Pages

Sunday, July 26, 2015

PERSOALAN NADZAR MENURUT AL-QURAN & AS-SUNNAH

MUQADDIMAH

1.     Nadzar[1] merupakan satu persoalan yang cukup uniq kerana pada dasarnya ia dilarang, namun jika sudah terlanjur bernadzar, nadzarnya itu tidak dianggap batal[2], bahkan dituntut, yakni wajib menunaikannya[3]. Demikian ditegaskan oleh Al-Khaththabi sebagaimana yang disebutkan oleh Asy-Syaukani dalam Nailul Authaar[4]. Pendapat yang hampir sama juga disebutkan oleh Syeikh ‘Abdullah Al-Bassam dalam Taudhiih Al-Ahkam Min Bulugh Al-Maraam[5].
2.     Secara umumnya pendapat tersebut (di perenggan 1) ada kebenarannya, kerana Nabi SAW sendiri pernah melarang nadzar seperti sabdanya:

عن ابن عمر رضي الله عنهما قال: نهى النبي  (ص) عن النذر وقال: إنه لا يرد شيئا، وإنما يستخرج به من البخيل.
“Dari Ibnu ‘Umar r.a, katanya: Nabi SAW melarang bernadzar dan Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya nadzar tidak mampu menolak sesuatu pun dan sesungguhnya nadzar hanya dikeluarkan dari (oleh) orang bakhil”. (H.R. Bukhari, no. 6608 & Muslim, no. 1639. Lafaz ini milik Bukhari)

Dalam hadits Ibnu ‘Umar yang lain disebutkan:
نهى النبي (ص) عن النذر وقال: إنه لا يرد شيئا، ولكنه يستخرج من البخيل.
“Nabi SAW melarang dari bernadzar dan bersabda: Sesungguhnya nadzar tidak mampu menolak sesuatu, akan tetapi ianya dikeluarkan dari (oleh) orang bakhil.” (H.R. Bukhari, no.6639).

Diterima juga daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
لا تنذروا فإن النذر لا يغنى من القدر شيئا، وإنما يستخرج به من البخيل.

“Janganlah kamu bernadzar kerana sesungguhnya nadzar tidak berpengaruh apa-apa terhadap taqdir dan sesungguhnya nadzar hanya dikeluarkan dari (oleh) orang bakhil.” (H.R. Muslim, no.1640(5); Tirmizi, no.1538; dan Nasaa’i, no.3805).

Dari Abu Hurairah juga bahawasanya Nabi SAW bersabda:
إن النذر لا يقرب من ابن آدم شيئا لم يكن الله قدره له، ولكن النذر يوافق القدر، فيخرج بذلك من البخيل ما لم يكن البخيل يريد أن يخرج.
“Sesungguhnya nadzar tidak dapat mendekatkan seseorang anak Adam sedikitpun dari yang tidak ditaqdirkan Allah untuknya, akan tetapi nadzar mengikuti taqdir (sehingga dengan demikian), maka ia dikeluarkan dari (oleh) orang bakhil ketika orang bakhil tersebut enggan mengeluarkannya.” (H.R. Muslim, no.1640(7))

3.     Larangan dalam hadits-hadits di atas dan hadits-hadits lain yang semakna dengannya oleh sebahagian ulama’ dikatakan bermaksud haram. Di antara yang berpendapat demikian ialah Asy-Syaukani dalam Nailul Authaar[6]. Ash-Shan’ani dalam Subulus Salam[7], seakan-akan cenderung kepada pendapat ini.
     
4.     Menurut Al-Qurthubi, larangan tersebut adalah makruh[8]. Pendapat ini dipersetujui oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani. Katanya: “Saya hairan terhadap orang yang mengatakan bahawasanya nadzar tidak makruh, padahal larangannya telah dikemukakan oleh Nabi SAW, kerana paling tidak, tingkat larangan itu adalah makruh tanzih.”[9] Para ulama’ Mazhab Hanbali dengan tegas memakruhkannya[10]. Imam At-Tirmizi menyebut beberapa ulama’ dari kalangan sahabat Nabi SAW memakruhkan bernadzar.[11] Menurut Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim, jumhur ulama’ menghukumi nadzar, makruh.[12]

5.     Sebahagian ulama’ lain di antaranya An-Nawawi dalam At-Tahzib menegaskan nadzar dianjurkan ataupun mustahab[13]. Pendapat ini juga didokong oleh Al-Qadhi Husain, Al-Mutawalli dan Al-Ghazali.[14] Jumhur ulama’ Malikiyah juga berpendapat demikian.[15]

6.     Keanehan atau keuniqan nadzar sebagaimana yang ditegaskan oleh Al-Khaththabi seperti yang disebutkan dalam perenggan satu (1) di atas, nampak bertambah jelas apabila diperhatikan kata-kata Ibnu Al-Mubarak, iaitu makruh bernadzar baik untuk melakukan ketha’atan ataupun ma’shiat kepada Allah. Maksudnya, jika seseorang bernadzar untuk melakukan ketha’atan, lalu dilaksanakannya (ditunaikan), ia mendapat pahala, tetapi ditegah baginya bernazar.[16]

7.     Sebagai kompromi dari pelbagai pendapat di atas dapat dikatakan bahawa bernadzar untuk melakukan ketha’atan kepada Allah apabila hajatnya ditunaikan oleh Allah, hukumnya makruh. Namun, nadzar tersebut wajib ditunaikannya apabila hajatnya tercapai. Letak makruh hukumnya ialah meletakkan syarat untuk melakukan ketha’atan kepada Allah apabila hajatnya tercapai. Kalau hajatnya tidak tercapai, ketha’atan yang dinadzarkan itu tidak dilaksanakan. Dengan demikian, jelas dia adalah seorang yang bakhil dalam melakukan ketha’atan (yang dinadzarkan) kepada Allah. Inilah yang dimaksudkan oleh hadits-hadits yang disebutkan dalam perenggan (2) di atas.[17] Adapun nadzar yang haram ialah nadzar (samada nadzar muthlaq atau nadzar muqayyad)[18] untuk melakukan ma’shiat kepada Allah, berdasarkan hadits:

من نذر أن يطيع الله فليطعه، ومن نذر أن يعصيه فلا يعصه
“Barangsiapa yang bernadzar untuk mentha’ati Allah, maka hendaklah dia mentha’atinya dan barangsiapa yang bernadzar untuk mema’shiatinya, maka janganlah dia mema’shiatinya.” (H.R. Bukhari, no.6696 & 6700; Abu Daud, no.3289; Tirmizi, no.1526; Nasa’I, no.3806; Ibnu Majah, no.2126).

8.     Manakala nadzar yang dianjurkan, bahkan dipuji oleh Allah ialah Nadzar Muthlaq untuk melakukan ketha’atan kepada Allah, lalu dia menunaikannya. Inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah:
يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرا
“ Mereka menunaikan nadzar dan mereka takut suatu hari yang ‘azabnya merata” (Al-Insan, 76: 7)

Menurut Qatadah sebagaimana yang disebutkan oleh Ath-Thabari dengan sanad yang shahih, yang dimaksudkan dengan ayat يُوفُونَ بِالنَّذْرِ  (mereka menunaikan nadzar) ialah mereka bernadzar (secara muthlaq) kepada Allah untuk melakukan ketha’atan seperti solat, puasa, zakat dan haji serta ‘umrah dan kewajipan-kewajipan lainnya, lalu mereka menunaikannya. Oleh kerana itulah, Allah SWT menamai mereka sebagai orang-orang yang abraar (yang membuat kebajikan)[19] seperti firmanNya:
إِنَّ الْأَبْرَارَ يَشْرَبُونَ مِن كَأْسٍ كَانَ مِزَاجُهَا كَافُورا٥   عَيْنًا يَشْرَبُ بِهَا عِبَادُ اللَّهِ يُفَجِّرُونَهَا تَفْجِيرًا٦      يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرا  -٧
Sesungguhnya orang-orang yang abraar (berbuat kebajikan), minum dari gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah kaafur [20]. (Iaitu) mata air (dalam syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya. Mereka menunaikan nadzar dan mereka takut akan suatu hari yang ‘azabnya merata di mana-mana.” (Al-Insan, 76: 5-7)

Menurut Asy-Syaukani, ayat ini menunjukkan dengan tegas bahawa pujian Allah hanya berlaku terhadap nadzar muthlaq, iaitu nadzar yang bebas dari unsur imbalan dan kepentingan pihak yang bernadzar.[21]
     
9.     Ulama’ yang berpendapat nadzar di anjurkan, juga mendasarkan pendapat mereka kepada firman Allah:
وَمَا أَنفَقْتُم مِّن نَّفَقَةٍ أَوْ نَذَرْتُم مِّن نَّذْرٍ فَإِنَّ اللّهَ يَعْلَمُهُ
”Dan apa saja infaq yang kamu infaqkan atau nadzar yang kamu nadzarkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Al-Baqarah, 2: 270)

10.            Baik ulama’ yang mengatakan nadzar itu makruh, maupun dianjurkan, namun apabila sudah terlanjur bernadzar untuk melakukan ketha’atan kepada Allah, nadzar tersebut wajib ditunaikan, berdasarkan hadits ‘Aisyah r.a bahawasanya Nabi SAW bersabda:
من نذر أن يطيع الله فليطعه، ومن نذر أن يعصيه فلا يعصه
“Barangsiapa yang bernadzar untuk mentha’ati Allah, maka hendaklah dia mentha’atinya dan barangsiapa yang bernadzar untuk mema’shiatinya, maka janganlah dia mema’shiatinya.” (H.R. Bukhari, no.6696 & 6670; Abu Daud, no.3289; Tirmizi, no.1526; Nasaa’i, no.3806; Ibnu Majah, no.2126)
Namun, apabila bernadzar untuk melakukan ma’shiat kepada Allah, maka dia tidak wajib menunaikannya bahkan haram baginya menunaikannya. Bahkan nadzarnya itu tidak sah dan tidak ada kafarat kerana tidak menunaikannya,[22] berdasarkan hadits ‘Aisyah di perenggan no. (10) di atas. Juga berdasarkan hadits ‘Imran bin Hushain bahawasanya Nabi SAW bersabda:
لا نذر في معصية الله ولا في ما لا يملك ابن آدم
“Tidak ada nadzar dalam mema’shiati Allah dan tidak ada nadzar dalam perkara yang tidak dimiliki anak Adam.” (H.R. Nasaa’i, no.3812-shahih)[23]

Dalam riwayat Ibnu Hujr, Nabi SAW bersabda:
لا نذر في معصية الله
“Tidak ada nadzar dalam mema’shiati Allah.” (H.R. Muslim, no.1641)

Juga berdasarkan hadits ‘Imran bin Hushain:
لا وفاء لنذر في معصية ، ولا في ما لا يملك العبد
“Tidak boleh menunaikan nadzar dalam perkara ma’shiat dan tidak (boleh pula menunaikan nadzar) pada sesuatu yang tidak dimiliki oleh seorang hamba.” (H.R. Muslim, no.1641; dan Abu Daud, no. 3316. Lafaz ini milik Muslim)

Jenis-jenis Nadzar
11.            Dari segi lafaznya, nadzar terdiri dari dua jenis, Nadzar Muthlaq dan Nazar Muqayyad.[24] Nadzar Muthlaq bermaksud mewajibkan ke atas diri untuk melakukan sesuatu tanpa mensyaratkan sesuatu. Misalnya seorang mengatakan:”Kerana Allah aku bernadzar berpuasa tiga hari”. Ini merupakan Nadzar Muthlaq jenis pertama, iaitu Nadzar Muthlaq yang isinya cukup jelas. Manakala Nadzar Muthlaq jenis kedua pula, ialah Nadzar Muthlaq yang disebutkan tanpa menegaskan dengan jelas apa yang dinadzarkannya. Misalnya, seorang mengatakan:”Kerana Allah aku bernadzar”.[25]
     
12.            Nadzar Muthlaq yang pertama (yang jelas) boleh berlaku dengan menggunakan kalimah nadzar secara jelas seperti seorang mengatakan: “Kerana Allah aku bernadzar berpuasa tiga hari”, dan boleh juga berlaku secara tidak jelas, yakni dengan tidak menggunakan kalimah nadzar. “Kerana Allah aku wajib berpuasa tiga hari.” [26]

