allah apabila kamu
berjanji.”(an-Nahl, 16:91)
Juga berdasarkan firmanNya:
ثُمَّ لْيَقْضُوا
تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
“Kemudian,
hendaklah mereka menghilangkan kotoran (dengan memotong rambut, mengerat kuku,
dan sebagainya.) yang ada pada badan mereka dan hendaklah mereka menyempurnakan
nadzar-nadzar mereka”
(Al-Hajj, 22: 29)
Juga berdasarkan sabda Nabi SAW:
من نذر أن يطيع
الله فليطعه
“Barangsiapa yang
bernadzar untuk mentha’ati Allah, maka hendaklah dia mentha’atinya….” (H.R. Bukhari, no.6696 & 6700; Abu Daud, no.3289;
Tirmizi, no.1526; Nasaa’i, no.3806; Ibnu Majah, no.2126)
17.
Nadzar Muthlaq yang tidak dijelaskan / ditentukan apa
yang dinadzarkannya. Misalnya
seorang mengatakan: “Kerana Allah aku bernazar”. Nadzar seperti ini,
hukumnya wajib ditunaikan dengan kifarat sumpah[31], berdasarkan hadits ‘Uqbah bin ‘Aamir r.a, katanya,
Rasulullah SAW bersabda:
كفارة
النذر إذا لم يسم كفارة يمين
“Kafarat nadzar, apabila tidak disebut (nadzarnya) adalah
kafarat sumpah” (H.R. Tirmizi,
no. 1528, katanya: hasan shahih gharib)
Juga berdasarkan hadits Ibnu Abbas r.a bahawasanya
Nabi SAW bersabda:
من
نذر ولم يسمه فكفارته كفارة يمين
“Barangsiapa yang bernadzar dan tidak menyebutnya (apa
yang di) nazarnya, maka kafaratnya adalah kafarat sumpah.” (H.R. Abu Daud, no. 3322).[32]
Menurut Ash-Shan’ani dalam Subulus Salam[33],
demikianlah pendapat jumhur ulama’. Menurut penulis, inilah pendapat yang benar
InsyaAllah, berdasarkan hadits-hadits tersebut.
18.
Demikian juga dengan Nadzar Muthlaq yang jelas untuk melakukan
ketha’atan kepada Allah seperti yang disebutkan di perenggan 15 di atas,
apabila tidak ditunaikan, maka orang yang berkenaan wajib membayar kafarat
sumpah[34].
19.
Adapun KAFARAT SUMPAH adalah seperti berikut, iaitu
melakukan salah satu dari perkara-perkara berikut[35]:
1.
Memberi makan 10 orang miskin (dari makanan yang biasa dimakan bersama
keluarga); atau
2.
Memberi pakaian kepada 10 orang miskin; atau
3.
Memerdekakan seorang hamba.
4.
Sekiranya tidak mampu melakukan salah satu dari perkara-perkara di no.
1-3 di atas di atas, hendaklah ia berpuasa selama 3 hari.
Penetapan tersebut adalah berdasarkan firman Allah:
لَا
يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ
بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ
مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ
رَقَبَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ
أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ
“Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu
yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia (Allah) menghukum kamu
disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kafarat (melanggar) sumpah
itu ialah memberi makan 10 orang miskin (iaitu) dari makanan yang biasa kamu
berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka (10 orang
miskin), atau memerdekakan seorang hamba. Barangsiapa tidak sanggup melakukan demikian, maka
kafaratnya, puasa selama 3 hari.
Yang demikian itu adalah kafarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu
langgarinya).” (Al-Maa-idah, 5: 89)
20.
Barangsiapa yang bernadzar secara muqayyad untuk melakukan ketha’atan
kepada Allah, misalnya
seorang mengatakan:”Jika Allah menyembuhkan penyakitku ini, atau
mengembalikan barangku yang hilang, maka aku akan memberikan makanan kepada 10
orang atau aku akan puasa 3 hari”. Nadzar Muqayyad ini hukumnya makruh[36],
tetapi wajib ditunaikannya, apabila hajatnya itu tercapai[37].
Namun, jika Allah tidak memenuhi hajatnya, maka tidak wajib baginya menunaikan
nadzarnya itu[38]
dan tidak ada kafarat baginya. Namun, jika dia tidak menunaikan nadzarnya itu
setelah hajatnya dipenuhi, dia diwajibkan membayar kafarat.
21.
Barangsiapa yang bernadzar melakukan ketha’atan melalui cara yang
menyusahkan dirinya sendiri, sedangkan cara yang sedemikian tidak ada
tuntunannya dari Al-Qur’an maupun As-sunnah, misalnya seorang yang mengatakan: “Jika penyakitku ini sembuh, aku
akan puasa satu hari dalam keadaan berdiri di bawah panas cahaya matahari, tidak
akan duduk, tidak akan berteduh dan tidak akan bercakap”.
Nadzar seumpama ini mengandungi dua aspek:
1. Berpuasa : Ini ketha’atan kepada Allah dan wajib
ditunaikan apabila hajatnya tercapai;
2. Berdiri di bawah panas matahari, tidak duduk, tidak
akan berteduh dan tidak akan bercakap. Ini merupakan penyeksaan diri dan
tidak termasuk ketha’atan kepada Allah. Nadzar semacam ini tidak sah[39], tidak
wajib ditunaikan, walaupun hajatnya tercapai dan tidak ada kafarat
baginya[40].
Hal
ini berdasarkan hadits Ibnu ‘Abbas r.a, katanya:
بينا النبي (ص) يخطب، إذا هو برجل قائم فسأل عنه فقالوا:
أبو إسرائيل، نذر أن يقوم ( في الشمس) ولا يقعد ولا يستظل ولا يتكلم (أن) يصوم.
فقال النبي صلعم: مره فليتكلم وليستظل وليقعد وليتم صومه.
“Ketika Nabi SAW berkhutbah, tiba-tiba seorang lelaki berdiri,
lalu Nabi SAW bertanya perihal lelaki tersebut. Mereka (para sahabat) menjawab:
(Lelaki yang berdiri itu ialah) Abu Israa-il, telah bernadzar untuk berdiri (di
bawah panas matahari), tidak duduk, tidak berteduh, tidak berkata-kata dan
(dalam keadaan) berpuasa. Maka Nabi SAW bersabda: Suruhlah dia berkata-kata,
berteduh, duduk dan hendaklah dia menyempurnakan puasanya.” (H.R. Bukhari, no. 6704; Abu Daud, no.2136. Lafaz ini
milik Bukhari dan tambahan dalam kurungan pertama & kedua, milik Ibnu
Majah. Hadits ini juga diriwayatkan oleh Ahmad (4: 161) dan Al-Baihaqi (10:75)
sebagaimana disebutkan oleh Ahmad Abu Al-Majd dalam takhrijnya terhadap
Bidayatul Mujtahid, 1: 890, notakaki no. 906, karya Ibnu Rusyd.[41])
22.
Menurut Ash-Syaukani dalam Nailul Authaar, hadits ini merupakan hujah
terbesar bagi jumhur ulama’ bahawa tidak wajib membayar kafarat bagi orang yang
bernadzar ma’shiat atau bernadzar melakukan sesuatu yang tidak termasuk
ketha’atan kepada Allah.[42]
Imam Malik mengatakan dia tidak pernah mendengar (mengetahui) Rasulullah SAW
menyuruh orang yang bernadzar sedemikian itu membayar kafarat.[43]
Al-Qurtubi mengatakan, hadits mengenai nadzar Abu Israa-il ini (seperti di
perenggan 21 di atas) merupakan alasan terkuat bagi jumhur ulama’ mengenai
tidak wajibnya membayar kafarat bagi nadzar ma’shiat atau nadzar yang tidak
mampu dilaksanakan.[44] Menurut
penulis, inilah pendapat yang benar, berdasarkan zahir hadits (di perenggan
21) Abu Israa-il di atas, kerana dalam hadits tersebut Nabi SAW melarang Abu
Israa-il memenuhi nadzarnya untuk berdiri di bawah panas matahari, tidak duduk,
tidak berteduh dan tidak berkata-kata, namun nadzarnya untuk berpuasa hendaklah
disempurnakan. Nabi SAW tidak pula menyuruh Abu Israa-il membayar kafarat
kerana tidak memenuhi nadzarnya untuk berdiri di bawah panas matahari…
Perhatikanlah! Mudah-mudahan Allah SWT menganugerahkan petunjukNya kepada kita.
23.
Demikian juga jika seseorang bernadzar untuk berjalan kaki ke
Baitullah, sedangkan ia berada di tempat jauh dan tidak mampu untuk berjalan ke
Baitullah, maka ia tidak wajib menunaikan nadzarnya itu dengan berjalan kaki ke
Baitullah, tetapi ia tetap wajib ke Baitullah dengan berkenderaan dan juga
berjalan kaki sedikit sekadar kemampuannya dan kalau tak mampu berjalan, hanya
dengan berkenderaan. Penetapan ini adalah berdasarkan hadits Anas r.a:
أن
النبي ( ص) رأى شيخا يهادى بين ابنيه (ف)
قال: ما بال هذا؟ قالوا: نذر أن يمشي. قال: إن الله عن تعذيب هذا نفسه لغني. وأمره
أن يركب.
“Bahawasanya nabi SAW melihat
seorang lelaki tua dipapah (dipimpin) oleh dua orang anak lelakinya. (Lalu)
Nabi SAW bertanya: Kenapa orang ini? Mereka (para sahabat) menjawab: Dia
bernadzar untuk berjalan kaki (ke Baitullah). Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya
Allah tidak memerlukan penyeksaan orang ini terhadap dirinya. Dan suruhlah dia
berkenderaan.” (H.R.Bukhari,
no.1865, dan Muslim, no.1642. Tambahan dalam kurungan (ف) adalah dalam riwayat Muslim. Muslim meriwayatkan
di bawah bab من نذر أن يمشي الى كعبة , manakala
Bukhari di bawah bab من نذر المشي الى الكعبة , kedua-duanya membawa makna orang yang
bernadzar berjalan kaki ke Ka’bah ).
Dalam
hadits lain yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Sa’id bin Abi Ayub bahawa
Yazid bin Abi Habib mengkhabarkan kepadanya, bahawasanya Abu Al-Khair
menceritakan kepadanya daripada ‘Uqbah bin ‘Aamir, katanya:
نذرت
أختي أن تمشي إلى بيت الله، وأمرتني أن أستفتي لها النبي (ص)، فاستفتيته، فقال
(ص): لتمشى ولتركب
“Saudara perempuanku bernadzar
untuk berjalan kaki ke Baitullah dan dia memerintahkan aku meminta fatwa kepada
Nabi SAW (mengenai nadzar itu) untuknya. Lalu aku pun meminta fatwa kepada Nabi
SAW, maka Nabi SAW bersabda: Hendaklah ia (saudara perempuanmu) berjalan kaki
dan berkenderaan.” (H.R.Bukhari
dalam shahihnya, bab من نذر المشي الى الكعبة , no.1866; dan
Muslim, no.1644)
24.