13.            Nadzar Muqayyad ialah mewajibkan ke atas diri untuk melakukan sesuatu sekiranya hajatnya diperkenankan oleh Allah. Misalnya, “Kerana Allah aku bernadzar untuk  berpuasa tiga hari jika penyakit yang aku alami ini sembuh”, atau “sekiranya Allah menyembuhkan penyakitku ini, aku akan memberi makan tiga orang miskin”, atau “aku berjanji, jika penyakitku ini sembuh, aku akan puasa tiga hari”, atau “jika aku mendapat kawasan balak yang aku minta ini, wajib atasku puasa 3 hari” dan lain-lain seumpamanya.[27]

14.            Baik Nadzar Muthlaq maupun Nadzar Muqayyad, dilihat dari segi isi kandungan yang dinadzarkan / dilafazkan, ianya dapat dibahagi kepada 4 jenis, iaitu:

             i.      Nadzar untuk melakukan ketha’atan;
           ii.      Nadzar untuk melakukan ma’shiat;
        iii.      Nadzar untuk melakukan perkara-perkara yang makruh; dan
        iv.      Nadzar untuk melakukan perkara-perkara yang mubah (harus).[28]

Hukum Nazar[29] Mengikut Jenis-Jenisnya

15.            Nadzar Muthlaq yang jelas untuk melakukan ketha’atan kepada Allah SWT. Misalnya, “Kerana Allah aku bernadzar berpuasa tiga hari”, atau “kerana Allah wajib bagiku berpuasa tiga hari”,  atau “kerana Allah wajib bagiku memberi makan kepada tiga orang miskin”. Nadzar seumpama ini dianjurkan, bahkan dipuji oleh Allah bagi orang yang bernadzar dan yang menunaikannya.[30] Allah menyebut orang yang seumpama ini dengan orang-orang “al-Abraar” (orang-orang yang berbuat kebajikan) seperti firmanNya:
إِنَّ الْأَبْرَارَ يَشْرَبُونَ مِن كَأْسٍ كَانَ مِزَاجُهَا كَافُورا٥ عَيْنًا يَشْرَبُ بِهَا عِبَادُ اللَّهِ يُفَجِّرُونَهَا تَفْجِيرًا٦      يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرا  -٧
“Sesungguhnya orang-orang yang abraar (berbuat kebajikan), minum dari gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah kaafur. (Iaitu) mata air (dalam syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya. Mereka menunaikan nadzar dan mereka takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana.” (Al-Insan, 76: 5-7)

16.            Nadzar ini wajib ditunaikan berdasarkan firman Allah di atas. Juga berdasarkan firmanNya yang lain:
وَأَوْفُوا بِعَهْدِ اللَّهِ إِذَا عَاهَدْ تُمْ
“Dan tunaikanlah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji.”(an-Nahl, 16:91)

Juga berdasarkan firmanNya:
ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
“Kemudian, hendaklah mereka menghilangkan kotoran (dengan memotong rambut, mengerat kuku, dan sebagainya.) yang ada pada badan mereka dan hendaklah mereka menyempurnakan nadzar-nadzar mereka” (Al-Hajj, 22: 29)

Juga berdasarkan sabda Nabi SAW:
     من نذر أن يطيع الله فليطعه
“Barangsiapa yang bernadzar untuk mentha’ati Allah, maka hendaklah dia mentha’atinya….” (H.R. Bukhari, no.6696 & 6700; Abu Daud, no.3289; Tirmizi, no.1526; Nasaa’i, no.3806; Ibnu Majah, no.2126)

17.            Nadzar Muthlaq yang tidak dijelaskan / ditentukan apa yang dinadzarkannya. Misalnya seorang mengatakan: “Kerana Allah aku bernazar”. Nadzar seperti ini, hukumnya wajib ditunaikan dengan kifarat sumpah[31], berdasarkan hadits ‘Uqbah bin ‘Aamir r.a, katanya, Rasulullah SAW bersabda:
كفارة النذر إذا لم يسم كفارة يمين
“Kafarat nadzar, apabila tidak disebut (nadzarnya) adalah kafarat sumpah” (H.R. Tirmizi, no. 1528, katanya: hasan shahih gharib)

Juga berdasarkan hadits Ibnu Abbas r.a bahawasanya Nabi  SAW bersabda:
من نذر ولم يسمه فكفارته كفارة يمين
“Barangsiapa yang bernadzar dan tidak menyebutnya (apa yang di) nazarnya, maka kafaratnya adalah kafarat sumpah.” (H.R. Abu Daud, no. 3322).[32]

Menurut Ash-Shan’ani dalam Subulus Salam[33], demikianlah pendapat jumhur ulama’. Menurut penulis, inilah pendapat yang benar InsyaAllah, berdasarkan hadits-hadits tersebut.

18.            Demikian juga dengan Nadzar Muthlaq yang jelas untuk melakukan ketha’atan kepada Allah seperti yang disebutkan di perenggan 15 di atas, apabila tidak ditunaikan, maka orang yang berkenaan wajib membayar kafarat sumpah[34].

19.            Adapun KAFARAT SUMPAH adalah seperti berikut, iaitu melakukan salah satu dari perkara-perkara berikut[35]:

1.     Memberi makan 10 orang miskin (dari makanan yang biasa dimakan bersama keluarga); atau
2.     Memberi pakaian kepada 10 orang miskin; atau
3.     Memerdekakan seorang hamba.
4.     Sekiranya tidak mampu melakukan salah satu dari perkara-perkara di no. 1-3 di atas di atas, hendaklah ia berpuasa selama 3 hari.

Penetapan tersebut adalah berdasarkan firman Allah:
لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ
“Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia (Allah) menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kafarat (melanggar) sumpah itu ialah memberi makan 10 orang miskin (iaitu) dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka (10 orang miskin), atau memerdekakan seorang hamba. Barangsiapa tidak sanggup melakukan demikian, maka kafaratnya, puasa selama 3 hari. Yang demikian itu adalah kafarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgarinya).” (Al-Maa-idah, 5: 89)

20.            Barangsiapa yang bernadzar secara muqayyad untuk melakukan ketha’atan kepada Allah, misalnya seorang mengatakan:”Jika Allah menyembuhkan penyakitku ini, atau mengembalikan barangku yang hilang, maka aku akan memberikan makanan kepada 10 orang atau aku akan puasa 3 hari”. Nadzar Muqayyad ini hukumnya makruh[36], tetapi wajib ditunaikannya, apabila hajatnya itu tercapai[37]. Namun, jika Allah tidak memenuhi hajatnya, maka tidak wajib baginya menunaikan nadzarnya itu[38] dan tidak ada kafarat baginya. Namun, jika dia tidak menunaikan nadzarnya itu setelah hajatnya dipenuhi, dia diwajibkan membayar kafarat.

21.            Barangsiapa yang bernadzar melakukan ketha’atan melalui cara yang menyusahkan dirinya sendiri, sedangkan cara yang sedemikian tidak ada tuntunannya dari Al-Qur’an maupun As-sunnah, misalnya seorang yang mengatakan: “Jika penyakitku ini sembuh, aku akan puasa satu hari dalam keadaan berdiri di bawah panas cahaya matahari, tidak akan duduk, tidak akan berteduh dan tidak akan bercakap. Nadzar seumpama ini mengandungi dua aspek:

1.     Berpuasa : Ini ketha’atan kepada Allah dan wajib ditunaikan apabila hajatnya tercapai;
2.     Berdiri di bawah panas matahari, tidak duduk, tidak akan berteduh dan tidak akan bercakap. Ini merupakan penyeksaan diri dan tidak termasuk ketha’atan kepada Allah. Nadzar semacam ini tidak sah[39], tidak wajib ditunaikan, walaupun hajatnya tercapai dan tidak ada kafarat baginya[40].

Hal ini berdasarkan hadits Ibnu ‘Abbas r.a, katanya:
بينا النبي (ص) يخطب، إذا هو برجل قائم فسأل عنه فقالوا: أبو إسرائيل، نذر أن يقوم ( في الشمس) ولا يقعد ولا يستظل ولا يتكلم (أن) يصوم. فقال النبي صلعم: مره فليتكلم وليستظل وليقعد وليتم صومه.
“Ketika Nabi SAW berkhutbah, tiba-tiba seorang lelaki berdiri, lalu Nabi SAW bertanya perihal lelaki tersebut. Mereka (para sahabat) menjawab: (Lelaki yang berdiri itu ialah) Abu Israa-il, telah bernadzar untuk berdiri (di bawah panas matahari), tidak duduk, tidak berteduh, tidak berkata-kata dan (dalam keadaan) berpuasa. Maka Nabi SAW bersabda: Suruhlah dia berkata-kata, berteduh, duduk dan hendaklah dia menyempurnakan puasanya.” (H.R. Bukhari, no. 6704; Abu Daud, no.2136. Lafaz ini milik Bukhari dan tambahan dalam kurungan pertama & kedua, milik Ibnu Majah. Hadits ini juga diriwayatkan oleh Ahmad (4: 161) dan Al-Baihaqi (10:75) sebagaimana disebutkan oleh Ahmad Abu Al-Majd dalam takhrijnya terhadap Bidayatul Mujtahid, 1: 890, notakaki no. 906, karya Ibnu Rusyd.[41])

22.            Menurut Ash-Syaukani dalam Nailul Authaar, hadits ini merupakan hujah terbesar bagi jumhur ulama’ bahawa tidak wajib membayar kafarat bagi orang yang bernadzar ma’shiat atau bernadzar melakukan sesuatu yang tidak termasuk ketha’atan kepada Allah.[42] Imam Malik mengatakan dia tidak pernah mendengar (mengetahui) Rasulullah SAW menyuruh orang yang bernadzar sedemikian itu membayar kafarat.[43] Al-Qurtubi mengatakan, hadits mengenai nadzar Abu Israa-il ini (seperti di perenggan 21 di atas) merupakan alasan terkuat bagi jumhur ulama’ mengenai tidak wajibnya membayar kafarat bagi nadzar ma’shiat atau nadzar yang tidak mampu dilaksanakan.[44] Menurut penulis, inilah pendapat yang benar, berdasarkan zahir hadits (di perenggan 21) Abu Israa-il di atas, kerana dalam hadits tersebut Nabi SAW melarang Abu Israa-il memenuhi nadzarnya untuk berdiri di bawah panas matahari, tidak duduk, tidak berteduh dan tidak berkata-kata, namun nadzarnya untuk berpuasa hendaklah disempurnakan. Nabi SAW tidak pula menyuruh Abu Israa-il membayar kafarat kerana tidak memenuhi nadzarnya untuk berdiri di bawah panas matahari… Perhatikanlah! Mudah-mudahan Allah SWT menganugerahkan petunjukNya kepada kita.

23.            Demikian juga jika seseorang bernadzar untuk berjalan kaki ke Baitullah, sedangkan ia berada di tempat jauh dan tidak mampu untuk berjalan ke Baitullah, maka ia tidak wajib menunaikan nadzarnya itu dengan berjalan kaki ke Baitullah, tetapi ia tetap wajib ke Baitullah dengan berkenderaan dan juga berjalan kaki sedikit sekadar kemampuannya dan kalau tak mampu berjalan, hanya dengan berkenderaan. Penetapan ini adalah berdasarkan hadits Anas r.a:
أن النبي ( ص)  رأى شيخا يهادى بين ابنيه (ف) قال: ما بال هذا؟ قالوا: نذر أن يمشي. قال: إن الله عن تعذيب هذا نفسه لغني. وأمره أن يركب.
“Bahawasanya nabi SAW melihat seorang lelaki tua dipapah (dipimpin) oleh dua orang anak lelakinya. (Lalu) Nabi SAW bertanya: Kenapa orang ini? Mereka (para sahabat) menjawab: Dia bernadzar untuk berjalan kaki (ke Baitullah). Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah tidak memerlukan penyeksaan orang ini terhadap dirinya. Dan suruhlah dia berkenderaan.” (H.R.Bukhari, no.1865, dan Muslim, no.1642. Tambahan dalam kurungan (ف) adalah dalam riwayat Muslim. Muslim  meriwayatkan di bawah bab من نذر أن يمشي الى كعبة , manakala Bukhari di bawah bab من نذر المشي الى الكعبة ,  kedua-duanya membawa makna orang yang bernadzar berjalan kaki ke Ka’bah ).

Dalam hadits lain yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Sa’id bin Abi Ayub bahawa Yazid bin Abi Habib mengkhabarkan kepadanya, bahawasanya Abu Al-Khair menceritakan kepadanya daripada ‘Uqbah bin ‘Aamir, katanya:
نذرت أختي أن تمشي إلى بيت الله، وأمرتني أن أستفتي لها النبي (ص)، فاستفتيته، فقال (ص): لتمشى ولتركب
“Saudara perempuanku bernadzar untuk berjalan kaki ke Baitullah dan dia memerintahkan aku meminta fatwa kepada Nabi SAW (mengenai nadzar itu) untuknya. Lalu aku pun meminta fatwa kepada Nabi SAW, maka Nabi SAW bersabda: Hendaklah ia (saudara perempuanmu) berjalan kaki dan berkenderaan.” (H.R.Bukhari dalam shahihnya, bab من نذر المشي الى الكعبة , no.1866; dan Muslim, no.1644)

24.            Dalam hadits Anas (perenggan 23 di atas) yang diriwayatkan oleh Bukhari, menunjukkan nadzar berjalan kaki ke Baitullah untuk melakukan ibadat tidak wajib dilaksanakan sekiranya orang yang bernadzar itu tidak mampu mendatanginya dengan berjalan kaki. Bahkan orang yang berkenaan boleh dan hendaklah mendatanginya dengan berkenderaan untuk menjalankan ketha’atan yang dinadzarkannya itu. Dalam hal ini dia tidak diwajibkan membayar kafarat kerana tidak berjalan kaki itu, disebabkan dia tidak mampu, sehingga terpaksa dipapah (dipimpin) oleh dua orang anak lelakinya. Dan Nabi SAW tidak pula memerintahkan lelaki tersebut membayar kafarat.

25.            Sementara dalam hadits ‘Uqbah bin ‘Aamir (perenggan 23) pula, Nabi SAW memerintahkan supaya saudara perempuan ‘Uqbah menunaikan nadzarnya untuk berjalan kai ke Baitullah sekiranya dia mampu atau sekadar kemampuannya dan menyuruhnya berkenderaan sahaja sekiranya dia benar-benar tidak mampu[45], atau berjalan sejauh kemampuannya dan bakinya disempurnakan dengan berkenderaan. Dalam hal ini, juga tidak diwajibkan membayar kafarat, kerana hal  tersebut langsung tidak disentuh oleh Nabi SAW. Perhatikanlah!

26.            Adapun perintah untuk membayar kafarat dengan berpuasa tiga hari seperti dalam riwayat Tirmizi, juga daripada ‘Uqbah bin ‘Aamir, bahawasanya saudara perempuannya bernadzar untuk berjalan kaki (ke Baitullah) tanpa alas kaki dan tanpa bertudung. Ketika hal itu disampaikan  kepada Nabi SAW, maka Nabi SAW bersabda:
مرها فلتركب ولتختمر ولتصم ثلاثة أيام.
“Suruhlah saudara perempuanmu agar naik kenderaan dan memakai tudung dan (sebagai kafaratnya) hendaklah dia berpuasa tiga hari.” (H.R.Tirmizi, no.1544; Abu Daud, no.3293; Nasaa-i, no.3815; dan Ibnu Majah, no.2134)

Hadits ini dikatakan dha’if, kerana dalam sanadnya terdapat rawi yang bernama ‘Ubaidillah bin Zahr yang dinilai dha’if oleh ahli hadits.[46] Lalu bagaimana hendak berhujjah dengannya untuk mengatakan orang yang bernadzar mubah dan tidak mampu menunaikannya, dia wajib membayar kafarat? Perhatikanlah!

Tambahan pula hadits ini juga bertentangan dengan hadits mengenai kisah yang sama yang disepakati keshahihannya oleh Bukhari. (no.1866) dan Muslim (no.1644) seperti dalam perenggan 23 di atas. Begitu juga, ianya bertentangan dengan hadits Anas r.a yang diriwayatkan oleh Bukhari (no.1865) dan Muslim (no.1642) seperti dalam perenggan 23 di atas. Perhatikanlah! Semoga Allah mengurniakan petunjukNya kepada kita.

27.            Adapun nadzar mubah yang mampu dilaksanakan, hendaklah yakni wajib ditunaikan. Kalau tidak, orang yang berkenaan diwajibkan membayar kafarat, kerana nadzar mubah adalah nadzar yang dibenarkan, sehingga termasuk dalam pengertian nadzar yang diperintah untuk untuk ditunaikan[47], sekiranya dia mampu menunaikannya[48]. Penetapan ini didasarkan kepada hadits yang diriwayatkan oleh Tirmizi daripada Buraidah r.a, katanya:

جاءت جارية سوداء، فقالت: يا رسول الله صلعم، إني كنت نذرت إن ردك الله صالحا أن أضرب بين يديك بالدف وأتغني. فقال لها رسول الله صلعم: إن كنت نذرت فاضربي وإلا فلا. فجعلت تضرب...

“Seorang hamba wanita berkulit hitam datang (kepada Nabi SAW), lalu berkata: Ya Rasulullah SAW, sesungguhnya aku telah bernadzar, sekiranya Allah mengembalikan engkau dalam keadaan selamat, aku (bernadzar) akan memukul rebana dan bernyanyi di hadapan engkau. Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: Sekiranya kamu telah bernadzar (seperti itu) maka pukullah (rebana), dan sekiranya tidak (bernadzar seperti itu), maka jangan kamu lakukan. Maka hamba wanita itu pun mulai memukul rebana…” (Hadits shahih riwayat Tirmizi dalam sunannya, no.3690 dan katanya: hasan shahih gharib daripada hadits  Buraidah dan pada bab ini juga terdapat hadits daripada ‘Umar, Sa’ad bin Abi Waqash dan ‘Aisyah r.anhum).[49]

Juga berdasarkan hadits ‘Amru bin Syu’aib daripada bapanya, daripada datuknya:
أن امرأة أتت النبي (ص) ، فقالت: يا رسول الله ، إني نذرت أن أضرب على رأسك بالدف. قال: أوفي بنذرك...
“Bahawasanya seorang wanita mendatangani Nabi SAW, lalu berkata: Ya Rasulullah SAW, sesungguhnya aku telah bernazar akan memukul rebana di atas kepala engkau. Nabi SAW bersabda: sempurnakanlah nazarmu…” (H.R. Abu Daud, no.3312 - hasan shahih)[50]

28.            Barangsiapa yang bernadzar untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dengan sesuatu yang tidak dimilikinya, dia tidak wajib menunaikannya dan dia juga tidak wajib membayar kafarat kerananya.[51] Hal ini berdasarkan hadits ‘Imran bin Hushain r.a mengenai seorang wanita Anshar yang ditawan. Wanita tersebut telah bernadzar sekiranya Allah membebaskannya dari tawanan tersebut, dia akan berkorban (menyembelih) unta ‘Adhbaa’. Ketika wanita itu tiba di Madinah (setelah dibebaskan dari tawanannya), orang-orang melihat kepadanya dan berkata: “‘Adhbaa’ adalah milik Rasulullah SAW”. Kemudian orang-orang itu mendatangi Rasulullah SAW, lalu menceritakan nadzar wanita tersebut kepada Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW bersabda:
سبحان الله! بئسما جزتها ، نذرت لله إن نجاها الله عليها لتنحرنها ، لا وفاء لنذر في معصية ، ولا فيما لا يملك العبد.
“Maha Suci Allah! Alangkah buruk balasannya, dia bernadzar kerana Allah, jika Allah menyelamatkannya (membebaskannya) dari tawanan, dia akan menyembelihnya (unta ‘Adhbaa’). Tidak boleh menunaikan nadzar dalam kema’shiatan dan tidak boleh pula (menunaikan nadzar) pada sesuatu yang tidak dimiliki oleh hamba.” (H.R. Muslim dan ini lafaznya, no.1641; Abu Daud, no.3316; Nasaa-i, no.3812; dan Ibnu Majah, no.2124)

Dalam riwayat Tirmizi dari ‘Amru  bin Syu’aib dari bapanya, dari datuknya, Rasulullah SAW bersabda:
لا نذر لابن آدم فيما لا يملك
“Tidak ada nadzar bagi anak Adam pada sesuatu yang bukan miliknya.” (H.R. Tirmizi, no.1181, katanya: hasan shahih).

Manakala dalam riwayat Nasaa-i dari ‘Imran bin Hushain disebutkan:
أن النبي (ص) قال : لا نذر في معصية الله ولا فيما لا يملك ابن آدم.
“Bahawasanya Nabi SAW bersabda: Tidak ada nadzar dalam perkara ma’shiat dan tidak (ada nadzar) dalam perkara yang tidak dimiliki oleh seorang anak Adam.”(H.R. Nasaa-i, no.2812 - shahih )[52]

29.            Orang yang bernadzar menyedeqahkan semua hartanya untuk digunakan di jalan Allah. Dalam hal ini para ulama’ berbeza pendapat sekurang-kurangnya kepada sepuluh pendapat[53]. Menurut Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim, kebanyakan pendapat tersebut tidak didokong oleh dalil, kecuali tiga pendapat seperti berikut[54]:

Pertama, ia wajib menyedeqahkan semua hartanya sebagaimana yang dinadzarkannya. Ini adalah pendapat Asy-Syafi’i, An-Nakha’i dan Abu Hanifah (jika hartanya itu harta yang wajib dizakati).[55] Mereka beralasan dengan beberapa dalil terdahulu yang mewajibkan menunaikan nadzar dalam ketha’atan, sedangkan nadzar menyedeqahkan seluruh harta untuk jalan Allah adalah nadzar ketha’atan. Di antara dalil tersebut ialah sabda Nabi SAW:

من نذر أن يطيع الله فليطعه، ومن نذر أن يعصيه فلا يعصه
“Barangsiapa yang bernadzar untuk mentha’ati Allah, maka hendaklah dia mentha’atinya dan barangsiapa yang bernadzar untuk mema’shiatinya, maka janganlah dia memaksiatinya.” (H.R. Bukhari, no.6696 & 6700; Abu Daud, no.3289; Tirmizi, no.1526; Nasaa-i, no.3806; Ibnu Majah, no.2126)

Mereka juga berhujah dengan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud, no.1678 dan Tirmizi, no.3675 yang menunjukkan bahawa Abu Bakar r.a telah menyedeqahkan seluruh hartanya dan Nabi SAW menerimanya. Menurut Tirmizi, hadits ini hasan shahih.[56] Menurut Syaikh Kamal, hadits ini shahih.[57]

Pendapat kedua, nadzarnya itu dianggap terlaksana dengan menyedeqahkan 1/3 dari hartanya. Ini merupakan pendapat Malik, Ahmad (menurut riwayat yang masyhur daripadanya), Al-Laits dan Az-Zuhri.[58] Mereka beralasan dengan hadits Ka’ab bin Malik r.a mengenai kisah diterimanya taubat tiga orang oleh Allah SWT dari kesalahan mereka tertinggal (tidak mengikuti) dari Perang Tabuk. Di akhir perkataannya, Ka’ab berkata:
يا رسول الله ص! إن من توبتي أن أنخلع من مالي صدقة إلى الله وإلى رسوله ص.
“Wahai Rasulullah SAW! Sesungguhnya sebagai bukti dari taubatku, aku lepaskan (berikan) seluruh hartaku sebagai shadaqah untuk Allah dan Rasulnya SAW.”
قال : أمسك عليك بعض مالك فهو خير لك.
“Nabi SAW bersabda: Tahanlah (simpanlah) sebahagian harta untukmu, maka itu lebih baik bagimu.”
قلت : فإني أمسك سهمي الذي بخيبر.
“Aku (Ka’ab) katakan: Maka sesungguhnya aku tahan (simpan) bahagianku (yang aku perolehi) di Khaibar.” (H.R.Bukhari, no.2577; Muslim, no.2769 dan Abu Daud, no.3318)

Dalam satu riwayat lain oleh Abu Daud, Ka’ab berkata:
يا رسول الله ص! إن من توبتي إلى الله أن أخرج من مالي كله إلى الله وإلى رسوله صدقة . قال: لا . قلت: فنصفه . قال: لا . قلت: فثلثه . قال: نعم . قلت: فإني سأمسك سهمي من خيبر.
“Wahai Rasulullah SAW! Sesungguhnya sebagai bukti dari taubatku kepada Allah, aku akan keluarkan (berikan) seluruh hartaku untuk Allah dan RasulNya SAW sebagai shadaqah. Nabi SAW bersabda: Jangan. Kataku (Ka’ab, bagaimana kalau) separuhnya? Nabi SAW menjawab: Jangan. Kataku (Ka’ab, bagaimana kalau) sepertiganya? Nabi SAW menjawab: Ya. Aku (Ka’ab) berkata: Sesungguhnya aku tahan (simpan) bahagianku (yang aku perolehi) di Khaibar.” (H.R. Abu Daud, no.3321)[59]