Dalam hadits Anas (perenggan 23 di atas) yang diriwayatkan oleh Bukhari,
menunjukkan nadzar berjalan kaki ke Baitullah untuk melakukan ibadat tidak
wajib dilaksanakan sekiranya orang yang bernadzar itu tidak mampu mendatanginya
dengan berjalan kaki. Bahkan orang yang berkenaan boleh dan hendaklah
mendatanginya dengan berkenderaan untuk menjalankan ketha’atan yang
dinadzarkannya itu. Dalam hal ini dia tidak diwajibkan membayar kafarat kerana
tidak berjalan kaki itu, disebabkan dia tidak mampu, sehingga terpaksa dipapah
(dipimpin) oleh dua orang anak lelakinya. Dan Nabi SAW tidak pula memerintahkan
lelaki tersebut membayar kafarat.
25.
Sementara dalam hadits ‘Uqbah bin ‘Aamir (perenggan 23) pula, Nabi SAW
memerintahkan supaya saudara perempuan ‘Uqbah menunaikan nadzarnya untuk
berjalan kai ke Baitullah sekiranya dia mampu atau sekadar kemampuannya dan
menyuruhnya berkenderaan sahaja sekiranya dia benar-benar tidak mampu[45],
atau berjalan sejauh kemampuannya dan bakinya disempurnakan dengan
berkenderaan. Dalam hal ini, juga tidak diwajibkan membayar kafarat, kerana
hal tersebut langsung tidak disentuh
oleh Nabi SAW. Perhatikanlah!
26.
Adapun perintah untuk membayar kafarat dengan berpuasa tiga hari seperti
dalam riwayat Tirmizi, juga daripada ‘Uqbah bin ‘Aamir, bahawasanya saudara
perempuannya bernadzar untuk berjalan kaki (ke Baitullah) tanpa alas kaki dan
tanpa bertudung. Ketika hal itu disampaikan
kepada Nabi SAW, maka Nabi SAW bersabda:
مرها فلتركب ولتختمر ولتصم ثلاثة أيام.
“Suruhlah saudara perempuanmu
agar naik kenderaan dan memakai tudung dan (sebagai kafaratnya) hendaklah dia
berpuasa tiga hari.” (H.R.Tirmizi,
no.1544; Abu Daud, no.3293; Nasaa-i, no.3815; dan Ibnu Majah, no.2134)
Hadits ini dikatakan dha’if, kerana dalam sanadnya
terdapat rawi yang bernama ‘Ubaidillah bin Zahr yang dinilai dha’if oleh ahli
hadits.[46]
Lalu bagaimana hendak berhujjah dengannya untuk mengatakan orang yang bernadzar
mubah dan tidak mampu menunaikannya, dia wajib membayar kafarat? Perhatikanlah!
Tambahan pula hadits ini juga bertentangan dengan
hadits mengenai kisah yang sama yang disepakati keshahihannya oleh Bukhari.
(no.1866) dan Muslim (no.1644) seperti dalam perenggan 23 di atas. Begitu juga,
ianya bertentangan dengan hadits Anas r.a yang diriwayatkan oleh Bukhari
(no.1865) dan Muslim (no.1642) seperti dalam perenggan 23 di atas.
Perhatikanlah! Semoga Allah mengurniakan petunjukNya kepada kita.
27.
Adapun nadzar mubah yang mampu dilaksanakan, hendaklah yakni wajib
ditunaikan. Kalau tidak, orang yang berkenaan diwajibkan membayar kafarat,
kerana nadzar mubah adalah nadzar yang dibenarkan, sehingga termasuk dalam
pengertian nadzar yang diperintah untuk untuk ditunaikan[47],
sekiranya dia mampu menunaikannya[48].
Penetapan ini didasarkan kepada hadits yang diriwayatkan oleh Tirmizi daripada
Buraidah r.a, katanya:
جاءت جارية سوداء، فقالت: يا رسول الله صلعم، إني كنت
نذرت إن ردك الله صالحا أن أضرب بين يديك بالدف وأتغني. فقال لها رسول الله صلعم:
إن كنت نذرت فاضربي وإلا فلا. فجعلت تضرب...
“Seorang hamba
wanita berkulit hitam datang (kepada Nabi SAW), lalu berkata: Ya Rasulullah
SAW, sesungguhnya aku telah bernadzar, sekiranya Allah mengembalikan engkau
dalam keadaan selamat, aku (bernadzar) akan memukul rebana dan bernyanyi di
hadapan engkau. Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: Sekiranya kamu telah
bernadzar (seperti itu) maka pukullah (rebana), dan sekiranya tidak (bernadzar
seperti itu), maka jangan kamu lakukan. Maka hamba wanita itu pun mulai memukul
rebana…” (Hadits shahih riwayat
Tirmizi dalam sunannya, no.3690 dan katanya: hasan shahih gharib daripada
hadits Buraidah dan pada bab ini juga
terdapat hadits daripada ‘Umar, Sa’ad bin Abi Waqash dan ‘Aisyah r.anhum).[49]
Juga berdasarkan hadits
‘Amru bin Syu’aib daripada bapanya, daripada datuknya:
أن امرأة أتت النبي (ص) ، فقالت: يا رسول الله ، إني
نذرت أن أضرب على رأسك بالدف. قال: أوفي بنذرك...
“Bahawasanya seorang wanita mendatangani Nabi SAW, lalu berkata:
Ya Rasulullah SAW, sesungguhnya aku telah bernazar akan memukul rebana di atas
kepala engkau. Nabi SAW bersabda: sempurnakanlah nazarmu…” (H.R. Abu Daud, no.3312 - hasan shahih)[50]
28.
Barangsiapa yang bernadzar untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada
Allah dengan sesuatu yang tidak dimilikinya, dia tidak wajib menunaikannya dan
dia juga tidak wajib membayar kafarat kerananya.[51]
Hal ini berdasarkan hadits ‘Imran bin Hushain r.a mengenai seorang wanita
Anshar yang ditawan. Wanita tersebut telah bernadzar sekiranya Allah
membebaskannya dari tawanan tersebut, dia akan berkorban (menyembelih) unta
‘Adhbaa’. Ketika wanita itu tiba di Madinah (setelah dibebaskan dari
tawanannya), orang-orang melihat kepadanya dan berkata: “‘Adhbaa’ adalah
milik Rasulullah SAW”. Kemudian orang-orang itu mendatangi Rasulullah SAW,
lalu menceritakan nadzar wanita tersebut kepada Rasulullah SAW. Maka Rasulullah
SAW bersabda:
سبحان الله! بئسما جزتها ، نذرت لله إن نجاها الله عليها
لتنحرنها ، لا وفاء لنذر في معصية ، ولا فيما لا يملك العبد.
“Maha Suci Allah! Alangkah buruk balasannya, dia bernadzar
kerana Allah, jika Allah menyelamatkannya (membebaskannya) dari tawanan, dia
akan menyembelihnya (unta ‘Adhbaa’). Tidak boleh menunaikan nadzar dalam
kema’shiatan dan tidak boleh pula (menunaikan nadzar) pada sesuatu yang tidak
dimiliki oleh hamba.” (H.R. Muslim
dan ini lafaznya, no.1641; Abu Daud, no.3316; Nasaa-i, no.3812; dan Ibnu Majah,
no.2124)
Dalam
riwayat Tirmizi dari ‘Amru bin Syu’aib
dari bapanya, dari datuknya, Rasulullah SAW bersabda:
لا نذر لابن آدم فيما لا يملك
“Tidak ada nadzar bagi anak Adam
pada sesuatu yang bukan miliknya.”
(H.R. Tirmizi, no.1181, katanya: hasan shahih).
Manakala dalam riwayat Nasaa-i dari ‘Imran bin Hushain
disebutkan:
أن
النبي (ص) قال : لا نذر في معصية الله ولا فيما لا يملك ابن آدم.
“Bahawasanya
Nabi SAW bersabda: Tidak ada nadzar dalam perkara ma’shiat dan tidak (ada
nadzar) dalam perkara yang tidak dimiliki oleh seorang anak Adam.”(H.R. Nasaa-i, no.2812 - shahih )[52]
29.
Orang yang bernadzar menyedeqahkan semua hartanya untuk digunakan di
jalan Allah. Dalam hal ini para ulama’ berbeza pendapat sekurang-kurangnya
kepada sepuluh pendapat[53].
Menurut Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim, kebanyakan pendapat tersebut tidak
didokong oleh dalil, kecuali tiga pendapat seperti berikut[54]:
Pertama, ia wajib menyedeqahkan semua hartanya sebagaimana
yang dinadzarkannya. Ini adalah pendapat Asy-Syafi’i, An-Nakha’i dan Abu
Hanifah (jika hartanya itu harta yang wajib dizakati).[55]
Mereka beralasan dengan beberapa dalil terdahulu yang mewajibkan menunaikan
nadzar dalam ketha’atan, sedangkan nadzar menyedeqahkan seluruh harta untuk
jalan Allah adalah nadzar ketha’atan. Di antara dalil tersebut ialah sabda Nabi
SAW:
من
نذر أن يطيع الله فليطعه، ومن نذر أن يعصيه فلا يعصه
“Barangsiapa yang bernadzar untuk
mentha’ati Allah, maka hendaklah dia mentha’atinya dan barangsiapa yang
bernadzar untuk mema’shiatinya, maka janganlah dia memaksiatinya.”
(H.R. Bukhari, no.6696 & 6700; Abu Daud, no.3289; Tirmizi, no.1526;
Nasaa-i, no.3806; Ibnu Majah, no.2126)
Mereka juga berhujah dengan hadits yang
diriwayatkan oleh Abu Daud, no.1678 dan Tirmizi, no.3675 yang menunjukkan
bahawa Abu Bakar r.a telah menyedeqahkan seluruh hartanya dan Nabi SAW
menerimanya. Menurut Tirmizi, hadits ini hasan shahih.[56]
Menurut Syaikh Kamal, hadits ini shahih.[57]
Pendapat
kedua,
nadzarnya itu dianggap terlaksana dengan menyedeqahkan 1/3 dari hartanya. Ini
merupakan pendapat Malik, Ahmad (menurut riwayat yang masyhur daripadanya),
Al-Laits dan Az-Zuhri.[58]
Mereka beralasan dengan hadits Ka’ab bin Malik r.a mengenai kisah diterimanya
taubat tiga orang oleh Allah SWT dari kesalahan mereka tertinggal (tidak
mengikuti) dari Perang Tabuk. Di akhir perkataannya, Ka’ab berkata:
يا رسول الله ص! إن من
توبتي أن أنخلع من مالي صدقة إلى الله وإلى رسوله ص.
“Wahai
Rasulullah SAW! Sesungguhnya sebagai bukti dari taubatku, aku lepaskan
(berikan) seluruh hartaku sebagai shadaqah untuk Allah dan Rasulnya SAW.”
قال : أمسك عليك بعض
مالك فهو خير لك.
“Nabi SAW bersabda: Tahanlah (simpanlah)
sebahagian harta untukmu, maka itu lebih baik bagimu.”
قلت : فإني أمسك سهمي
الذي بخيبر.
“Aku (Ka’ab) katakan: Maka sesungguhnya
aku tahan (simpan) bahagianku (yang aku perolehi) di Khaibar.”
(H.R.Bukhari, no.2577; Muslim, no.2769 dan Abu Daud,
no.3318)
Dalam satu riwayat lain oleh Abu Daud, Ka’ab berkata:
يا
رسول الله ص! إن من توبتي إلى الله أن أخرج من مالي كله إلى الله وإلى رسوله صدقة
. قال: لا . قلت: فنصفه . قال: لا . قلت: فثلثه . قال: نعم . قلت: فإني سأمسك سهمي
من خيبر.
“Wahai Rasulullah
SAW! Sesungguhnya sebagai bukti dari taubatku kepada Allah, aku akan keluarkan
(berikan) seluruh hartaku untuk Allah dan RasulNya SAW sebagai shadaqah. Nabi
SAW bersabda: Jangan. Kataku (Ka’ab, bagaimana kalau) separuhnya? Nabi SAW
menjawab: Jangan. Kataku (Ka’ab, bagaimana kalau) sepertiganya? Nabi SAW
menjawab: Ya. Aku (Ka’ab) berkata: Sesungguhnya aku tahan (simpan) bahagianku
(yang aku perolehi) di Khaibar.”
(H.R. Abu Daud, no.3321)[59]
Mereka juga beralasan dengan hadits Abu Lubabah, ketika
dia bertaubat kepada Allah, dia berkata:
إن
من توبتي أن أهجر دار قومي التي أصبت فيها الذنب ، وأن أنخلع من مالي كله صدقة .
قال: يجرئ عنك الثلث.
“Sesungguhnya
sebagai bukti dari taubatku, aku akan berhijrah dari kampungku untuk tinggal
bersama Nabi SAW dan aku lepaskan (berikan) seluruh hartaku sebagai shadaqah.
Nabi SAW bersabda: Cukup bagi engkau (shadaqahkan) 1/3 sahaja.” (H.R.Abu Daud, no.3319)[60]
30.
Pendapat ketiga, dia
tidak menanggung kewajipan apa-apa (tidak wajib menunaikan nadzarnya itu dan
tidak ada kafarat atasnya). Ini merupakan satu riwayat dari Abu Hanifah
(yakni pada harta yang tidak wajib dizakati). Ini juga merupakan pendapat Ibnu
Hazm (apabila ia menyerupai sumpah)[61], Asy-Sya’bi dan Ibnu Laila[62], dengan alasan menyedaqahkan seluruh harta tidak
disyariatkan[63]. Mereka beralasan dengan dalil-dalil berikut:
Pertama,
firman Allah:
وَآتِ ذَا الْقُرْبَى حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ
وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا
“Dan berikanlah kepada keluarga yang dekat haknya, kepada orang
miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu menghambur-hamburkan
(hartamu) secara membazir/ boros.”
(Al-Isra’,17:26)
Kedua,
firman Allah:
وَآتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ وَلَا
تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
“dan tunaikanlah haknya di hari memetik
hasilnya (dengan dishadaqahkan kepada faqir miskin); dan janganlah kamu
berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang
berlebih-lebihan.” (Al-An’am, 6:141)
Ketiga,
hadits Jabir bin ‘Abdullah Al-Anshaari, katanya: “Kami sedang berada di sisi
Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki membawakan kepada Nabi SAW
sesuatu seperti sebiji telur emas, lalu berkata: Ya Rasulullah SAW, aku menemui
(memperolehi) benda ini dari penambangan (من
معدن). Ambillah ia, ia merupakan shadaqah dan aku tidak
memiliki apa-apa selainnya. Nabi SAW menolaknya beberapa kali. Orang itu
mengulangi kata-katanya berkali-kali. Akhirnya Nabi SAW mengambilnya dan
melemparkannya kepada lelaki itu. Sekiranya benda itu mengenai lelaki itu, pasti akan melukainya atau
menyakitinya. Lalu Nabi SAW bersabda:
يأتي أحدكم بما يملك فيقول: هذه صدقة. ثم يقعد يستكف
الناس! خير الصدقة ما كان عن ظهر غنى
”Salah seorang
dari kamu datang dengan membawa apa (harta) yang dimilikinya seraya berkata:
Ini shadaqah (dariku). Kemudiannya dia duduk menghulurkan tangan
(meminta-minta) kepada manusia! Sebaik-baik shadaqah adalah sesuatu (harta)
yang diberikan dari harta yang tidak diperlukannya (yakni yang lebih dari
keperluan diri dan keluarganya). (H.R.Abu Daud, no.1673, lafaz ini miliknya; Ad-Darimi (1659); ‘Abdu bin
Humaid (1121); Abu Ya’la (2084); Ibnu Hibban (3372) dan Al-Baihaqi (4:181).
Hadits ini dinilai shahih oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim (1:413) dan disepakati
Az-Zahabi. Tetapi dianggap dhaif oleh Al-Albani dalam “Dhaif Abu Daud, kecuali
sabdanya ”Sebaik-baik shadaqah …..”, kerana dalam sanadnya mengandungi
‘an’anah Ibnu Ishak, seorang mudallis (iaitu):
...عن محمد ابن اسحاق عن عاصم بن
عمر بن قتادة عن محمود...
31.
Menurut Asy-Syaukani, pendapat yang paling kuat
dalam masalah ini, ialah pendapat yang kedua, yang menyatakan bahawa
orang berkenaan hanya perlu menyedaqahkan 1/3 dari hartanya, tidak lebih dari
itu.[64]
32.
Berdasarkan zahir nash yang disebutkan di atas, sesiapa
yang bernadzar untuk menyedaqahkan seluruh hartanya, selama hal itu tidak
memudharatkan dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya, seumpama Abu
Bakar r.a, maka dia wajib menyedaqahkan seluruh hartanya seperti yang
dinadzarkan itu. Namun apabila hal itu mendatangkan kemudharatan terhadap
dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya, maka dalam kes ini dia wajib
menyedaqahkan sejumlah harta yang dengan shadaqah itu tidak memudharatkan
dirinya atau orang-orang di bawah tanggungannya, baik sepertiganya, kurang dari
sepertiganya (seperdua hartanya seperti yang dilakukan ‘Umar r.a dan Rasulullah
SAW menerimanya - seperti dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud
(no.1678) dan Tirmizi (no.3675) yang dikatakan hasan shahih oleh Tirmizi)
sesuai dengan firman Allah:
وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا
يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ
”dan mereka
bertanya kepadamu apa yang mereka
(patut) nafkahkan. katakanlah: yang lebih dari keperluan.” (Al-Baqarah, 2:219)
Juga
bersesuaian dengan hadits:
خير الصدقة ما كان عن ظهر غنى .
“Sebaik-baik shadaqah
adalah sesuatu (harta) yang diberikan dari harta yang tidak diperlukannya.” (Hadits shahih, telah ditakhrijkan sebelumnya di
perenggan 30).
Dan
bersesuaian juga dengan hadits:
لا
ضرر ولا ضرار
Demikian juga
pendapat Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim dalam Shahih Fiqih Sunnah (2:538).[66] Pendapat ini telah pun didahului oleh Sahnun dari
kalangan mazhab Maliki.[67] Namun, jika harta yang dinadzarkan untuk dishadaqahkan itu,
merupakan satu-satunya harta yang dimilikinya dan dia (jati dirinya) tidaklah
seperti Abu Bakar r.a atau seperti ‘Umar r.a, maka dia tidak diwajibkan
menunaikan nadzarnya dan tidak ada kafarat atasnya sesuai dengan hadits Jabir
bin Abdullah seperti di perenggan 30 di atas. والله
أعلم
33.
Orang yang bernadzar mengerjakan solat di Baitul Maqdis,
nadzarnya itu boleh ditunaikan dengan mengerjakan solat di Masjidil Haram atau
Masjid Nabawi di Madinah, berdasarkan hadits Jabir bin ‘Abdullah bahawasanya:
أن
رجلا قام يوم الفتح فقال: يا رسول الله صلعم ! إني نذرت لله إن فتح الله عليك مكة
أن أصلي في بيت المقدس ركعتين. قال: صل هاهنا، ثم أعاد عليه فقال (قال) صل هاهنا.
ثم أعاد عليه. فقال: شأنك إذا (إذن).
“Bahawasanya seorang lelaki berdiri pada hari penaklukan
(pembukaan) Kota Mekah seraya berkata: Ya Rasulullah SAW! Aku bernadzar kerana
Allah, sekiranya Allah memberikan kemenangan kepada engkau (SAW) menaklukkan
Kota Mekah, aku akan shalat di Baitul Maqdis 2 rakaat. Nabi SAW bersabda:
Shalatlah engkau di sini (Masjidil Haram). Kemudian lelaki itu mengulangi
perkataannya. Nabi SAW bersabda: Shalatlah engkau di sini. Kemudian lelaki itu
mengulangi lagi perkataannya. Lalu Nabi SAW bersabda: Kalau begitu terserah
kepada kamu.” (H.R. Abu Daud, no.3305. Lafaz ini
adalah miliknya. Hadits ini shahih, dishahihkan oleh Al-Hakim & Ibnu
Daqiiqil’Ied.[68] Hadits ini diriwayatkan
juga oleh Ahmad (3:363) & Ad-Daarimi, no.2329).[69]
34.
Diriwayatkan
juga oleh Abu Daud dan Ahmad daripada beberapa orang sahabat Nabi SAW khabar
(hadits) seumpama ini (di atas), dengan tambahan:
فقال
النبي صلعم : والذي بعث محمدا بالحق لو صليت هاهنا لأجرأ عنك صلاة في بيت المقدس
(لقض عنك ذلك كل صلاة في بيت المقدس) .
“Maka Nabi SAW bersabda: Demi zat (Allah) yang telah mengutus
Muhammad SAW dengan benar, sekiranya engkau shalat di sini (Masjidil Haram)
pasti sudah tertunai bagi engkau solat di Baitul Maqdis”
(demikian riwayat Abu Daud seperti dalam Sunan Abu Daud, no.3306 - dikatakan
isnadnya dha’if[70], namun didiamkan oleh Abu
Daud maupun Al-Mundziri[71] -
sementara dalam riwayat Ahmad - seperti dalam Nailul Authaar, 9:282[72], “nescaya
terpenuhi oleh engkau setiap shalat yang dinadzarkan di Baitul Maqdis”).
35.
Menurut As-Syaukani dalam Nailul Authaar (9:285-terj. Indonesia), hadith
Abu Daud, no.3305 dan Ahmad yang berbunyi: صل
هاهنا “shalatlah
di sini”, menunjukkan
bahawa orang yang bernadzar untuk mengerjakan shalat, bershadaqah atau
sebagainya di suatu tempat yang tidak lebih utama dari tempat orang yang
bernadzar itu sendiri, maka tidak wajib baginya untuk menunaikannya di tempat
yang dinadzarkannya itu. Sebaliknya dia boleh, bahkan lebih baik dia menunaikan
nadzarnya di tempatnya sendiri.