Mereka juga beralasan dengan hadits Abu Lubabah, ketika dia bertaubat kepada Allah, dia berkata:
إن من توبتي أن أهجر دار قومي التي أصبت فيها الذنب ، وأن أنخلع من مالي كله صدقة . قال: يجرئ عنك الثلث.
“Sesungguhnya sebagai bukti dari taubatku, aku akan berhijrah dari kampungku untuk tinggal bersama Nabi SAW dan aku lepaskan (berikan) seluruh hartaku sebagai shadaqah. Nabi SAW bersabda: Cukup bagi engkau (shadaqahkan) 1/3 sahaja.” (H.R.Abu Daud, no.3319)[60]

30.            Pendapat ketiga, dia tidak menanggung kewajipan apa-apa (tidak wajib menunaikan nadzarnya itu dan tidak ada kafarat atasnya). Ini merupakan satu riwayat dari Abu Hanifah (yakni pada harta yang tidak wajib dizakati). Ini juga merupakan pendapat Ibnu Hazm (apabila ia menyerupai sumpah)[61], Asy-Sya’bi dan Ibnu Laila[62], dengan alasan menyedaqahkan seluruh harta tidak disyariatkan[63]. Mereka beralasan dengan dalil-dalil berikut:

Pertama, firman Allah:
وَآتِ ذَا الْقُرْبَى حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا
“Dan berikanlah kepada keluarga yang dekat haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara membazir/ boros.” (Al-Isra’,17:26)

Kedua, firman Allah:
وَآتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
“dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan dishadaqahkan kepada faqir miskin); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Al-An’am, 6:141)

Ketiga, hadits Jabir bin ‘Abdullah Al-Anshaari, katanya: “Kami sedang berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki membawakan kepada Nabi SAW sesuatu seperti sebiji telur emas, lalu berkata: Ya Rasulullah SAW, aku menemui (memperolehi) benda ini dari penambangan (من معدن). Ambillah ia, ia merupakan shadaqah dan aku tidak memiliki apa-apa selainnya. Nabi SAW menolaknya beberapa kali. Orang itu mengulangi kata-katanya berkali-kali. Akhirnya Nabi SAW mengambilnya dan melemparkannya kepada lelaki itu. Sekiranya benda itu mengenai lelaki itu, pasti akan melukainya atau menyakitinya. Lalu Nabi SAW bersabda:

يأتي أحدكم بما يملك فيقول: هذه صدقة. ثم يقعد يستكف الناس! خير الصدقة ما كان عن ظهر غنى
”Salah seorang dari kamu datang dengan membawa apa (harta) yang dimilikinya seraya berkata: Ini shadaqah (dariku). Kemudiannya dia duduk menghulurkan tangan (meminta-minta) kepada manusia! Sebaik-baik shadaqah adalah sesuatu (harta) yang diberikan dari harta yang tidak diperlukannya (yakni yang lebih dari keperluan diri dan keluarganya). (H.R.Abu Daud, no.1673, lafaz ini miliknya; Ad-Darimi (1659); ‘Abdu bin Humaid (1121); Abu Ya’la (2084); Ibnu Hibban (3372) dan Al-Baihaqi (4:181). Hadits ini dinilai shahih oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim (1:413) dan disepakati Az-Zahabi. Tetapi dianggap dhaif oleh Al-Albani dalam “Dhaif Abu Daud, kecuali sabdanya ”Sebaik-baik shadaqah …..”, kerana dalam sanadnya mengandungi ‘an’anah Ibnu Ishak, seorang mudallis (iaitu):
...عن محمد ابن اسحاق عن عاصم بن عمر بن قتادة عن محمود...  

31.            Menurut Asy-Syaukani, pendapat yang paling kuat dalam masalah ini, ialah pendapat yang kedua, yang menyatakan bahawa orang berkenaan hanya perlu menyedaqahkan 1/3 dari hartanya, tidak lebih dari itu.[64]

32.            Berdasarkan zahir nash yang disebutkan di atas, sesiapa yang bernadzar untuk menyedaqahkan seluruh hartanya, selama hal itu tidak memudharatkan dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya, seumpama Abu Bakar r.a, maka dia wajib menyedaqahkan seluruh hartanya seperti yang dinadzarkan itu. Namun apabila hal itu mendatangkan kemudharatan terhadap dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya, maka dalam kes ini dia wajib menyedaqahkan sejumlah harta yang dengan shadaqah itu tidak memudharatkan dirinya atau orang-orang di bawah tanggungannya, baik sepertiganya, kurang dari sepertiganya (seperdua hartanya seperti yang dilakukan ‘Umar r.a dan Rasulullah SAW menerimanya - seperti dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud (no.1678) dan Tirmizi (no.3675) yang dikatakan hasan shahih oleh Tirmizi) sesuai dengan firman Allah:
وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ
”dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka  (patut) nafkahkan. katakanlah: yang lebih dari keperluan.” (Al-Baqarah, 2:219)

Juga bersesuaian dengan hadits:
خير الصدقة ما كان عن ظهر غنى .
“Sebaik-baik shadaqah adalah sesuatu (harta) yang diberikan dari harta yang tidak diperlukannya.” (Hadits shahih, telah ditakhrijkan sebelumnya di perenggan 30).

Dan bersesuaian juga dengan hadits:
لا ضرر ولا ضرار
Tidak boleh membahayakan diri sendiri dan tidak boleh juga membahayakan orang lain. [65]

Demikian juga pendapat Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim dalam Shahih Fiqih Sunnah (2:538).[66] Pendapat ini telah pun didahului oleh Sahnun dari kalangan mazhab Maliki.[67] Namun, jika harta yang dinadzarkan untuk dishadaqahkan itu, merupakan satu-satunya harta yang dimilikinya dan dia (jati dirinya) tidaklah seperti Abu Bakar r.a atau seperti ‘Umar r.a, maka dia tidak diwajibkan menunaikan nadzarnya dan tidak ada kafarat atasnya sesuai dengan hadits Jabir bin Abdullah seperti di perenggan 30 di atas. والله أعلم

33.            Orang yang bernadzar mengerjakan solat di Baitul Maqdis, nadzarnya itu boleh ditunaikan dengan mengerjakan solat di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi di Madinah, berdasarkan hadits Jabir bin ‘Abdullah bahawasanya:

أن رجلا قام يوم الفتح فقال: يا رسول الله صلعم ! إني نذرت لله إن فتح الله عليك مكة أن أصلي في بيت المقدس ركعتين. قال: صل هاهنا، ثم أعاد عليه فقال (قال) صل هاهنا. ثم أعاد عليه. فقال: شأنك إذا (إذن).
“Bahawasanya seorang lelaki berdiri pada hari penaklukan (pembukaan) Kota Mekah seraya berkata: Ya Rasulullah SAW! Aku bernadzar kerana Allah, sekiranya Allah memberikan kemenangan kepada engkau (SAW) menaklukkan Kota Mekah, aku akan shalat di Baitul Maqdis 2 rakaat. Nabi SAW bersabda: Shalatlah engkau di sini (Masjidil Haram). Kemudian lelaki itu mengulangi perkataannya. Nabi SAW bersabda: Shalatlah engkau di sini. Kemudian lelaki itu mengulangi lagi perkataannya. Lalu Nabi SAW bersabda: Kalau begitu terserah kepada kamu.” (H.R. Abu Daud, no.3305. Lafaz ini adalah miliknya. Hadits ini shahih, dishahihkan oleh Al-Hakim & Ibnu Daqiiqil’Ied.[68] Hadits ini diriwayatkan juga oleh Ahmad (3:363) & Ad-Daarimi, no.2329).[69]

34.            Diriwayatkan juga oleh Abu Daud dan Ahmad daripada beberapa orang sahabat Nabi SAW khabar (hadits) seumpama ini (di atas), dengan tambahan:

فقال النبي صلعم : والذي بعث محمدا بالحق لو صليت هاهنا لأجرأ عنك صلاة في بيت المقدس (لقض عنك ذلك كل صلاة في بيت المقدس) .
“Maka Nabi SAW bersabda: Demi zat (Allah) yang telah mengutus Muhammad SAW dengan benar, sekiranya engkau shalat di sini (Masjidil Haram) pasti sudah tertunai bagi engkau solat di Baitul Maqdis” (demikian riwayat Abu Daud seperti dalam Sunan Abu Daud, no.3306 - dikatakan isnadnya dha’if[70], namun didiamkan oleh Abu Daud maupun Al-Mundziri[71] - sementara dalam riwayat Ahmad - seperti dalam Nailul Authaar, 9:282[72], “nescaya terpenuhi oleh engkau setiap shalat yang dinadzarkan di Baitul Maqdis”).

35.            Menurut As-Syaukani dalam Nailul Authaar (9:285-terj. Indonesia), hadith Abu Daud, no.3305 dan Ahmad yang berbunyi: صل هاهنا “shalatlah di sini”,  menunjukkan bahawa orang yang bernadzar untuk mengerjakan shalat, bershadaqah atau sebagainya di suatu tempat yang tidak lebih utama dari tempat orang yang bernadzar itu sendiri, maka tidak wajib baginya untuk menunaikannya di tempat yang dinadzarkannya itu. Sebaliknya dia boleh, bahkan lebih baik dia menunaikan nadzarnya di tempatnya sendiri.

36.            Hal ini diperkuatkan lagi oleh hadits Ibnu ‘Abas r.a bahawasanya seorang wanita mengadu (bernaddzar): Jika Allah menyembuhkan penyakitku, aku akan shalat di Baitul Maqdis. Ternyata wanita itu sembuh. Lalu dia bersiap-siap untuk ke Baitul Maqdis bagi menunaikan nazarnya itu. Tiba-tiba wanita itu didatangi oleh Maimunah r.anha dengan memberi salam kepadanya. Lalu perempuan itu memberitahu Maimunah halnya itu. Maimunah mengatakan: duduklah dan makanlah apa yang telah kamu sediakan itu serta shalatlah di Masjid Rasulullah SAW (Masjid Nabawi), kerana sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
صلاة فيه أفضل من ألف صلاة فيما سواه من المساجد إلا مسجد الكعبة.
“Sekali shalat di dalamnya (Masjid Nabawi) lebih utama dari 1000 kali shalat di masjid-masjid lain kecuali Masjidil Ka’abah (Masjidil Haram).” (H.R. Ahmad & Muslim)[73]

Diriwayatkan pula oleh Al-Jamaah, kecuali Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda:
صلاة في مسجدي خير من ألف صلاة فيما سواه إلا المسجد الحرام.
“Sekali shalat di masjidku lebih baik dari seribu kali shalat di masjid-masjid lain, kecuali Masjidil Haram.”[74]

Dan dalam riwayat Ahmad daripada ‘Abdullah bin Zubair seperti hadits di atas, hanya saja ditambahkan:
وصلاة في مسجد الحرام أفضل من مائة صلاة في هذا.
“Dan sekali shalat di Masjidil Haram lebih afdhal dari seratus kali shalat di (Masjid Nabawi) ini.” [75]

Dalam riwayat Ibnu Majah daripada Jabir r.a., Nabi SAW bersabda:
صلاة في مسجدي أفضل من ألف صلاة فيما سواه إلا المسجد الحرام، وصلاة في المسجد الحرام أفضل من مائة ألف صلاة فيما سواه.
“Sekali shalat di masjidku lebih afdhal dari seribu kali shalat di masjid lainnya, kecuali Masjidil Haram, dan sekali shalat di Masjidil Haram lebih afdhal dari seratus ribu (100,000) kali shalat di masjid lainnya.” (H.R. Ibnu Majah. Menurut Al-Hafiz dalam Fathul Baari, 6:388, para perawi hadits ini tsiqah)

37.            Orang yang bernadzar untuk bermusafir / melakukan perjalanan kerana beribadat ke suatu tempat selain dari Masjidil Haram, Masjid Nabawi atau Masjidil Aqsha, nadzar tersebut tidak wajib ditunaikan. Demikianlah menurut jumhur ulama’ sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Rusyd dalam Bidayatul Mujtahid[76] dan Asy-Syaukani dalam Nailul Authaar[77], berdasarkan sabda Nabi SAW :
لا تشد الرجال إلا إلى ثلاثة مساجد: المسجد الحرام ومسجد الرسول (ص) ومسجد الأقصى.
“Tidak boleh (bersusah payah) berpergian jauh (bagi mengagungkan atau mencari berkat atau untuk beribadat ke suatu tempat( kecuali ke tiga masjid (iaitu) Masjidil Haram, Masjid Rasul dan Masjidil Aqsha.” (H.R. Bukhari daripada Abu Hurairah r.a., no.1189)

Dalam riwayat Muslim, juga daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:
لا تشد الرجال إلا إلى ثلاثة مساجد: مسجدي هذا ومسجد الحرام ومسجد الأقصى.
“Tidak boleh (bersusah payah) berpergian jauh (bagi mengagungkan atau mencari berkat atau untuk beribadat ke suatu tempat( kecuali ke tiga masjid: Masjidku ini, Masjidil Haram dan Masjidil Aqsha.” (H.R. Muslim, no.1397)
                                   
38.            Berdasarkan hadits-hadits di atas dan hadits-hadits lain yang semakna dengannya, jumhur ulama’ berpendapat, nadzar untuk mendatangi selain dari tiga masjid tersebut tidak wajib ditunaikan[78], kerana masjid-masjid lainnya itu tidak memiliki kelebihan-kelebihan tertentu[79]. Dan orang yang berkenaan tidak diwajibkan membayar kafarat kerana tidak menunaikan nadzarnya itu, kerana Nabi SAW tidak pula menyentuh mengenainya. Sekiranya wajib, sudah pasti dinyatakan oleh Nabi SAW. Hanya saja, menurut Al-Hafiz dalam Fathul Bari, orang itu cukup menunaikan nadzarnya di mana-mana masjid[80] (yang berdekatan dengannya-Pen). والله أعلم .