36.
Hal ini diperkuatkan lagi oleh hadits Ibnu ‘Abas r.a bahawasanya seorang
wanita mengadu (bernaddzar): Jika Allah menyembuhkan penyakitku, aku akan
shalat di Baitul Maqdis. Ternyata wanita itu sembuh. Lalu dia bersiap-siap
untuk ke Baitul Maqdis bagi menunaikan nazarnya itu. Tiba-tiba wanita itu
didatangi oleh Maimunah r.anha dengan memberi salam kepadanya. Lalu perempuan
itu memberitahu Maimunah halnya itu. Maimunah mengatakan: duduklah dan makanlah
apa yang telah kamu sediakan itu serta shalatlah di Masjid Rasulullah SAW
(Masjid Nabawi), kerana sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW
bersabda:
صلاة فيه أفضل من ألف صلاة فيما سواه من المساجد إلا
مسجد الكعبة.
“Sekali shalat di dalamnya (Masjid Nabawi) lebih utama dari 1000
kali shalat di masjid-masjid lain kecuali Masjidil Ka’abah (Masjidil Haram).” (H.R. Ahmad & Muslim)[73]
Diriwayatkan
pula oleh Al-Jamaah, kecuali Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a., katanya
Rasulullah SAW bersabda:
صلاة في مسجدي خير من ألف صلاة فيما سواه إلا المسجد
الحرام.
“Sekali shalat di masjidku lebih baik dari seribu kali shalat di
masjid-masjid lain, kecuali Masjidil Haram.”[74]
Dan dalam
riwayat Ahmad daripada ‘Abdullah bin Zubair seperti hadits di atas, hanya saja
ditambahkan:
وصلاة في مسجد الحرام أفضل من مائة صلاة في هذا.
“Dan sekali shalat di Masjidil Haram lebih afdhal dari seratus
kali shalat di (Masjid Nabawi) ini.”
[75]
Dalam riwayat
Ibnu Majah daripada Jabir r.a., Nabi SAW bersabda:
صلاة في مسجدي أفضل من ألف صلاة فيما سواه إلا المسجد
الحرام، وصلاة في المسجد الحرام أفضل من مائة ألف صلاة فيما سواه.
“Sekali shalat di masjidku lebih afdhal dari seribu kali shalat
di masjid lainnya, kecuali Masjidil Haram, dan sekali shalat di Masjidil Haram
lebih afdhal dari seratus ribu (100,000) kali shalat di masjid lainnya.” (H.R. Ibnu Majah. Menurut Al-Hafiz dalam Fathul
Baari, 6:388, para perawi hadits ini tsiqah)
37.
Orang yang bernadzar untuk bermusafir / melakukan perjalanan kerana
beribadat ke suatu tempat selain dari Masjidil Haram, Masjid Nabawi atau
Masjidil Aqsha, nadzar tersebut tidak wajib ditunaikan. Demikianlah menurut
jumhur ulama’ sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Rusyd dalam Bidayatul
Mujtahid[76]
dan Asy-Syaukani dalam Nailul Authaar[77],
berdasarkan sabda Nabi SAW :
لا تشد الرجال إلا إلى ثلاثة مساجد: المسجد الحرام ومسجد
الرسول (ص) ومسجد الأقصى.
“Tidak boleh (bersusah payah) berpergian jauh (bagi mengagungkan
atau mencari berkat atau untuk beribadat ke suatu tempat( kecuali ke tiga masjid (iaitu) Masjidil Haram, Masjid Rasul dan
Masjidil Aqsha.” (H.R. Bukhari
daripada Abu Hurairah r.a., no.1189)
Dalam riwayat
Muslim, juga daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:
لا تشد الرجال إلا إلى ثلاثة مساجد: مسجدي هذا ومسجد الحرام
ومسجد الأقصى.
“Tidak boleh (bersusah payah) berpergian jauh (bagi mengagungkan
atau mencari berkat atau untuk beribadat ke suatu tempat( kecuali ke tiga masjid: Masjidku ini, Masjidil Haram dan
Masjidil Aqsha.” (H.R. Muslim,
no.1397)
38.
Berdasarkan hadits-hadits di atas dan hadits-hadits lain yang semakna
dengannya, jumhur ulama’ berpendapat, nadzar untuk mendatangi selain dari tiga
masjid tersebut tidak wajib ditunaikan[78],
kerana masjid-masjid lainnya itu tidak memiliki kelebihan-kelebihan tertentu[79].
Dan orang yang berkenaan tidak diwajibkan membayar kafarat kerana tidak
menunaikan nadzarnya itu, kerana Nabi SAW tidak pula menyentuh mengenainya.
Sekiranya wajib, sudah pasti dinyatakan oleh Nabi SAW. Hanya saja, menurut
Al-Hafiz dalam Fathul Bari, orang itu cukup menunaikan nadzarnya di mana-mana
masjid[80]
(yang berdekatan dengannya-Pen). والله أعلم .
39.
Barangsiapa yang bernadzar dalam keadaan marah, bukan untuk
melakukan sesuatu atau untuk melakukan sesuatu, tapi bukan untuk mendekatkan
diri kepada Allah, misalnya seseorang mengatakan: “Jika aku melakukan
demikian, wajib atasku untuk melaksanakan haji, bersedekah atau berpuasa atau
semisalnya!” Dia melafazkan kalimah tersebut dalam keadaan marah, bukannya
untuk mendekatkan diri kepada Allah. Maka dalam hal tersebut, dia tidak
wajib menunaikannya, kerana nadzarnya itu dilafazkan dalam bentuk sumpah,
tetapi dia wajib membayar kafarat sumpah, jika dia melanggar sumpahnya itu.[81]
Demikianlah
Mazhab Ahmad (yang masyhur daripadanya) dan Asy-Syafi’i (dalam salah satu
pendapatnya) dan ini yang dirujuk oleh Abu Hanifah. Demikian juga pendapat
Ishaq, Abu ‘Ubaid, Abu Tsaur, Ibnu Al-Munzir & pendapat yang dipilih oleh
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah. Begitulah juga pendapat ‘Umar, Ibnu ‘Abbas,
‘Aisyah dan sahabat yang lain.[82]
Pendapat tersebut didasarkan kepada hadits ‘Imran bin Hushain r.a, katanya:
سمعت رسول الله (ص) يقول: لا نذر في غضب ، وكفارته كفارة
يمين.
“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada nadzar dalam
keadaan marah & kafaratnya seperti kafarat sumpah.” (H.R. Ahmad. Hadits ini dha’if sebagaimana yang
dijelaskan oleh Al-Albaani dalam Irwaa-ul-ghalil, 8:211, hadith no.2587)
Ibnu ‘Abbas r.a.
pernah ditanya: “Bagaimana pendapatmu mengenai seorang wanita yang
menjadikan kain bercorak yang dipakainya sebagai hadiah, jika dia tetap
memakainya? Ibnu ‘Abbas r.a. menjawab: Apakah (dia melafazkannya itu) dalam
keadaan marah atau dalam keadaan redha? Mereka menjawab: dalam keadaan marah.
Maka Ibnu ‘Abbas r.a. berkata: Sesungguhnya tidak boleh mendekatkan diri kepada
Allah dengan kemarahan, hendaklah dia membayar kafarat sumpah.”[83]
40.
Sementara itu, Imam Malik dan Abu Hanifah (dalam pendapat lamanya)
berpendapat orang yang berkenaan wajib menunaikan nadzarnya itu.[84]
Manakala Syaikh Abu Bakar Jabir Al-Jazaairi berpendapat orang berkenaan
boleh memilih antara menunaikan nadzarnya atau membayar kafarat sumpah apabila
dia melanggar nadzarnya itu.[85]
Demikianlah juga pendapat penulis.
41.
Apabila seseorang bernadzar untuk mendekatkan diri kepada Allah ketika
dia masih kafir, kemudian dia masuk Islam, dia wajib menunaikan nadzarnya itu,
berdasarkan hadits Ibnu ‘Umar r.a. bahawasanya ‘Umar r.a. pernah bertanya Nabi
SAW, katanya:
كنت نذرت في الجاهلية أن أعتكف ليلة في المسجد الحرام؟
قال: فأوف بنذرك.
”Dulu pada masa
jahiliyah aku pernah bernadzar untuk beri’tikaf satu malam di Masjidil Haram.
(apakah perlu aku tunaikan nazar itu setelah sekarang aku memeluk Islam)? Nabi SAW bersabda: Tunaikanlah nadzarmu (itu).” (H.R. Bukhari, no.2032, no.2043, no.3144, no.4320,
no.6698 & riwayat Muslim, no.1656).
Dalam
riwayat lain oleh Ibnu Majah dengan sanad yang shahih daripada ‘Umar r.a.,
katanya:
نذرت نذرا في الجاهلية، فسألت النبي صلعم بعد ما أسلمت،
فأمرني أن أوفي بنذري.
“Aku pernah bernadzar di masa jahiliyah, lalu aku bertanya
kepada Nabi SAW sesudah aku masuk Islam (apakah perlu aku tunaikannya)? Maka
aku disuruhnya menunaikan nadzarku itu.”
(H.R. Ibnu Majah dengan sanad yang shahih)[86].
42.
Hadits-hadits tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa nadzar yang
dinadzarkan oleh orang bukan Islam, kemudian dia memeluk Islam, wajib
ditunaikan. Demikianlah pendapat Asy-Syafi’i, Daud Azh-Zhari dan Ibnu Hazm. Demikianlah
juga pendapat Asy-Syaukani[87],
Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim[88]
dan demikianlah pendapat yang benar menurut penulis. والله أعلم .
43.
Bila seseorang bernadzar untuk menyembelih korban di suatu tempat
yang ditentukan, nadzar tersebut hendaklah ditunaikan di tempat yang
dinadzarkan itu dengan syarat di tempat tersebut tidak ada berhala / patung
yang disembah / dipuja atau tidak merupakan tempat perayaan sesuatu kaum yang
tidak disyari’atkan. Apabila di tempat tersebut terdapat hal-hal yang
disebutkan itu atau seumpamanya, maka nadzar tersebut adalah haram, tidak boleh
ditunaikan bahkan tidak sah, serta tidak ada kafarat kerananya. Hal ini
didasarkan pada hadits Tsabit bin Adh-Dhahhak r.a., katanya:
نذر رجل على عهد النبي صلعم أن ينحر إبلا ببوانة، فأتى
النبي صلعم فقال: إني نذرت أن أنحر إبلا ببوانة . فقال النبي صلعم: هل كان فيها وثن من أوثان الجاهلية
يعبد؟ قالوا: لا. قال: هل كان فيها عيد من أعيادهم؟ قالوا: لا. قال النبي (رسول
الله) صلعم: أوفي بنذرك، فإنه لا وفاء لنذر في معصية الله ولا فيما لا يملك ابن
آدم .