39.            Barangsiapa yang bernadzar dalam keadaan marah, bukan untuk melakukan sesuatu atau untuk melakukan sesuatu, tapi bukan untuk mendekatkan diri kepada Allah, misalnya seseorang mengatakan: “Jika aku melakukan demikian, wajib atasku untuk melaksanakan haji, bersedekah atau berpuasa atau semisalnya!” Dia melafazkan kalimah tersebut dalam keadaan marah, bukannya untuk mendekatkan diri kepada Allah. Maka dalam hal tersebut, dia tidak wajib menunaikannya, kerana nadzarnya itu dilafazkan dalam bentuk sumpah, tetapi dia wajib membayar kafarat sumpah, jika dia melanggar sumpahnya itu.[81]

Demikianlah Mazhab Ahmad (yang masyhur daripadanya) dan Asy-Syafi’i (dalam salah satu pendapatnya) dan ini yang dirujuk oleh Abu Hanifah. Demikian juga pendapat Ishaq, Abu ‘Ubaid, Abu Tsaur, Ibnu Al-Munzir & pendapat yang dipilih oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah. Begitulah juga pendapat ‘Umar, Ibnu ‘Abbas, ‘Aisyah dan sahabat yang lain.[82] Pendapat tersebut didasarkan kepada hadits ‘Imran bin Hushain r.a, katanya:
سمعت رسول الله (ص) يقول: لا نذر في غضب ، وكفارته كفارة يمين.
“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada nadzar dalam keadaan marah & kafaratnya seperti kafarat sumpah.” (H.R. Ahmad. Hadits ini dha’if sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Albaani dalam Irwaa-ul-ghalil, 8:211, hadith no.2587)

Ibnu ‘Abbas r.a. pernah ditanya: “Bagaimana pendapatmu mengenai seorang wanita yang menjadikan kain bercorak yang dipakainya sebagai hadiah, jika dia tetap memakainya? Ibnu ‘Abbas r.a. menjawab: Apakah (dia melafazkannya itu) dalam keadaan marah atau dalam keadaan redha? Mereka menjawab: dalam keadaan marah. Maka Ibnu ‘Abbas r.a. berkata: Sesungguhnya tidak boleh mendekatkan diri kepada Allah dengan kemarahan, hendaklah dia membayar kafarat sumpah.”[83]

40.            Sementara itu, Imam Malik dan Abu Hanifah (dalam pendapat lamanya) berpendapat orang yang berkenaan wajib menunaikan nadzarnya itu.[84] Manakala Syaikh Abu Bakar Jabir Al-Jazaairi berpendapat orang berkenaan boleh memilih antara menunaikan nadzarnya atau membayar kafarat sumpah apabila dia melanggar nadzarnya itu.[85] Demikianlah juga pendapat penulis.

41.            Apabila seseorang bernadzar untuk mendekatkan diri kepada Allah ketika dia masih kafir, kemudian dia masuk Islam, dia wajib menunaikan nadzarnya itu, berdasarkan hadits Ibnu ‘Umar r.a. bahawasanya ‘Umar r.a. pernah bertanya Nabi SAW, katanya:
كنت نذرت في الجاهلية أن أعتكف ليلة في المسجد الحرام؟ قال: فأوف بنذرك.
”Dulu pada masa jahiliyah aku pernah bernadzar untuk beri’tikaf satu malam di Masjidil Haram. (apakah perlu aku tunaikan nazar itu setelah sekarang aku memeluk Islam)? Nabi SAW bersabda: Tunaikanlah nadzarmu (itu).” (H.R. Bukhari, no.2032, no.2043, no.3144, no.4320, no.6698 & riwayat Muslim, no.1656).

Dalam riwayat lain oleh Ibnu Majah dengan sanad yang shahih daripada ‘Umar r.a., katanya:
نذرت نذرا في الجاهلية، فسألت النبي صلعم بعد ما أسلمت، فأمرني أن أوفي بنذري.
“Aku pernah bernadzar di masa jahiliyah, lalu aku bertanya kepada Nabi SAW sesudah aku masuk Islam (apakah perlu aku tunaikannya)? Maka aku disuruhnya menunaikan nadzarku itu.” (H.R. Ibnu Majah dengan sanad yang shahih)[86].

42.            Hadits-hadits tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa nadzar yang dinadzarkan oleh orang bukan Islam, kemudian dia memeluk Islam, wajib ditunaikan. Demikianlah pendapat Asy-Syafi’i, Daud Azh-Zhari dan Ibnu Hazm. Demikianlah juga pendapat Asy-Syaukani[87], Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim[88] dan demikianlah pendapat yang benar menurut penulis. والله أعلم .

43.            Bila seseorang bernadzar untuk menyembelih korban di suatu tempat yang ditentukan, nadzar tersebut hendaklah ditunaikan di tempat yang dinadzarkan itu dengan syarat di tempat tersebut tidak ada berhala / patung yang disembah / dipuja atau tidak merupakan tempat perayaan sesuatu kaum yang tidak disyari’atkan. Apabila di tempat tersebut terdapat hal-hal yang disebutkan itu atau seumpamanya, maka nadzar tersebut adalah haram, tidak boleh ditunaikan bahkan tidak sah, serta tidak ada kafarat kerananya. Hal ini didasarkan pada hadits Tsabit bin Adh-Dhahhak r.a., katanya:

نذر رجل على عهد النبي صلعم أن ينحر إبلا ببوانة، فأتى النبي صلعم فقال: إني نذرت أن أنحر إبلا ببوانة . فقال  النبي صلعم: هل كان فيها وثن من أوثان الجاهلية يعبد؟ قالوا: لا. قال: هل كان فيها عيد من أعيادهم؟ قالوا: لا. قال النبي (رسول الله) صلعم: أوفي بنذرك، فإنه لا وفاء لنذر في معصية الله ولا فيما لا يملك ابن آدم .
“Seorang lelaki telah bernadzar di masa Nabi SAW untuk menyembelih unta di Buwaanah, lalu dia mendatangani Nabi SAW seraya berkata: Sesungguhnya aku bernadzar untuk menyembelih unta di Buwaanah. Nabi SAW bertanya: Adakah di situ terdapat berhala / patung dari patung-patung berhala jahiliyah yang disembah? Mereka menjawab: Tidak ada. Nabi SAW bertanya (lagi): Adakah di situ terdapat hari perayaan dari hari-hari perayaan mereka (penduduk, yang tidak disyari’atkan)? Mereka menjawab: Tidak ada. Nabi (Rasulullah) SAW bersabda: (Kalau begitu) Tunaikanlah nadzarmu itu, kerana sesungguhnya tidak boleh menunaikan nadzar dalam mema’shiati Allah dan tidak boleh (menunaikan nazar) dalam sesuatu yang tidak dimiliki oleh anak Adam.” (H.R.Abu Daud, no.3313 & Ath-Thabrani, 2:75. Lafaz ini milik Abu Daud)

44.            Hadits tersebut shahih, dishahihkan oleh Al-Albaani dalam Shahih Abu Daud, no.3313.[89] Juga dishahihkan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar seperti disebutkan dalam Sunan Abu Daud, no.3313 dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1:1601. Al-Hafiz juga menyatakan sanad hadits ini shahih dalam Al-Talkhis.[90] Ibnu Majah juga meriwayatkan hadits ini daripada Ibnu ‘Abbas r.a.[91] Hadits ini ada syahidnya (penguatnya) daripada Kardam bin Sufyan yang diriwayatkan oleh Ahmad(3:149),[92] iaitu:

عن كردم بن سفيان أنه سأل رسول الله (ص) عن نذر نذره في الجاهلية. فقال له: ألوثن أو لنصب؟ قال: لا. ولكن لله. فقال: أوف لله ما جعلت له، إنحر على بوانة وأوف بنذرك.
“Daripada Kardam bin Sufyan, bahawasanya dia pernah bertanya Rasulullah SAW mengenai nadzarnya yang dinadzarkan pada masa Jahiliyah. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya: Apakah nadzarmu itu untuk patung berhala atau patung nashab? Kardam menjawab: Tidak, tetapi kerana Allah. Maka Rasulullah SAW bersabda: Tunaikanlah kerana Allah apa yang telah kamu tetapkan (nadzarkan) untuknya, sembelihlah qurban di Buwaanah dan tunaikanlah nadzar engkau.” (H.R. Ahmad).[93]

Dalam riwayat lain daripada Maimunah bt Kardam, katanya:

كنت ردف أبي فسمعته يسأل النبي (ص) فقال: يا رسول الله (ص): إني نذرت أن أنحر ببوانة. قال: أبها وثن أو طاغية؟ قال: لا. قال: أوف بنذرك.
“Aku pernah ikut bersama ayahku, lalu aku mendengar ayahku bertanya Nabi SAW, katanya: Wahai Rasulullah SAW! Sesungguhnya aku pernah bernadzar untuk menyembelih qurban di Buwaanah. Rasulullah SAW bertanya: Apakah di situ terdapat patung berhala atau thaghut? Ayahku menjawab: Tidak ada. Rasulullah SAW bersabda: Tunaikanlah nadzarmu.” (H.R. Ahmad dan Ibnu Majah. Sanadnya shahih).[94]
Dalam hadits riwayat Abu Daud daripada Saarah bt. Muqsim Ats-Tsaqafi bahawasanya dia mendengar Maimunah bt. Kardam berkata: Aku ikut bersama ayahku semasa Haji Rasulullah SAW, lalu aku melihat Rasulullah SAW dan aku mendengar orang-orang berkata: Rasulullah SAW. Maka aku perhatikan Nabi SAW. Kemudian ayahku menghampiri Nabi SAW yang sedang berada di atas untanya, memegang sebuah pecut seperti pecut seorang guru yang sedang mengajar. Lalu aku mendengar orang-orang Badwi dan orang-orang banyak berkata: Pecut! Pecut! Maka ayahku mendekati Nabi SAW dan memegang telapak kaki Nabi SAW. Kata Maimunah (selanjutnya): Maka ayahku mengakui kerasulan Nabi SAW dan Nabi SAW berhenti dan ayahku memperdengarkan pengakuannya kepada Nabi SAW. Lalu ayahku berkata:

يا رسول الله. إني نذرت إن ولدلي ولد ذكر أن أنحر على رأسى بوانة في عقبة من الثنايا عدة من الغنم. قال: لا أعلم إلا أنها قالت: خمسين. فقال رسول الله صلعم: هل بها من الأوثان شيئ؟ قال: لا. قال: فأوف نذرت به لله. قالت: فجمعها فجعل يذبحها، فانفلتت منها شاة، فطلبها وهو يقول: أللهم أوف عني نذر فظفرها فذبحها.
“Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku pernah bernadzar, sekiranya aku dikurniakan anak lelaki, aku akan menyembelih beberapa ekor kambing di lembah Buwaanah. Kata perawi: aku tidak tahu, melainkan dia (Maimunah) mengatakan: 50 (lima puluh) ekor kambing. Rasulullah SAW bertanya: Adakah di Lembah Buwaanah itu terdapat sesuatu patung berhala? Jawab (ayah Maimunah): Tidak ada. (Maka) Rasulullah SAW bersabda: Tunaikanlah nadzar engkau kerana Allah. Kata Maimunah (selanjutnya): Maka ayahku mengumpul semuanya lalu menyembelihnya. Lalu (tiba-tiba) seekor kambing menyelinap / melarikan diri. Lalu ayahku mencarinya sambil berdoa: Ya Allah! Penuhilah nadzarku (ini). Lalu kambing yang lari itu di dapatinya, maka disembelihnya.” (H.R. Abu Daud, no.3314. Menurut Al-Albaani dalam Shahih Abu Daud, no.3314, hadits ini shahih).[95]

45.            Hadits di perenggan 44 di atas dengan jelas menunjukkan bahawa orang yang bernadzar untuk melakukan sesuatu ibadat seperti sembelihan qurban, shadaqah atau sebagainya, di suatu tempat tertentu, hendaklah dia menunaikan nadzarnya itu dengan syarat:
1.     Tidak ada patung-patung berhala yang disembah di situ;
2.     Tidak adanya thaghut (pemujaan kepada selain Allah) di situ;
3.     Nadzar itu adalah kerana Allah, bukan kerana patung berhala atau patung nashab;
4.     Tidak adanya hari-hari perayaan penduduk di tempat itu yang bercanggah dengan Islam, seperti perayaan orang-orang bukan Islam yang merupakan perangkap (penyebab) syirik kepada Allah.[96]

46.            Hadits-hadits tersebut juga menunjukkan nadzar untuk menyembelih qurban, samada yang dinadzarkan sebelum Islam, kemudian dia memeluk Islam atau dinadzarkan semasa dalam Islam - kedua-duanya kerana Allah bukan kerana lainnya, hendaklah dia tunaikan. Hal ini, selain dari berdasarkan hadits-hadits di atas, juga kerana menyembelih qurban, adalah termasuk dalam kategori nadzar mentaati Allah, yang sudah pasti wajib ditunaikan, yang sudah berulangkali disebutkan nashnya sebelumnya, sehingga tidak perlu diulang lagi.

47.            Adapun daging qurban yang dinadzarkan itu sama halnya dengan daging qurban biasa (sunat) yang diqurbankan pada Hari-hari Nahar dan Hari-hari Tasyrik, yakni boleh dimakan, dishadaqahkan kepada fakir miskin, dihadiahkan kepada orang lain dan boleh disimpan oleh penadzar tersebut. Hal ini adalah kerana ianya termasuk dalam keumuman (kemuthlakan) nash-nash berikut, sedangkan hadits-hadits di perenggan 44 di atas, tidak pun menyentuh soal memakan daging qurban nadzar tersebut. Oleh itu, ianya dikembalikan kepada nash-nash umum (muthlak) seperti berikut:

Pertama, firman Allah SWT:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
.”Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir.” (Al-Hajj,22: 28).

Kedua, firman Allah SWT:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ
“Maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang-orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan kepada orang yang meminta.” (Al-Hajj, 22:36)

Ketiga, sabda Nabi SAW:

عن سلمة بن الأكوع قال: قال النبي (ص): من ضحى منكم فلا يصبحن بعد ثالثة وبقي في بيته منه شيئ . فلما كان العام المقبل قالوا: يا رسول الله ، نفعل كما فعلنا عام الماضي؟ قال: كلوا وأطعموا وادخروا فإن ذلك العام كان بالناس جهد، فأردت أن تعينوا فيها.
“Daripada Salmah bin Akwa’, katanya Nabi SAW bersabda: Barangsiapa di antara kamu berqurban, maka janganlah dia berada di hari ketiga dan di rumahnya masih tersisa daging qurban itu. Ketika datang (musim qurban) tahun berikutnya, mereka berkata: Ya Rasulullah SAW! Apakah kami lakukan (terhadap daging qurban) seperti yang kami lakukan tahun lepas? Nabi SAW bersabda: Makanlah, berikanlah makan (pada fakir miskin dan orang-orang lain) dan simpanlah. Sesungguhnya yang demikian itu (larangan simpan daging qurban lebih dari 3 hari pada tahun lepas adalah) kerana umumnya manusia berada dalam keadaan sulit / susah, maka aku ingin membantu mereka.” (H.R. Bukhari, no.5569 & Muslim, no.1974. Lafaz di atas milik Bukhari).

Keempat, sabda Nabi SAW:

كنت نهيتكم عن لحوم الأضاحيفوق ثلاث، ليتسع ذو الطول على من لا طول له. فكلوا ما بدا لكم وأطعموا وادخروا.

“(Dulu) aku melarang kamu menyimpan daging qurban lebih dari 3 hari, untuk memberi keluasan bagi orang-orang yang mampu atas orang yang tidak mampu. Maka (sekarang) makanlah oleh kamu, berilah makan (kepada orang lain) dan simpanlah sesuka hati kamu.” (H.R.Tirmizi, no.1510; Muslim, no.1972; Abu Daud, no.2813; Nasaa-i, no.4241 dan Ibnu Majah, no.3160. Lafaz ini milik Tirmizi dan katanya hadits ini hasan shahih dan beramal dengannya di sisi ahli ilmu dari kalangan sahabat Nabi SAW dan selain mereka)

48.            Menurut Syaikh Al-‘Utsaimin, nash-nash di atas tidak berbeza hukumnya dalam hal pembolehan memakan dan memberikan hadiah kepada orang lain dari daging Udhhiyah (qurban) yang wajib ataupun sunat.[97] Pendapat seumpama ini telah didahului oleh Imam Asy-Syaukani dalam Nailul Authaar (5:192) dengan katanya, secara zahirnya bahawa dibolehkannya memakan daging haiwan hadyu (Dam Haji Tamaththu’ dan Qiran) tanpa ada perbezaan apakah hadyu itu tathawwu’ atau wajib, kerana keumuman firman Allah Ta’ala: فَكُلُوا مِنْهَا (maka, makanlah sebahagian daripadanya), tanpa diperincikan apakah qurban - sunat atau wajib. Sedangkan berpegang (berdalil) dengan mengqiaskan kepada zakat dalam hal tidak boleh memakan daging haiwan hadyu (qurban) wajib tidak dapat dijadikan dasar (tidak seimbang) untuk mentakhsiskan (mengkhususkan) keumuman ayat tersebut, kerana disyariatkannya zakat untuk membantu fuqara’ (faqir miskin), maka jika zakat diberikan kepada pemiliknya (pengeluar zakat itu) sendiri, akan mengeluarkan zakat tersebut dari tujuan disyariatkannya. Sementara dalam hal qurban (wajib atau sunat), hadyu wajib atau dam (haji) disyariatkan bukan untuk tujuan demikian, tetapi adakalanya dam (hadyu atau qurban) tersebut disyariatkan untuk menutup (menampal) kekurangan (dalam melaksanakan ibadat Haji atau ‘Umrah) atau semata-mata untuk tabarru’ (‘amal soleh kerana Allah). Kerana itu tidak boleh diqiaskan dan tidak boleh juga dijadikan takhsis di antara keduanya (qurban nadzar dan zakat), kerana di antara keduanya terdapat perbezaan kenapa masing-masing di antaranya disyariatkan.[98] Dalam hal qurban, sesungguhnya yang ditekankan oleh Allah SWT ialah ketaqwaan atau kepatuhan  seseorang dalam melaksanakan qurbannya (samada qurban sunat atau wajib, termasuklah qurban nadzar) seperti firmanNya:

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ
“Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapai (keredhaan) Nya.” (Al-Hajj,22: 37)

Hanya saja melalui ayat 28 & 36 surah al-Hajj, begitu juga melalui hadits-hadits yang disebutkan dalam perenggan 47 di atas dan hadits-hadits lain yang semakna dengannya yang boleh didapati dalam kitab-kitab shahih, Sunan maupun Musnad, Allah SWT, begitu juga RasulNya SAW telah membolehkan daging qurban itu - samada yang wajib, termasuk qurban nadzar atau pun sunat - dimakan oleh orang-orang yang berqurban dan boleh juga diberi makan kepada faqir miskin dan dihadiahkan kepada orang lain serta boleh juga disimpan untuk dimakan pada hari-hari berikutnya. Para ulama’ mengatakan pembolehan makan, memberi makan faqir miskin, menghadiah kepada orang lain dan menyimpan untuk dimakan pada hari-hari berikutnya itu, difahami sebagai suruhan  sunat, bukannya wajib. والله أعلم .

49.            Jika seseorang bernadzar untuk mentha’ati Allah yang menyebabkan ia wajib menunaikannya, tiba-tiba dia dijemput ajal sebelum sempat menunaikan nadzarnya itu, maka walinya atau ahli warisnya hendaklah menunaikan nadzarnya itu. Jika nadzarnya itu dalam bentuk harta - untuk bershadaqah, berqurban atau seumpamanya - walinya atau ahli warisnya hendaklah menunaikan nadzarnya itu dari harta peninggalannya, sebelum membayarkan hutangnya kepada sesama manusia, juga sebelum menunaikan  washiatnya dan sebelum membahagikan pusaka kepada ahli warisnya, berdasarkan firman Allah:
مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ
“Pembagian pusaka tersebut hendaklah dilakukan) setelah dipenuhi washiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya.” An-Nisa, 4:11)

50.            Allah SWT menyebutkan hutang secara umum dalam ayat di atas, tanpa mengkhususkannya, apakah hutang kepada sesama manusia atau kah hutang kepada Allah seperti nadzar dalam bentuk harta. Tentulah hutang kepada Allah (seperti nadzar untuk mentaati Allah dalam bentuk harta), lebih aula untuk ditunaikan dan diutamakan. Nabi SAW bersabda:
فدين الله أحق أن يقض.
”Hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan.” (H.R. Bukhari, no.1953 & Muslim, no.1148).

51.            Jika nadzar tersebut berbentuk ibadah seperti haji, ‘umrah, puasa, I’tikaf atau lain-lain seumpamanya, maka walinya atau ahli warisnya hendaklah menunaikannya, berdasarkan hadith Ibnu ‘Abbas r.a.:

عن ابن عباس رضي الله عنهما: أن سعد بن عبادة استفتى رسول الله (ص)، فقال: إنأ أمي ماتت وعليها نذر، فقال: اقضه عنها.
“Daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawasanya Saad bin ‘Ubadah meminta fatwa kepada Rasulullah SAW, katanya: Sesungguhnya ibuku telah mati dan di atasnya ada nadzar (yang belum ditunaikannya, bolehlah aku selaku anaknya menunaikan nadzarnya itu?) Maka Rasulullah SAW bersabda: Tunaikanlah nadzar daripadanya.” (H.R.Bukhari, no.2761 & Muslim, no.1638).

Juga didasarkan kepada hadith berikut:
عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: جاءت امرأة إلى رسول الله (ص) فقالت: يا رسول الله صلعم! إن أمي ماتت وعليها صوم نذر، أفأصوم عنها؟ قال: ألأيت لوكان على أمك دين فقضيته، أكان يؤدي ذلك عنها؟ قالت: نعم. قال: فصومي عن أمك.
“Daripada Ibnu ‘Abbas r.a., katanya: Seorang wanita datang kepada Rasulullah SAW, lalu berkata: Ya Rasulullah SAW, sesungguhnya ibuku telah mati dan di atasnya ada puasa nadzar (yang belum sempat ditunaikannya), apakah aku boleh berpuasa untuknya? Nabi SAW bertanya kepada wanita itu: Bagaimana pendapat kamu jika ibumu mempunyai hutang, lalu engkau membayar hutangnya itu, bukankah hutang itu terbayar darinya? Wanita itu menjawab: Ya benar. Nabi SAW bersabda: Puasalah atas nama ibu engkau.” (H.R. Muslim, no.1148 (156), Bab Mengganti Puasa Si Mati).

52.            Jika nadzar si mati itu merupakan shalat, menurut jumhur ulama’, nadzar itu tidak dapat dan tidak perlu ditunaikan oleh warisnya, bahkan Ibnu Baththal menuturkan ijma’ mengenai hal itu. Namun, penuturan adanya ijma’ tersebut tidaklah benar, kerana Ibnu ‘Umar r.a. pernah memerintahkan seorang wanita yang ibunya pernah bernadzar untuk shalat di (masjid) Quba’, dengan mengatakan: “Shalatlah untuknya.[99]” Sedangkan Abu Daud dan Ibnu Hazm mewajibkan penggantian shalat yang telah dinadzarkan oleh si mati.[100] والله أعلم .