“Seorang lelaki telah bernadzar di masa Nabi SAW untuk
menyembelih unta di Buwaanah, lalu dia mendatangani Nabi SAW seraya berkata:
Sesungguhnya aku bernadzar untuk menyembelih unta di Buwaanah. Nabi SAW
bertanya: Adakah di situ terdapat berhala / patung dari patung-patung berhala
jahiliyah yang disembah? Mereka menjawab: Tidak ada. Nabi SAW bertanya (lagi):
Adakah di situ terdapat hari perayaan dari hari-hari perayaan mereka (penduduk,
yang tidak disyari’atkan)? Mereka menjawab: Tidak ada. Nabi (Rasulullah) SAW
bersabda: (Kalau begitu) Tunaikanlah nadzarmu itu, kerana sesungguhnya tidak
boleh menunaikan nadzar dalam mema’shiati Allah dan tidak boleh (menunaikan
nazar) dalam sesuatu yang tidak dimiliki oleh anak Adam.” (H.R.Abu Daud, no.3313 & Ath-Thabrani, 2:75.
Lafaz ini milik Abu Daud)
44.
Hadits tersebut shahih, dishahihkan oleh Al-Albaani dalam Shahih Abu
Daud, no.3313.[89]
Juga dishahihkan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar seperti disebutkan dalam Sunan Abu
Daud, no.3313 dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1:1601. Al-Hafiz juga menyatakan sanad
hadits ini shahih dalam Al-Talkhis.[90]
Ibnu Majah juga meriwayatkan hadits ini daripada Ibnu ‘Abbas r.a.[91]
Hadits ini ada syahidnya (penguatnya) daripada Kardam bin Sufyan yang diriwayatkan
oleh Ahmad(3:149),[92]
iaitu:
عن كردم بن سفيان أنه سأل رسول الله (ص) عن نذر نذره في
الجاهلية. فقال له: ألوثن أو لنصب؟ قال: لا. ولكن لله. فقال: أوف لله ما جعلت له،
إنحر على بوانة وأوف بنذرك.
“Daripada Kardam bin Sufyan, bahawasanya dia pernah bertanya Rasulullah
SAW mengenai nadzarnya yang dinadzarkan pada masa Jahiliyah. Lalu Rasulullah
SAW bertanya kepadanya: Apakah nadzarmu itu untuk patung berhala atau patung
nashab? Kardam menjawab: Tidak, tetapi kerana Allah. Maka Rasulullah SAW
bersabda: Tunaikanlah kerana Allah apa yang telah kamu tetapkan (nadzarkan)
untuknya, sembelihlah qurban di Buwaanah dan tunaikanlah nadzar engkau.” (H.R. Ahmad).[93]
Dalam riwayat
lain daripada Maimunah bt Kardam, katanya:
كنت ردف أبي فسمعته يسأل النبي (ص) فقال: يا رسول الله
(ص): إني نذرت أن أنحر ببوانة. قال: أبها وثن أو طاغية؟ قال: لا. قال: أوف بنذرك.
“Aku pernah ikut bersama ayahku, lalu aku mendengar ayahku
bertanya Nabi SAW, katanya: Wahai Rasulullah SAW! Sesungguhnya aku pernah
bernadzar untuk menyembelih qurban di Buwaanah. Rasulullah SAW bertanya: Apakah
di situ terdapat patung berhala atau thaghut? Ayahku menjawab: Tidak ada.
Rasulullah SAW bersabda: Tunaikanlah nadzarmu.” (H.R. Ahmad dan Ibnu Majah. Sanadnya shahih).[94]
Dalam hadits
riwayat Abu Daud daripada Saarah bt. Muqsim Ats-Tsaqafi bahawasanya dia
mendengar Maimunah bt. Kardam berkata: Aku ikut bersama ayahku semasa Haji
Rasulullah SAW, lalu aku melihat Rasulullah SAW dan aku mendengar orang-orang
berkata: Rasulullah SAW. Maka aku perhatikan Nabi SAW. Kemudian ayahku
menghampiri Nabi SAW yang sedang berada di atas untanya, memegang sebuah pecut
seperti pecut seorang guru yang sedang mengajar. Lalu aku mendengar orang-orang Badwi dan orang-orang
banyak berkata: Pecut! Pecut! Maka ayahku mendekati Nabi SAW dan memegang
telapak kaki Nabi SAW. Kata Maimunah (selanjutnya): Maka ayahku mengakui
kerasulan Nabi SAW dan Nabi SAW berhenti dan ayahku memperdengarkan
pengakuannya kepada Nabi SAW. Lalu ayahku berkata:
يا رسول الله. إني نذرت إن ولدلي ولد ذكر أن أنحر على
رأسى بوانة في عقبة من الثنايا عدة من الغنم. قال: لا أعلم إلا أنها قالت: خمسين.
فقال رسول الله صلعم: هل بها من الأوثان شيئ؟ قال: لا. قال: فأوف نذرت به لله.
قالت: فجمعها فجعل يذبحها، فانفلتت منها شاة، فطلبها وهو يقول: أللهم أوف عني نذر
فظفرها فذبحها.
“Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya
aku pernah bernadzar, sekiranya aku dikurniakan anak lelaki, aku akan
menyembelih beberapa ekor kambing di lembah Buwaanah. Kata perawi: aku tidak
tahu, melainkan dia (Maimunah) mengatakan: 50 (lima puluh) ekor kambing.
Rasulullah SAW bertanya: Adakah di Lembah Buwaanah itu terdapat sesuatu patung
berhala? Jawab (ayah Maimunah): Tidak ada. (Maka) Rasulullah SAW bersabda:
Tunaikanlah nadzar engkau kerana Allah. Kata Maimunah (selanjutnya): Maka
ayahku mengumpul semuanya lalu menyembelihnya. Lalu (tiba-tiba) seekor kambing
menyelinap / melarikan diri. Lalu ayahku mencarinya sambil berdoa: Ya Allah!
Penuhilah nadzarku (ini). Lalu kambing yang lari itu di dapatinya, maka
disembelihnya.” (H.R. Abu
Daud, no.3314. Menurut Al-Albaani dalam Shahih Abu Daud, no.3314, hadits ini
shahih).[95]
45.
Hadits di perenggan 44 di atas dengan jelas menunjukkan
bahawa orang yang bernadzar untuk melakukan sesuatu ibadat seperti sembelihan
qurban, shadaqah atau sebagainya, di suatu tempat tertentu, hendaklah dia
menunaikan nadzarnya itu dengan syarat:
1.
Tidak ada patung-patung berhala yang disembah di situ;
2.
Tidak adanya thaghut (pemujaan kepada selain Allah) di
situ;
3.
Nadzar itu adalah kerana Allah, bukan kerana patung berhala atau patung
nashab;
4.
Tidak adanya hari-hari perayaan penduduk di tempat itu yang bercanggah
dengan Islam, seperti perayaan orang-orang bukan Islam yang merupakan perangkap
(penyebab) syirik kepada Allah.[96]
46.
Hadits-hadits tersebut juga menunjukkan nadzar untuk menyembelih qurban,
samada yang dinadzarkan sebelum Islam, kemudian dia memeluk Islam atau
dinadzarkan semasa dalam Islam - kedua-duanya kerana Allah bukan kerana
lainnya, hendaklah dia tunaikan. Hal ini, selain dari berdasarkan hadits-hadits
di atas, juga kerana menyembelih qurban, adalah termasuk dalam kategori nadzar
mentaati Allah, yang sudah pasti wajib ditunaikan, yang sudah berulangkali
disebutkan nashnya sebelumnya, sehingga tidak perlu diulang lagi.
47.
Adapun daging qurban yang dinadzarkan itu sama halnya dengan daging
qurban biasa (sunat) yang diqurbankan pada Hari-hari Nahar dan Hari-hari
Tasyrik, yakni boleh dimakan, dishadaqahkan kepada fakir miskin, dihadiahkan
kepada orang lain dan boleh disimpan oleh penadzar tersebut. Hal ini adalah
kerana ianya termasuk dalam keumuman (kemuthlakan) nash-nash berikut, sedangkan
hadits-hadits di perenggan 44 di atas, tidak pun menyentuh soal memakan daging
qurban nadzar tersebut. Oleh itu, ianya dikembalikan kepada nash-nash umum
(muthlak) seperti berikut:
Pertama, firman Allah SWT:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
.”Maka
makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan
orang-orang yang sengsara lagi fakir.”
(Al-Hajj,22: 28).
Kedua, firman Allah SWT:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ
“Maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang-orang yang
rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan kepada orang
yang meminta.” (Al-Hajj,
22:36)
Ketiga, sabda Nabi SAW:
عن سلمة بن الأكوع قال: قال النبي (ص): من ضحى منكم فلا
يصبحن بعد ثالثة وبقي في بيته منه شيئ . فلما كان العام المقبل قالوا: يا رسول
الله ، نفعل كما فعلنا عام الماضي؟ قال: كلوا وأطعموا وادخروا فإن ذلك العام كان
بالناس جهد، فأردت أن تعينوا فيها.
“Daripada Salmah bin Akwa’, katanya Nabi SAW bersabda:
Barangsiapa di antara kamu berqurban, maka janganlah dia berada di hari ketiga
dan di rumahnya masih tersisa daging qurban itu. Ketika datang (musim qurban)
tahun berikutnya, mereka berkata: Ya Rasulullah SAW! Apakah kami lakukan
(terhadap daging qurban) seperti yang kami lakukan tahun lepas? Nabi SAW bersabda: Makanlah, berikanlah makan (pada fakir
miskin dan orang-orang lain) dan simpanlah. Sesungguhnya yang demikian itu
(larangan simpan daging qurban lebih dari 3 hari pada tahun lepas adalah)
kerana umumnya manusia berada dalam keadaan sulit / susah, maka aku ingin
membantu mereka.” (H.R. Bukhari, no.5569 & Muslim, no.1974. Lafaz di
atas milik Bukhari).
Keempat, sabda Nabi SAW:
كنت نهيتكم عن لحوم الأضاحيفوق ثلاث، ليتسع ذو الطول على
من لا طول له. فكلوا ما بدا لكم وأطعموا وادخروا.
“(Dulu) aku melarang kamu menyimpan daging qurban lebih dari 3
hari, untuk memberi keluasan bagi orang-orang yang mampu atas orang yang tidak
mampu. Maka (sekarang) makanlah oleh kamu, berilah makan (kepada orang lain)
dan simpanlah sesuka hati kamu.”
(H.R.Tirmizi, no.1510; Muslim, no.1972; Abu Daud, no.2813; Nasaa-i, no.4241 dan
Ibnu Majah, no.3160. Lafaz ini milik Tirmizi dan katanya hadits ini hasan
shahih dan beramal dengannya di sisi ahli ilmu dari kalangan sahabat Nabi SAW
dan selain mereka)
48.
Menurut Syaikh Al-‘Utsaimin, nash-nash di atas tidak berbeza hukumnya
dalam hal pembolehan memakan dan memberikan hadiah kepada orang lain dari
daging Udhhiyah (qurban) yang wajib ataupun sunat.[97]
Pendapat seumpama ini telah didahului oleh Imam Asy-Syaukani dalam Nailul
Authaar (5:192) dengan katanya, secara zahirnya bahawa dibolehkannya memakan
daging haiwan hadyu (Dam Haji Tamaththu’ dan Qiran) tanpa ada perbezaan apakah
hadyu itu tathawwu’ atau wajib, kerana keumuman firman Allah Ta’ala: فَكُلُوا مِنْهَا (maka, makanlah sebahagian
daripadanya), tanpa diperincikan apakah qurban - sunat atau wajib.