53.            Apabila seorang bernadzar untuk menyembelih anaknya di Maqam Ibrahim, menurut pendapat yang terkuat, orang itu tidak wajib menunaikan nadzarnya itu, dan dia tidak perlu membayar kafarat, kerana nadzar tersebut adalah nadzar ma’shiat, sedangkan Nabi SAW bersabda:
من نذر أن يطيع الله فليطعه، ومن نذر أن يعصيه فلا يعصه
“Barangsiapa yang bernadzar untuk mentha’ati Allah, hendaklah dia mentha’atinya dan barangsiapa yang bernadzar untuk mema’shiatinya, janganlah dia mema’shiatinya.” (Hadits shahih, telah ditakhrijkan di perenggan 7).

Demikianlah pendapat Asy-Syafi’i & Abu Yusuf sebagaimana yang disebutkan Syaikh Ahmad Abu Al-Majd dalam takhrijnya terhadap Bidayatul Mujtahid, 1:897, karya Ibnu Rusyd.[101]

54.            Apabila seseorang bernadzar untuk berpuasa pada hari-hari tertentu, lalu hari itu bertepatan dengan Hari Raya Qurban atau Hari Raya Fithri, misalmya seorang bernadzar untuk perpuasa pada setiap hari Isnin, lalu hari itu bertepatan dengan Hari Raya Fithri atau Hari Raya Qurban, maka menurut jumhur ulama’, nadzar tersebut tidak berlaku[102], yakni tidak sah, tidak boleh ditunaikan dan tidak kafarat kerananya.[103] Hal ini berdasarkan hadits bahawa Ibnu ‘Umar r.a pernah ditanya mengenai seorang lelaki yang bernadzar bahawa tidak ada satu hari pun yang dilaluinya, kecuali dia akan berpuasa, lalu (di antara hari-hari yang dilaluinya itu) bertepatan dengan Hari Raya Adhha atau Hari Raya Fithri, lalu Ibnu ‘Umar r.a. menjawab:

لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة. لم يكن يصوم يوم الأضحى والفطر ولا يرى صيامهما.
“Demi sesungguhnya telah ada contoh pada diri Rasulullah SAW. Nabi SAW tidak pernah berpuasa pada Hari Raya Adhha & Hari Raya Fithri dan Nabi SAW tidak berpendapat untuk berpuasa pada kedua hari tersebut.” (H.R. Bukhari, no.6705).

55.            Apabila seseorang bernadzar untuk selain Allah. Menurut Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, para ulama’ telah sepakat tidak boleh seseorang berndazar untuk selain Allah, baik Nabi, maupun selainnya dan itu adalah syirik yang tak boleh ditunaikan.[104] Beliau juga menyebutkan, adapun nadzar seorang hamba untuk selain Allah, seperti nadzar untuk berhala, matahari, bulan, kuburan dan semisalnya, maka itu setara dengan bersumpah kepada selain Allah.[105] Dan hukumnya adalah syirik, berdasarkan sabda Nabi SAW:

أن ابن عمر سمع رجلا يقول: لا، والكعبة. فقال ابن عمر: لا يحلف بغير الله، فإني سمعت رسول الله (ص) يقول: من حلف بغير الله فقد كفر أو أشرك.
Bahawasanya Ibnu ‘Umar r.a. pernah mendengar seorang lelaki bersumpah: Tidak, demi Kaabah! Maka Ibnu ‘Umar r.a. berkata: Janganlah bersumpah dengan selain nama Allah, kerana sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang bersumpah dengan selain (nama) Allah, maka dia telah berbuat kufur atau syirik.” [H.R. Tirmizi, no.1535 & Abu Daud, no.3251. Lafaz ini milik Tirmizi dan katanya, hadits ini hasan; dan hadits ini dishahihkan pula oleh Al-Hakim.[106] Kata At-Tirmizi selanjutnya: Ini seumpama apa yang diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawasanya Nabi SAW bersabda:
إن الرياء شرك.
“Sesungguhnya riya’ itu syirik (kecil)” ][107]

56.            Al-Amir Ash-Shan’ani berkata nadzar yang dikenal pada masa kini terhadap kuburan, tempat-tempat keramat dan orang-orang yang sudah meninggal, maka dalam hal ini tidak ada perselisihan tentang keharamannya.[108] Nadzar yang sedemikian itu haram ditunaikan dan tidak perlu membayar kafarat, kerana termasuk dalam nadzar mema’shiati Allah, sedangkan Nabi SAW bersabda:
ومن نذر أن يعصيه فلا يعصه
Dan barangsiapa yang bernadzar untuk mema’shiatinya, janganlah dia mema’shiatinya.” (Hadits shahih, telah ditakhrijkan di perenggan 7 di atas).

Kesimpulan

57.            Demikianlah perbahasan kami mengenai nadzar, meliputi Nadzar Muthlaq Dan Nazar Muqayyad, termasuk nazar untuk mentha’ati Allah dan nazar untuk mema’shiatiNya. Semuanya dijelaskan dalil-dalilnya samada dari Al-Qur’an maupun as-Sunnah as-Shahiihah. Begitu juga disertakan pendapat para ulama’ mu’tabar mengenainya. Sekiranya apa yang kami nyatakan dalam perbahasan ini benar, kami memuji Allah kerana memberikan hidayahNya kepada kami. Dan sekiranya apa yang kami nyatakan atau unggulkan dalam risalah ini tidak bertepatan dengan nash atau bercanggah dengan pendapat yang lebih unggul darinya - tentunya setelah dirujuk kepada nash Al-Qur’an maupun as-Sunnah as-Shahiihah - kami memohon ampun kepada Allah di atas kesalahan itu dan kami dengan rela hati rujuk atau kembali kepada pendapat yang benar itu Insya Allah.

58.            Kami juga bermohon semoga risalah ini bermanfaat untuk kami, kedua ibubapa kami, isteri kami, anak-anak keturunan kami, keluarga kami, sahabat-sahabat kami dan sesiapa sahaja yang membacanya serta memperoleh manfaat dari bacaannya. Mudah-mudahan risalah ini bakal menjadi amalan shaleh yang berguna untuk diri kami di akhirat nanti.

Dan kami akhiri dengan ucapan:
سبحانك اللهم ويحمدك، أشهد أن لا إله إلا انت، أستغفرك وأتوب إليك. وصلى الله على نبينا محمد وعلى أله وصحبه أجمعين. والحمد لله رب العالمين.

Selesai dengan izin dan pertolongan Allah yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu pada 30 Ramadhan 1431 Hijrah bersamaan 9 Sept 2010.




Al-Faqir Ilallah:
ABU MUHAMMAD NAASHIRUDDIN MUHAMMAD BIN YUSUF AL-KALANTAN.
Lot 1422, Taman Peradang,
Jalan Hospital,
15200 Kota Bharu, Kelantan.

Tel : 09-7431422 (R)
Mobile : 017-9283937



[1]   Secara bahasa, nadzar adalah mewajibkan untuk melakukan kebaikan atau kejahatan. Menurut syara, nadzar adalah mewajibkan atas diri sendiri untuk melakukan ibadat yang pada dasarnya tidak diwajibkan dengan lafaz yang menunjukkan hal itu. Misalnya, seorang mengatakan: “Bersedekah dengan jumlah sekian wajib atasku kerana Allah”, atau “Apabila Allah menyembuhkan keluargaku yang sakit, wajib atasku berpuasa 3 hari” dan sebagainya. Nadzar tidak sah kecuali diucapkan oleh orang yang baligh, ber’aqal dan memiliki kebebasan kehendak, walaupun dia adalah orang kafir. Lihat Sayyid Sabiq, Fiqih Sunnah, 4:17, Tahqiq Muhammad Sayyid Sabiq, terj. Indonesia, Pena Pundi Askara, Jakarta, cet.1, 2008; Muhammad bin Ismail Ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, terj. Indonesia, Darus Sunnah Press, Jakarta, cet.1,  2008 dan lain-lain.

Dari lafaznya, nadzar terdiri dari dua jenis, iaitu Nadzar Muthlaq dan Nadzar Muqayyad. Nadzar Muthlaq bermaksud mewajibkan ke atas diri untuk melakukan sesuatu tanpa mensyaratkan sesuatu. Misalnya, seorang mengatakan: “Kerana Allah aku bernadzar untuk puasa 3 hari.” Nadzar Muqayyad ialah mewajibkan ke atas diri untuk melakukan sesuatu, sekiranya hajatnya diperkenankan Allah. Misalnya, seorang mengatakan: ”Kerana Allah aku bernadzar untuk berpuasa 3 hari jika penyakitku ini sembuh.” Lihat juga penjelasan Ibnu Rusyd dalam Bidayatul Mujtahid, 1:885, Takhrij Ahmad Abu Al-Majd, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1,  2006.

Baik Nadzar Muthlaq maupun Nadzar Muqayyad, dari segi kandungan yang dilafazkan, ianya terdiri dari 4 jenis iaitu, Nadzar Tha’at, Nadzar Ma’shiat, Nadzar Makruh, Dan Nadzar Mubah. Lihat juga penjelasan Ibnu Rusyd dalam Bidayatul Mujtahid, 1:885-886, Takhrij Ahmad Abu Al-Majd, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2006;   Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 3:453-471,  terj. Indonesia, Pustaka At-Tazkia, Jakarta,cet.1, 2007.

[2] Kecuali nadzar untuk melakukan ma’shiat kepada Allah seperti nadzar kepada kubur, nadzar kepada para pelaku ma’shiat, nadzar untuk minum khamar, membunuh, meninggalkan solat atau menyakiti kedua orang tua. Apabila seseorang menadzarkan sesuatu dari perbuatan itu atau perbuatan-perbuatan ma’shiat lainnya, maka dia tidak wajib menunaikannya, bahkan haram baginya menunaikannya. Bahkan nadzarnya tidak sah dan tidak ada kafarat kerana tidak menunaikannya,berdasarkan sabda Rasulullah SAW: لا نذرفي معصية الله ولا في مالا يملك ابن آدم “Tidak ada nadzar dalam mema’shiati Allah dan tidak ada nadzar dalam perkara yang tidak dimiliki anak Adam.” (H.R. Nasa’I, no.3812-shahih); لا نذر في معصية الله “Tidak ada nadzar dalam memaksiati Allah.” (H.R. Muslim, no. 1641);  لا نذر في معصية ولا في مالا يملك ابن آدم  “Tidak ada nadzar dalam perkara ma’shiat dan tidak ada nadzar dalam perkara yang tidak dimiliki anak Adam.” (H.R. Ibnu Majah, no. 2124-shahih);   لا وفاء لنذر في معصية ولا فيما لا يملك العبد  “Tidak boleh menunaikan nadzar dalam perbuatan ma’shiat dan tidak (boleh pula menunaikan nadzar) pada sesuatu yang tidak dimiliki oleh seorang hamba.” (H.R. Muslim, no. 1641);  لا وفاء لنذر في معصية الله ولا فيما لا يملك ابن آدم  “Tidak boleh menunaikan nadzar dalam mema’shiati Allah dan tidak boleh pula menunaikan nadzar pada sesuatu yang tidak dimiliki oleh anak Adam.” (H.R Abu Daud, no. 3316-shahih). Lihat hadis-hadis tersebut dalam Shahih Muslim, no. 1641, Sunan Nasa’I, no. 3812, Sunan Abu Daud, no. 3316, dan Sunan Ibnu Majah, no. 2124 dalam Al-Kutub Al-Sittah, jilid 1 & 2, Maktabah Al-Rusyd, Naasyirun, Riyaadh. Juga lihat Sayyid Sabiq, Fiqih Sunnah, 4:18, notakaki no.5, terj. Indonesia, Pena Pundi Askara, Jakarta, cet.1, 2008.

[3]  Berdasarkan sabda Nabi SAW: من نذر أن يطيع الله فليطعه، ومن نذر أن يعصيه فلا يعصه   “Barangsiapa yang bernadzar untuk mentha’ati Allah, maka hendaklah dia mentha’atinya dan barangsiapa yang bernadzar untuk mema’shiatinya, maka janganlah dia mema’shiatinya.” (H.R. Bukhari, no. 6696 & 6700; Abu Daud, no. 3289; Tirmizi, no. 1526; Nasaa’i, no. 3806; Ibnu Majah, no. 2126)

[4]  Al-Imam Muhammad ‘Ali bin Muhammad Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9:257, edisi terj. Indonesia, C.V  Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994; Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, 32: 349-351, edisi terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2009.