Sedangkan berpegang (berdalil) dengan mengqiaskan kepada zakat dalam hal tidak
boleh memakan daging haiwan hadyu (qurban) wajib tidak dapat dijadikan dasar
(tidak seimbang) untuk mentakhsiskan (mengkhususkan) keumuman ayat tersebut,
kerana disyariatkannya zakat untuk membantu fuqara’ (faqir miskin), maka jika
zakat diberikan kepada pemiliknya (pengeluar zakat itu) sendiri, akan
mengeluarkan zakat tersebut dari tujuan disyariatkannya. Sementara dalam hal
qurban (wajib atau sunat), hadyu wajib atau dam (haji) disyariatkan bukan untuk
tujuan demikian, tetapi adakalanya dam (hadyu atau qurban) tersebut
disyariatkan untuk menutup (menampal) kekurangan (dalam melaksanakan ibadat
Haji atau ‘Umrah) atau semata-mata untuk tabarru’ (‘amal soleh kerana Allah).
Kerana itu tidak boleh diqiaskan dan tidak boleh juga dijadikan takhsis di
antara keduanya (qurban nadzar dan zakat), kerana di antara keduanya terdapat perbezaan
kenapa masing-masing di antaranya disyariatkan.[98]
Dalam hal qurban, sesungguhnya yang ditekankan oleh Allah SWT ialah ketaqwaan
atau kepatuhan seseorang dalam
melaksanakan qurbannya (samada qurban sunat atau wajib, termasuklah qurban
nadzar) seperti firmanNya:
لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ
“Daging-daging
unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah,
tetapi ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapai (keredhaan) Nya.” (Al-Hajj,22: 37)
Hanya saja
melalui ayat 28 & 36 surah al-Hajj, begitu juga melalui hadits-hadits yang
disebutkan dalam perenggan 47 di atas dan hadits-hadits lain yang semakna
dengannya yang boleh didapati dalam kitab-kitab shahih, Sunan maupun Musnad,
Allah SWT, begitu juga RasulNya SAW telah membolehkan daging qurban itu -
samada yang wajib, termasuk qurban nadzar atau pun sunat - dimakan oleh
orang-orang yang berqurban dan boleh juga diberi makan kepada faqir miskin dan
dihadiahkan kepada orang lain serta boleh juga disimpan untuk dimakan pada
hari-hari berikutnya. Para ulama’ mengatakan pembolehan makan, memberi
makan faqir miskin, menghadiah kepada orang lain dan menyimpan untuk dimakan
pada hari-hari berikutnya itu, difahami sebagai suruhan sunat, bukannya wajib. والله أعلم .
49.
Jika seseorang bernadzar untuk mentha’ati Allah yang menyebabkan ia
wajib menunaikannya, tiba-tiba dia dijemput ajal sebelum sempat menunaikan
nadzarnya itu, maka walinya atau ahli warisnya hendaklah menunaikan nadzarnya
itu. Jika nadzarnya itu dalam bentuk harta - untuk bershadaqah, berqurban
atau seumpamanya - walinya atau ahli warisnya hendaklah menunaikan nadzarnya
itu dari harta peninggalannya, sebelum membayarkan hutangnya kepada sesama
manusia, juga sebelum menunaikan
washiatnya dan sebelum membahagikan pusaka kepada ahli warisnya,
berdasarkan firman Allah:
مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ
“Pembagian pusaka tersebut hendaklah dilakukan) setelah dipenuhi
washiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya.” An-Nisa, 4:11)
50.
Allah SWT menyebutkan hutang secara umum dalam ayat di atas, tanpa mengkhususkannya,
apakah hutang kepada sesama manusia atau kah hutang kepada Allah seperti nadzar
dalam bentuk harta. Tentulah hutang kepada Allah (seperti nadzar untuk mentaati
Allah dalam bentuk harta), lebih aula untuk ditunaikan dan diutamakan. Nabi SAW
bersabda:
فدين الله أحق أن يقض.
”Hutang kepada Allah lebih berhak
untuk ditunaikan.” (H.R.
Bukhari, no.1953 & Muslim, no.1148).
51.
Jika nadzar tersebut berbentuk ibadah seperti haji,
‘umrah, puasa, I’tikaf atau lain-lain seumpamanya, maka walinya atau ahli
warisnya hendaklah menunaikannya,
berdasarkan hadith Ibnu ‘Abbas r.a.:
عن ابن عباس رضي الله عنهما: أن سعد بن عبادة استفتى
رسول الله (ص)، فقال: إنأ أمي ماتت وعليها نذر، فقال: اقضه عنها.
“Daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawasanya Saad bin ‘Ubadah meminta
fatwa kepada Rasulullah SAW, katanya: Sesungguhnya ibuku telah mati dan di
atasnya ada nadzar (yang belum ditunaikannya, bolehlah aku selaku anaknya
menunaikan nadzarnya itu?) Maka Rasulullah SAW bersabda: Tunaikanlah nadzar
daripadanya.” (H.R.Bukhari,
no.2761 & Muslim, no.1638).
Juga
didasarkan kepada hadith berikut:
عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: جاءت امرأة إلى رسول
الله (ص) فقالت: يا رسول الله صلعم! إن أمي ماتت وعليها صوم نذر، أفأصوم عنها؟
قال: ألأيت لوكان على أمك دين فقضيته، أكان يؤدي ذلك عنها؟ قالت: نعم. قال: فصومي
عن أمك.
“Daripada Ibnu ‘Abbas r.a., katanya:
Seorang wanita datang kepada Rasulullah SAW, lalu berkata: Ya Rasulullah SAW,
sesungguhnya ibuku telah mati dan di atasnya ada puasa nadzar (yang belum
sempat ditunaikannya), apakah aku boleh berpuasa untuknya? Nabi SAW bertanya
kepada wanita itu: Bagaimana pendapat kamu jika ibumu mempunyai hutang, lalu
engkau membayar hutangnya itu, bukankah hutang itu terbayar darinya? Wanita itu
menjawab: Ya benar. Nabi SAW bersabda: Puasalah atas nama ibu engkau.” (H.R. Muslim,
no.1148 (156), Bab Mengganti Puasa Si Mati).
52.
Jika nadzar si mati itu merupakan shalat, menurut jumhur ulama’, nadzar
itu tidak dapat dan tidak perlu ditunaikan oleh warisnya, bahkan Ibnu Baththal
menuturkan ijma’ mengenai hal itu.
Namun, penuturan adanya ijma’ tersebut tidaklah benar, kerana Ibnu ‘Umar
r.a. pernah memerintahkan seorang wanita yang ibunya pernah bernadzar untuk
shalat di (masjid) Quba’, dengan mengatakan: “Shalatlah untuknya.[99]”
Sedangkan Abu Daud dan Ibnu Hazm mewajibkan penggantian shalat yang telah
dinadzarkan oleh si mati.[100] والله أعلم
.
53.
Apabila seorang bernadzar untuk menyembelih anaknya di Maqam Ibrahim,
menurut pendapat yang terkuat, orang itu tidak wajib menunaikan nadzarnya itu,
dan dia tidak perlu membayar kafarat, kerana nadzar tersebut adalah nadzar
ma’shiat, sedangkan Nabi SAW bersabda:
من نذر أن يطيع الله
فليطعه، ومن نذر أن يعصيه فلا يعصه
“Barangsiapa yang
bernadzar untuk mentha’ati Allah, hendaklah dia mentha’atinya dan barangsiapa
yang bernadzar untuk mema’shiatinya, janganlah dia mema’shiatinya.”
(Hadits shahih, telah ditakhrijkan di perenggan 7).
Demikianlah pendapat Asy-Syafi’i
& Abu Yusuf sebagaimana yang disebutkan Syaikh Ahmad Abu Al-Majd dalam
takhrijnya terhadap Bidayatul Mujtahid, 1:897, karya Ibnu Rusyd.[101]
54.
Apabila seseorang bernadzar untuk berpuasa pada hari-hari tertentu,
lalu hari itu bertepatan dengan Hari Raya Qurban atau Hari Raya Fithri,
misalmya seorang bernadzar untuk perpuasa pada setiap hari Isnin, lalu hari itu
bertepatan dengan Hari Raya Fithri atau Hari Raya Qurban, maka menurut jumhur
ulama’, nadzar tersebut tidak berlaku[102],
yakni tidak sah, tidak boleh ditunaikan dan tidak kafarat kerananya.[103]
Hal ini berdasarkan hadits bahawa Ibnu ‘Umar r.a pernah ditanya mengenai
seorang lelaki yang bernadzar bahawa tidak ada satu hari pun yang dilaluinya,
kecuali dia akan berpuasa, lalu (di antara hari-hari yang dilaluinya itu)
bertepatan dengan Hari Raya Adhha atau Hari Raya Fithri, lalu Ibnu ‘Umar r.a.
menjawab:
لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة. لم يكن يصوم يوم
الأضحى والفطر ولا يرى صيامهما.
“Demi sesungguhnya telah ada contoh pada diri Rasulullah SAW.
Nabi SAW tidak pernah berpuasa pada Hari Raya Adhha & Hari Raya Fithri dan
Nabi SAW tidak berpendapat untuk berpuasa pada kedua hari tersebut.” (H.R. Bukhari, no.6705).
55.
Apabila seseorang bernadzar untuk selain Allah.
Menurut Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, para ulama’ telah sepakat tidak boleh
seseorang berndazar untuk selain Allah, baik Nabi, maupun selainnya dan itu
adalah syirik yang tak boleh ditunaikan.[104] Beliau juga menyebutkan, adapun nadzar seorang hamba
untuk selain Allah, seperti nadzar untuk berhala, matahari, bulan, kuburan dan
semisalnya, maka itu setara dengan bersumpah kepada selain Allah.[105] Dan hukumnya adalah syirik, berdasarkan sabda Nabi SAW:
أن ابن عمر سمع رجلا يقول: لا، والكعبة. فقال ابن عمر:
لا يحلف بغير الله، فإني سمعت رسول الله (ص) يقول: من حلف بغير الله فقد كفر أو
أشرك.
“Bahawasanya Ibnu ‘Umar r.a. pernah mendengar seorang lelaki
bersumpah: Tidak, demi Kaabah! Maka Ibnu ‘Umar r.a. berkata: Janganlah
bersumpah dengan selain nama Allah, kerana sesungguhnya aku pernah mendengar
Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang bersumpah dengan selain (nama) Allah,
maka dia telah berbuat kufur atau syirik.” [H.R. Tirmizi, no.1535 & Abu
Daud, no.3251. Lafaz ini milik Tirmizi dan katanya, hadits ini hasan; dan
hadits ini dishahihkan pula oleh Al-Hakim.[106]
Kata At-Tirmizi selanjutnya: Ini seumpama apa yang diriwayatkan daripada Nabi
SAW bahawasanya Nabi SAW bersabda:
إن الرياء شرك.