[5]  ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman Al-Bassam, Taudhiih Al-Ahkam Min Bulugh Al-Maraam, edisi terj. Indonesia dengan nama Syarah Bulughul Maram, 7:162, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2007.
[6]  Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 257-258, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[7]  Muhammad bin Ismail Al-Amir Ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, 3: 621-622, edisi terj. Indonesia, Darus Sunnah Press, Jakarta, cet.1, 2008.   
[8]  Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 257, terj. Indonesia, cet.1, 1994.
[9]  Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, 3: 353, edisi terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2009.
[10] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 257, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[11] Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 3: 62, terj. Indonesia, Darus Sunnah Press, Jakarta, cet.1, 2008.
[12] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 3:449, terj. Indonesia, Pustaka At-Tazkia, Jakarta, cet.1, 2007.
[13] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 257, terj. Indonesia, cet.1, 1994.
[14] Ibid.
[15] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 3:451, terj. Indonesia, Pustaka At-Tazkia, Jakarta,cet.1, 2007
[16] Sunan Tirmizi dalam Al-Kutub al-Sittah, 1: 1944, disebutkan oleh Tirmizi di bawah bab (10) Tegahan Bernadzar, Kitab Nadzar dan Iman selepas menyebut hadits no. 1538 mengenai tegahan bernadzar. Hadits tersebut seperti di perenggan no (2) di atas, hadits ke-3.
[17] Lihat juga penjelasan Al-Qurthubi mengenainya sebagaimana yang disebutkan oleh Asy-Syaukani dalam Nailul Authaar, 9: 257-258, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[18] Lihat kembali penjelasan mengenainya di notakaki no.1 .
[19] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 258, terj. Indonesia, cet.1, 1994.
[20] Kaafur ialah nama satu mata air di syurga yang airnya putih dan baunya sedap serta enak sekali rasanya. Lihat Al-Quran dan Terjemahannya, ms. 1003, notakaki no. 1537.
[21] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 258, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[22] Sayyid Sabiq, Fiqih Sunnah, 4:18, tahqiq Muhammad Sayyid Sabiq, terj. Indonesia, Pena Pundi Askara, Jakarta, cet.1,2008.
[23] Sunan Nasaa’i, no.3812, dalam Al-Kutub Al-Sittah, 2: 2536, Maktabah Al-Rusyd, Naasyirun, Riyadh, cet.1,2005.
[24] Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1:885, Takhrij Ahmad Abu Al-Majd, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta,cet.1,2006; Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim, Fiqih Sunnah Untuk Wanita: 482-483, terj. Indonesia, Al-I’tisham Cahaya Umat, Jakarta,cet.1,2007; Abu Bakar Jabir Al-Jazaairi, Pedoman Hidup Muslim:751-752, terj. Indonesia, P.T. Pustaka Litera AntarNusa, Bogor, Indonesia, cet.1, 1996.
[25] Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1:885, Takhrij Ahmad Abu Al-Majd, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta,cet.1,2006; Abu Bakar Jabir Al-Jazaairi, Pedoman Hidup Muslim:751, terj. Indonesia, P.T. Pustaka LiteraAntar Nusa, Bogor, Indonesia, cet.1, 1996.
[26] Lihat juga penjelasan Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1:885, Takhrij Ahmad Abu Al-Majd, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta,cet.1,2006.
[27] Lihat juga penjelasan Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1:885; Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim, Fiqih Sunnah Untuk Wanita: 483; Abu Bakar Jabir Al-Jazaairi, Pedoman Hidup Muslim:752; Prof. Dr. HAMKA, Tafsir Al-Azhar, Juzu’ 29-30, ms. 280, Yayasan Litamojong, Surabaya, Indonesia, cet.1, 1984.
[28] Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1:885-886, Takhrij Ahmad Abu Al-Majd, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet. 1, 2006.
[29] Maksudnya hukum melafazkannya dan hukum menunaikan nadzar tersebut.
[30] Lihat kembali perenggan 8 di atas.
[31] Abu Bakar Jabir Al-Jazaairi, Pedoman Hidup Muslim:752, terj. Indonesia, P.T. Pustaka Litera Antarnusa, Bogor, Indonesia, cet.1, 1996.
[32] Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Bulughul Maram, sanad hadits ini shahih, tapi para penghafal hadits mengunggulkannya sebagai hadits mauquf kepada Ibnu ‘Abbas. Lihat Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 3: 625, terj. Indonesia, Darus Sunnah Press, Jakarta, cet.1, 2008; ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman Al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, 7:166-167, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2007; Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 269, terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994; Sunan Abu Daud: no. 3322 dalam Al-Kutub al-Sittah, 1: 1603.
[33] Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 3: 625, terj. Indonesia, Darus Sunnah Press, Jakarta, cet.1, 2008.
[34] ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman Al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, 7:168, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2007.
[35] Ibid, ms. 172.
[36] Lihat hadith-hadith mengenainya seperti di perenggan (2) di atas.
[37] Lihat hadits mengenainya seperti di perenggan (10) di atas.
[38] Abu Bakar Jabir Al-Jazaairi, Pedoman Hidup Muslim:752, terj. Indonesia, P.T. Pustaka Litera AntarNusa, Bogor, Indonesia, cet.1, 1996.
[39] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 263, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[40] Lihat kembali notakaki no.2 di atas, ms. 1.
[41] Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1:890, Takhrij Ahmad Abu Al-Majd, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta,cet.1,2006
[42] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 263, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[43] Ibid.
[44] Asy-Syaikh Faishal bin ‘Abdul ‘Aziz Aali Mubarak, Bustanul Akhbaar Mukhtashar Nailul Athaar, terj. Indonesia dengan nama Terjemahan Nailul Athaar Himpunan Hadith-Hadith Hukum, 6:583, PT. Bina Ilmu, Surabaya, Indonesia, cet.1, 1986.
[45] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 271, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[46] Lihat Sunan Abu Daud, no.3293 dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1:1600, Sunan Tirmizi, no.1544 dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1:1945, Sunan An-Nasaa-i, no.3815, dalam Al-Kutub Al-Sittah, 2:2537 dan Sunan Ibnu Majah, no.2134 dalam Al-Kutub Al-Sittah, 2:2894. Lihat juga Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 3:455, notakaki no.1292, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2007.
[47] Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim, Fiqih Sunnah Untuk Wanita: 484, terj. Indonesia, Al-I’tisham Chahaya Umat, Jakarta,cet.1, 2007.
[48] Sebaliknya jika dia tidak mampu menunaikannya, maka nadzarnya itu tidak wajib ditunaikan dan tidak ada kafarat baginya seperti dijelaskan dalam perenggan 22 & 23 di atas. Perhatikan kembali!
[49] Sunan Tirmizi, no.3690, dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1:2182
[50] Sunan Abu Daud, no.3312, dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1:1601.
[51] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 2:534,  terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2006.
[52] Sunan Nasaa-i, no.2812, dalam Al-Kutub Al-Sittah, 2: 2536, Maktabah Al-Rusyd, Naasyiruun, Riyadh, cet.1, 2005.
[53] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 2:534,  terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2006; Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 277, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[54] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 2:534,  terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2006.
[55] Ibid.
[56] Sunan Tirmizi, no.3675, dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1: 2180, Maktabah Al-Rusyd, Naasyiruun, Riyadh, cet.1, 2005.
[57] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 2:535, notakaki no.1330,  terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2006.
[58] Ibid.
[59] Dalam Sunan Abu Daud, no.3321, dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1: 1602, hadits ini dinyatakan hasan shahih. Menurut Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 2:535, notakaki no.1332,  terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2006, sanadnya hasan.
[60] Dalam Sunan Abu Daud, no.3319, dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1: 1601, hadits ini dikatakan sanadnya shahih.
[61] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 2:536,  terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2006.
[62] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 278, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[63] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 2:536,  terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2006
[64] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 277, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.

[65] Hadith shahih dengan mengumpulkan jalur-jalur sanadnya. Lihat Al-Albaani, Irwaa-ul-Ghalil, 3:408-414, hadith no.896.
[66] Edisi terjemahan Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2006.
[67] Ibid, 2:538; Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 277, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[68] Sunan Abu Daud, no.3305, dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1: 1600; Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 284, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[69] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 281-282, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994 & Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 3:463, edisi terj. Indonesia, Pustaka At-Tazkia, cet.1, 2007.
[70] Sunan Abu Daud, no.3306, dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1: 1600
[71] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 284, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[72] Edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[73] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 282-283, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[74] Ibid, 9:283.
[75] Ibid, 9:284.
[76] Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1:895, Takhrij Ahmad Abu Al-Majd, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta,cet.1,2006.
[77] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 286, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[78] Seperti notakaki 77 & 78 sebelumnya.
[79] Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, 6: 384, edisi terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2004.
[80] Ibid.
[81] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 3:464, edisi terj. Indonesia, Pustaka At-Tazkia, cet.1, 2007.
[82] Ibid.
[83] Sanadnya layyin (lemah sedikit). Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah (35:257) menyandarkan kepada Al-Atsram yang berkata: Menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Raja’, menceritakan kepada kami ‘Imran daripada Qatadah daripada Zararah bin Abi Aufa. Lihat Ibid.
[84] Ibid.
[85] Abu Bakar Jabir Al-Jaaziri, Minhajul Muslim, edisi terj. Indonesia dengan tajuk Pedoman Hidup Muslim: 752, P.T Pustaka Litera AntarNusa, cet.1, 1996.
[86] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 272-274, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[87] Ibid, 9:275.
[88] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 3:465, edisi terj. Indonesia, Pustaka At-Tazkia, cet.1, 2007.
[89] Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 3: 361, notakaki no.839, terj. Indonesia, Darus Sunnah Press, Jakarta, cet.1, 2008.
[90] ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman Al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, 7:176-177, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2007.
[91] Ibid, 7 :  177
[92] Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 3: 360, terj. Indonesia, Darus Sunnah Press, Jakarta, cet.1, 2008.
[93] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 9: 272-273, edisi terj. Indonesia, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994.
[94] Ibid, 9:273.
[95] Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 3: 361, notakaki no.841, terj. Indonesia, Darus Sunnah Press, Jakarta, cet.1, 2008.
[96] Lihat juga penjelasan Syaikh ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman Al-Bassam, Syarah Bulughul Maram, 7:178-181, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2007.
[97] Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, Hukum Udhhiyah dan Penyembelihan, ms.58, edisi terj. Indonesia, At-Tibyan, Solo, Indonesia, tanpa tahun terbitan. Kitab ini adalah terjemahan dari kitab asal berbahasa Arab,”Talkhis Kitab Ahkaamil Udhhiyah Wadz Dzakaat” karya Syaikh Al-Utsaimin.
[98] Asy-Syaukani, Nailul Authaar, 5: 192,Darul Fikr, tanpa tarikh, edisi terj. Indonesia dengan nama Nailul Authaar, 5: 373-374, C.V Asy-Syifa’, Semarang, Indonesia, cet.1, 1994; Al-Allamah Al-Wara’ Fadhiilah Asy-Syaikh Faishal bin ‘Abdul ‘Aziz Aali Mubarak, Bustanul Akhbaar Mukhtashar Nailul Athar, edisi terj. Indonesia dengan nama Terjemahan Nailul Athaar, 4:1577, PT. Bina Ilmu, Surabaya, Indonesia, cet.1, 1983.
[99] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim menyebutnya dalam Shahih Fiqih Sunnah, 3:467 di bawah notakaki 1328, terj. Indonesia, Pustaka At-Tazkia, Jakarta, cet.1, 2007, atsar ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari (11:584) dengan sighat jazm. Al-Hafiz tidak menyebutkan rangkaian sanadnya dalam Al-Taghliq (5:203).
[100] Al-Muhalla, 8:28, dipetik daripada Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 2:543, notakaki no.1354, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, cet.1, 2006.
[101] Edisi ter. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2006.
[102] Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani, Fathul Baari, 32:398, terj. Indonesia, Pustaka Azzam, Jakarta, cet.1, 2009.
[103] Lihat kembali notakaki no.2.
[104] Majmu’ Al-Fatawa, 1:287, dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah, 3:473, karya Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim, terj. Indonesia, Pustaka At-Tazkia, Jakarta, cet.1, 2007.
[105] Ibid, 3:47.
[106] Sunan Tirmizi, no.1535 dalam Al-Kutub Al-Sittah, 1:1944.
[107] Ibid.
[108] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah, 3:473, terj. Indonesia, Pustaka At-Tazkia, cet.1, 2007.

No comments:

Post a Comment