“Sesungguhnya
riya’ itu syirik (kecil)” ][107]
56.
Al-Amir Ash-Shan’ani berkata nadzar yang dikenal pada masa kini terhadap
kuburan, tempat-tempat keramat dan orang-orang yang sudah meninggal, maka dalam
hal ini tidak ada perselisihan tentang keharamannya.[108]
Nadzar yang sedemikian itu haram ditunaikan dan tidak perlu membayar kafarat,
kerana termasuk dalam nadzar mema’shiati Allah, sedangkan Nabi SAW bersabda:
ومن
نذر أن يعصيه فلا يعصه
“Dan barangsiapa yang bernadzar
untuk mema’shiatinya, janganlah dia mema’shiatinya.” (Hadits shahih, telah
ditakhrijkan di perenggan 7 di atas).
Kesimpulan
57.
Demikianlah
perbahasan kami mengenai nadzar, meliputi Nadzar Muthlaq Dan Nazar Muqayyad,
termasuk nazar untuk mentha’ati Allah dan nazar untuk mema’shiatiNya. Semuanya
dijelaskan dalil-dalilnya samada dari Al-Qur’an maupun as-Sunnah as-Shahiihah.
Begitu juga disertakan pendapat para ulama’ mu’tabar mengenainya. Sekiranya apa
yang kami nyatakan dalam perbahasan ini benar, kami memuji Allah kerana
memberikan hidayahNya kepada kami. Dan sekiranya apa yang kami nyatakan atau
unggulkan dalam risalah ini tidak bertepatan dengan nash atau bercanggah dengan
pendapat yang lebih unggul darinya - tentunya setelah dirujuk kepada nash
Al-Qur’an maupun as-Sunnah as-Shahiihah - kami memohon ampun kepada Allah di
atas kesalahan itu dan kami dengan rela hati rujuk atau kembali kepada pendapat
yang benar itu Insya Allah.
58.
Kami
juga bermohon semoga risalah ini bermanfaat untuk kami, kedua ibubapa kami,
isteri kami, anak-anak keturunan kami, keluarga kami, sahabat-sahabat kami dan
sesiapa sahaja yang membacanya serta memperoleh manfaat dari bacaannya.
Mudah-mudahan risalah ini bakal menjadi amalan shaleh yang berguna untuk diri
kami di akhirat nanti.
Dan kami
akhiri dengan ucapan:
سبحانك
اللهم ويحمدك، أشهد أن لا إله إلا انت، أستغفرك وأتوب إليك. وصلى الله على نبينا
محمد وعلى أله وصحبه أجمعين. والحمد لله رب العالمين.
Selesai dengan
izin dan pertolongan Allah yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu pada 30
Ramadhan 1431 Hijrah bersamaan 9 Sept 2010.
Al-Faqir Ilallah:
ABU
MUHAMMAD NAASHIRUDDIN MUHAMMAD BIN YUSUF AL-KALANTAN.
Lot 1422,
Taman Peradang,
Jalan
Hospital,
15200 Kota
Bharu, Kelantan.
Tel :
09-7431422 (R)
Mobile :
017-9283937
[1] Secara bahasa, nadzar adalah mewajibkan
untuk melakukan kebaikan atau kejahatan. Menurut syara’, nadzar
adalah mewajibkan atas diri sendiri untuk melakukan ibadat yang pada dasarnya
tidak diwajibkan dengan lafaz yang menunjukkan hal itu. Misalnya,
seorang mengatakan: “Bersedekah dengan jumlah sekian wajib atasku kerana
Allah”, atau “Apabila Allah menyembuhkan keluargaku yang sakit, wajib
atasku berpuasa 3 hari” dan sebagainya. Nadzar tidak sah kecuali diucapkan
oleh orang yang baligh, ber’aqal dan memiliki kebebasan kehendak, walaupun dia
adalah orang kafir. Lihat Sayyid Sabiq, Fiqih Sunnah, 4:17,
Tahqiq Muhammad Sayyid Sabiq, terj. Indonesia, Pena Pundi Askara, Jakarta,
cet.1, 2008; Muhammad bin Ismail Ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah
Bulughul Maram, terj. Indonesia ,
Darus Sunnah Press, Jakarta ,
cet.1, 2008 dan lain-lain.
Dari lafaznya, nadzar terdiri dari dua jenis, iaitu Nadzar
Muthlaq dan Nadzar Muqayyad. Nadzar Muthlaq bermaksud
mewajibkan ke atas diri untuk melakukan sesuatu tanpa mensyaratkan sesuatu. Misalnya,
seorang mengatakan: “Kerana Allah aku bernadzar untuk puasa 3 hari.” Nadzar
Muqayyad ialah mewajibkan ke atas diri untuk melakukan sesuatu,
sekiranya hajatnya diperkenankan Allah. Misalnya, seorang
mengatakan: ”Kerana Allah aku bernadzar untuk berpuasa 3 hari jika
penyakitku ini sembuh.” Lihat juga penjelasan Ibnu Rusyd dalam Bidayatul
Mujtahid, 1:885, Takhrij Ahmad Abu Al-Majd, terj. Indonesia , Pustaka Azzam, Jakarta , cet.1, 2006.
Baik Nadzar Muthlaq
maupun Nadzar Muqayyad, dari segi kandungan yang dilafazkan,
ianya terdiri dari 4 jenis iaitu, Nadzar Tha’at, Nadzar Ma’shiat, Nadzar
Makruh, Dan Nadzar Mubah. Lihat juga penjelasan Ibnu Rusyd dalam Bidayatul
Mujtahid, 1:885-886, Takhrij Ahmad Abu Al-Majd, terj. Indonesia,
Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2006;
Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah,
3:453-471, terj. Indonesia , Pustaka At-Tazkia, Jakarta ,cet.1, 2007.
[2] Kecuali nadzar untuk melakukan
ma’shiat kepada Allah seperti nadzar kepada kubur, nadzar kepada para pelaku
ma’shiat, nadzar untuk minum khamar, membunuh, meninggalkan solat atau
menyakiti kedua orang tua. Apabila seseorang menadzarkan sesuatu dari perbuatan
itu atau perbuatan-perbuatan ma’shiat lainnya, maka dia tidak wajib
menunaikannya, bahkan haram baginya menunaikannya. Bahkan nadzarnya tidak sah dan
tidak ada kafarat kerana tidak menunaikannya,berdasarkan sabda Rasulullah SAW: لا نذرفي معصية الله ولا في مالا يملك ابن آدم
“Tidak ada
nadzar dalam mema’shiati Allah dan tidak ada nadzar dalam perkara yang tidak
dimiliki anak Adam.” (H.R. Nasa’I,
no.3812-shahih); لا نذر في معصية الله
“Tidak ada
nadzar dalam memaksiati Allah.” (H.R. Muslim, no. 1641); لا
نذر في معصية ولا في مالا يملك ابن آدم “Tidak ada nadzar dalam perkara ma’shiat
dan tidak ada nadzar dalam perkara yang tidak dimiliki anak Adam.” (H.R.
Ibnu Majah, no. 2124-shahih); لا وفاء لنذر في معصية ولا فيما لا يملك العبد “Tidak boleh menunaikan nadzar dalam
perbuatan ma’shiat dan tidak (boleh pula menunaikan nadzar) pada sesuatu yang
tidak dimiliki oleh seorang hamba.” (H.R. Muslim, no. 1641); لا
وفاء لنذر في معصية الله ولا فيما لا يملك ابن آدم “Tidak boleh menunaikan nadzar dalam
mema’shiati Allah dan tidak boleh pula menunaikan nadzar pada sesuatu yang
tidak dimiliki oleh anak Adam.” (H.R Abu Daud, no. 3316-shahih). Lihat
hadis-hadis tersebut dalam Shahih Muslim, no. 1641, Sunan Nasa’I, no. 3812,
Sunan Abu Daud, no. 3316, dan Sunan Ibnu Majah, no. 2124 dalam Al-Kutub
Al-Sittah, jilid 1 & 2, Maktabah Al-Rusyd, Naasyirun, Riyaadh. Juga
lihat Sayyid Sabiq, Fiqih Sunnah, 4:18, notakaki no.5, terj. Indonesia , Pena Pundi Askara, Jakarta , cet.1, 2008.
[3] Berdasarkan
sabda Nabi SAW: من نذر
أن يطيع الله فليطعه، ومن نذر أن يعصيه فلا يعصه “Barangsiapa yang bernadzar untuk
mentha’ati Allah, maka hendaklah dia mentha’atinya dan barangsiapa yang
bernadzar untuk mema’shiatinya, maka janganlah dia mema’shiatinya.” (H.R. Bukhari, no. 6696 & 6700; Abu Daud, no. 3289;
Tirmizi, no. 1526; Nasaa’i, no. 3806; Ibnu Majah, no. 2126)
[4] Al-Imam Muhammad ‘Ali bin Muhammad Asy-Syaukani, Nailul Authaar,
9:257, edisi terj. Indonesia, C.V
Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994; Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani,
Fathul Baari, 32: 349-351, edisi terj. Indonesia ,
Pustaka Azzam, Jakarta ,
cet.1, 2009.
[5] ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman Al-Bassam, Taudhiih Al-Ahkam Min Bulugh
Al-Maraam, edisi terj. Indonesia
dengan nama Syarah Bulughul Maram, 7:162, Pustaka Azzam, Jakarta , cet.1, 2007.
[6] Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 257-258, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1,
1994.
[7] Muhammad bin Ismail Al-Amir Ash-Shan’ani, Subulus
Salam Syarah Bulughul Maram, 3: 621-622, edisi terj. Indonesia, Darus
Sunnah Press, Jakarta, cet.1, 2008.
[9] Al-Hafiz Ibnu
Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, 3: 353, edisi terj. Indonesia,
Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2009.
[10] Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 257, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[12] Abu Malik Kamal
bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 3:449, terj. Indonesia, Pustaka At-Tazkia, Jakarta, cet.1,
2007.
[14] Ibid.
[15] Abu Malik Kamal
bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 3:451, terj. Indonesia,
Pustaka At-Tazkia, Jakarta,cet.1, 2007
[16] Sunan Tirmizi dalam Al-Kutub al-Sittah,
1: 1944, disebutkan oleh Tirmizi di bawah bab (10) Tegahan Bernadzar, Kitab Nadzar
dan Iman selepas menyebut hadits no. 1538 mengenai tegahan bernadzar. Hadits
tersebut seperti di perenggan no (2) di atas, hadits ke-3.
[17] Lihat juga
penjelasan Al-Qurthubi mengenainya sebagaimana yang disebutkan oleh Asy-Syaukani dalam Nailul Authaar,
9: 257-258, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1,
1994.
[20] Kaafur ialah nama
satu mata air di syurga yang airnya putih dan baunya sedap serta enak sekali
rasanya. Lihat Al-Quran dan Terjemahannya, ms. 1003, notakaki no.
1537.
[21] Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 258, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[22] Sayyid Sabiq, Fiqih Sunnah, 4:18, tahqiq
Muhammad Sayyid Sabiq, terj. Indonesia, Pena Pundi Askara, Jakarta, cet.1,2008.
[24] Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid,
1:885, Takhrij Ahmad Abu Al-Majd, terj. Indonesia, Pustaka Azzam,
Jakarta,cet.1,2006; Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim, Fiqih Sunnah Untuk
Wanita: 482-483, terj. Indonesia, Al-I’tisham Cahaya Umat,
Jakarta,cet.1,2007; Abu Bakar Jabir Al-Jazaairi, Pedoman Hidup Muslim:751-752,
terj. Indonesia, P.T. Pustaka Litera AntarNusa, Bogor, Indonesia, cet.1, 1996.
[25] Ibnu Rusyd, Bidayatul
Mujtahid, 1:885, Takhrij Ahmad Abu Al-Majd, terj. Indonesia, Pustaka Azzam,
Jakarta,cet.1,2006; Abu Bakar Jabir Al-Jazaairi, Pedoman Hidup Muslim:751,
terj. Indonesia, P.T. Pustaka LiteraAntar Nusa, Bogor, Indonesia, cet.1, 1996.
[26] Lihat juga
penjelasan Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1:885, Takhrij Ahmad Abu
Al-Majd, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta,cet.1,2006.
[27] Lihat juga
penjelasan Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1:885; Abu Malik Kamal bin
Sayyid Salim, Fiqih Sunnah Untuk Wanita: 483; Abu Bakar Jabir
Al-Jazaairi, Pedoman Hidup Muslim:752; Prof. Dr. HAMKA, Tafsir
Al-Azhar, Juzu’ 29-30, ms. 280, Yayasan Litamojong, Surabaya, Indonesia,
cet.1, 1984.
[28] Ibnu Rusyd, Bidayatul
Mujtahid, 1:885-886, Takhrij Ahmad Abu Al-Majd, terj. Indonesia, Pustaka
Azzam, Jakarta, cet. 1, 2006.
[31] Abu Bakar Jabir
Al-Jazaairi, Pedoman Hidup Muslim:752, terj. Indonesia, P.T. Pustaka Litera Antarnusa, Bogor,
Indonesia, cet.1, 1996.
[32] Menurut
Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Bulughul Maram, sanad hadits ini shahih, tapi
para penghafal hadits mengunggulkannya sebagai hadits mauquf kepada Ibnu ‘Abbas. Lihat
Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 3: 625, terj. Indonesia, Darus Sunnah
Press, Jakarta, cet.1, 2008; ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman Al-Bassam, Syarah
Bulughul Maram, 7:166-167, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2007; Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 269, terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia,
cet.1, 1994; Sunan Abu Daud: no. 3322 dalam Al-Kutub al-Sittah,
1: 1603.
[33] Ash-Shan’ani, Subulus
Salam, 3: 625, terj. Indonesia, Darus Sunnah Press, Jakarta, cet.1, 2008.
[34] ‘Abdullah bin
‘Abdurrahman Al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, 7:168, terj. Indonesia,
Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2007.
[38] Abu Bakar Jabir
Al-Jazaairi, Pedoman Hidup Muslim:752, terj. Indonesia, P.T. Pustaka Litera AntarNusa, Bogor,
Indonesia, cet.1, 1996.
[39] Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 263, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[41] Ibnu Rusyd, Bidayatul
Mujtahid, 1:890, Takhrij Ahmad Abu Al-Majd, terj. Indonesia, Pustaka Azzam,
Jakarta,cet.1,2006
[42] Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 263, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[44] Asy-Syaikh
Faishal bin ‘Abdul ‘Aziz Aali Mubarak, Bustanul Akhbaar Mukhtashar Nailul
Athaar, terj. Indonesia dengan nama Terjemahan Nailul Athaar Himpunan
Hadith-Hadith Hukum, 6:583, PT. Bina Ilmu, Surabaya, Indonesia, cet.1,
1986.
[45] Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 271, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia,
cet.1, 1994.
[46] Lihat Sunan
Abu Daud, no.3293 dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1:1600, Sunan Tirmizi,
no.1544 dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1:1945, Sunan An-Nasaa-i,
no.3815, dalam Al-Kutub Al-Sittah, 2:2537 dan Sunan Ibnu Majah,
no.2134 dalam Al-Kutub Al-Sittah, 2:2894. Lihat juga Abu Malik Kamal bin
As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 3:455, notakaki no.1292, terj.
Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2007.
[47] Abu Malik Kamal
bin Sayyid Salim, Fiqih Sunnah Untuk Wanita: 484, terj. Indonesia,
Al-I’tisham Chahaya Umat, Jakarta,cet.1, 2007.
[48] Sebaliknya jika
dia tidak mampu menunaikannya, maka nadzarnya itu tidak wajib ditunaikan dan
tidak ada kafarat baginya seperti dijelaskan dalam perenggan 22 & 23 di
atas. Perhatikan kembali!
[51] Abu Malik Kamal
bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 2:534, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta,
cet.1, 2006.
[52] Sunan Nasaa-i, no.2812, dalam Al-Kutub Al-Sittah,
2: 2536, Maktabah Al-Rusyd, Naasyiruun, Riyadh, cet.1, 2005.
[53] Abu Malik Kamal
bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 2:534, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2006; Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 277, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang,
Indonesia, cet.1, 1994.
[54] Abu Malik Kamal
bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 2:534, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta,
cet.1, 2006.
[56] Sunan Tirmizi, no.3675, dalam Al-Kutub Al-Sittah,
1: 2180, Maktabah Al-Rusyd, Naasyiruun, Riyadh, cet.1, 2005.
[57] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah,
2:535, notakaki no.1330, terj.
Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2006.
[59] Dalam
Sunan Abu Daud, no.3321, dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1: 1602, hadits
ini dinyatakan hasan shahih. Menurut Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim,
Shahih Fiqih Sunnah, 2:535, notakaki no.1332, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta,
cet.1, 2006, sanadnya hasan.
[60] Dalam
Sunan Abu Daud, no.3319, dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1: 1601, hadits
ini dikatakan sanadnya shahih.
[61] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah,
2:536, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2006.
[62] Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 278, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[63] Abu Malik Kamal
bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 2:536, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2006
[64] Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 277, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[65] Hadith shahih
dengan mengumpulkan jalur-jalur sanadnya. Lihat Al-Albaani, Irwaa-ul-Ghalil,
3:408-414, hadith no.896.
[67] Ibid, 2:538; Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9:
277, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[68] Sunan Abu Daud, no.3305, dalam Al-Kutub Al-Sittah,
1: 1600; Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 284, edisi terj. Indonesia,
C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[69] Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 281-282, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang,
Indonesia, cet.1, 1994 & Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih
Fiqih Sunnah, 3:463, edisi terj. Indonesia, Pustaka At-Tazkia, cet.1, 2007.
[71] Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 284, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[73] Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 282-283, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[76] Ibnu Rusyd, Bidayatul
Mujtahid, 1:895, Takhrij Ahmad Abu Al-Majd, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta,cet.1,2006.
[77] Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 286, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[79] Al-Hafiz Ibnu
Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, 6: 384, edisi terj. Indonesia, Pustaka
Azzam, Jakarta, cet.1, 2004.
[81] Abu Malik Kamal
bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 3:464, edisi terj. Indonesia,
Pustaka At-Tazkia, cet.1, 2007.
[83] Sanadnya layyin
(lemah sedikit). Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah (35:257) menyandarkan kepada
Al-Atsram yang berkata: Menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Raja’,
menceritakan kepada kami ‘Imran daripada Qatadah daripada Zararah bin Abi Aufa.
Lihat Ibid.
[85] Abu Bakar Jabir
Al-Jaaziri, Minhajul Muslim, edisi terj. Indonesia dengan tajuk Pedoman
Hidup Muslim: 752, P.T Pustaka Litera AntarNusa, cet.1, 1996.
[86] Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 272-274, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[88] Abu Malik Kamal
bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 3:465, edisi terj. Indonesia,
Pustaka At-Tazkia, cet.1, 2007.
[89] Ash-Shan’ani, Subulus
Salam, 3: 361, notakaki no.839, terj. Indonesia, Darus Sunnah Press,
Jakarta, cet.1, 2008.
[90] ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman Al-Bassam, Syarah
Bulughul Maram, 7:176-177, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1,
2007.
[92] Ash-Shan’ani, Subulus
Salam, 3: 360, terj. Indonesia, Darus Sunnah Press, Jakarta, cet.1, 2008.
[93] Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 9: 272-273, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang,
Indonesia, cet.1, 1994.
[95] Ash-Shan’ani, Subulus
Salam, 3: 361, notakaki no.841, terj. Indonesia, Darus Sunnah Press,
Jakarta, cet.1, 2008.
[96] Lihat juga
penjelasan Syaikh
‘Abdullah bin ‘Abdurrahman Al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, 7:178-181,
terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2007.
[97] Syaikh Muhammad
bin Shalih Al-Utsaimin, Hukum Udhhiyah dan Penyembelihan, ms.58, edisi
terj. Indonesia, At-Tibyan, Solo, Indonesia, tanpa tahun terbitan. Kitab ini
adalah terjemahan dari kitab asal berbahasa Arab,”Talkhis Kitab Ahkaamil
Udhhiyah Wadz Dzakaat” karya Syaikh Al-Utsaimin.
[98] Asy-Syaukani, Nailul
Authaar, 5: 192,Darul Fikr, tanpa tarikh, edisi terj. Indonesia dengan nama
Nailul Authaar, 5: 373-374, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1,
1994; Al-Allamah Al-Wara’ Fadhiilah Asy-Syaikh Faishal bin ‘Abdul ‘Aziz Aali
Mubarak, Bustanul Akhbaar Mukhtashar Nailul Athar, edisi terj. Indonesia
dengan nama Terjemahan Nailul Athaar, 4:1577, PT. Bina Ilmu, Surabaya,
Indonesia, cet.1, 1983.
[99] Abu Malik Kamal
bin As-Sayyid Salim menyebutnya dalam Shahih Fiqih Sunnah, 3:467
di bawah notakaki 1328, terj. Indonesia, Pustaka At-Tazkia, Jakarta, cet.1,
2007, atsar ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari (11:584) dengan sighat jazm.
Al-Hafiz tidak menyebutkan rangkaian sanadnya dalam Al-Taghliq (5:203).
[100] Al-Muhalla, 8:28, dipetik daripada Abu Malik Kamal
bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 2:543, notakaki no.1354, terj.
Indonesia, Pustaka Azzam, cet.1, 2006.
[102] Al-Hafiz Ibnu
Hajar Al-‘Asqalani, Fathul Baari, 32:398, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2009.
[104] Majmu’ Al-Fatawa, 1:287, dinukil dari Shahih Fiqih
Sunnah, 3:473, karya Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim, terj. Indonesia,
Pustaka At-Tazkia, Jakarta, cet.1, 2007.
[108] Abu Malik Kamal
bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 3:473, terj. Indonesia, Pustaka At-Tazkia, cet.1, 2007.