Konsep Nur Muhammad
Menyingkap Rahsia Di Sebalik Kejadian Nur Muhammad
Oleh : Maulana Muhammad Asri Yusuf
SUMBER : www.darulkautsar.net
CERAMAH MP3 :
http://www.darulkautsar.net/flowplayer/player.php?file=http://www.darulkautsar.net/content_images/1/04_PemurnianAkidah/Tasawwuf/NurMuhammad.mp3
1. Pengenalan
Banyak sekali
terdapat dalam kitab-kitab tasauf, sirah dan maulid kenyataan yang menunjukkan
bahawa kejadian pertama alam semesta ini adalah Nur Muhammad. Kenyataan seperti
ini telah menimbulkan banyak pula fahaman-fahaman lain berhubung dengan
Rasulullah s.a.w seperti Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai bayang,
tergila-gilanya perempuan-perempuan kepada ayahanda Nabi s.a.w. ketika Nur
Muhammad dikatakan memancar di dahinya sampai membawa mereka mati dan
sebagainya.
Ia juga
mendekatkan kepada konsep Nur Panjthan (Nabi Muhammad, Ali, Fatimah, Hasan dan
Husain) yang dikatakan berlegar-legar mengelilingi arasy sebelum kejadian alam
semesta selama 50,000 tahun mengikut ajaran Syiah. Ia juga merupakan punca
kesesatan golongan Barelwi yang mempercayai bahawa Nabi Muhammad bukannya
seorang manusia biasa dari segi kejadian asalnya tetapi kejadiannya berbeza
dari yang lain kerana ia adalah Nur yang terpancar daripada nur Allah. Untuk
ini banyak sekali ayat-ayat Al-Quran ditakwilkan dengan sewenang-wenangnya dan
banyak pula hadis-hadis yang sahih diketepikan atau diabaikan langsung.
Walaupun
pengarang kitab-kitab sirah dan maulid dan juga pengarang-pengarang kitab-kitab
tasauf itu mengemukakan riwayat tentang Nur Muhammad tetapi tidak pula mereka
menyatakan sanadnya, di samping tidak diketahui langsung punca-puncanya yang
boleh dipertanggungjawabkan. Kalaupun ada hanya satu hadis yang dikatakan telah
dikemukakan oleh Abdul Razak dalam “Musannaf”nya, InsyaAllah akan diterangkan
kemudian. Tetapi anehnya banyak lagi perincian yang tidak terdapat di dalam
hadis Abdul Razak itu tentang Nur Muhammad dapat kita lihat dalam
riwayat-riwayat yang dikemukakan mereka. Sebagai contohnya, dapat kita lihat
pada muka surat pertama lagi daripada kitab “Madariju As-Suud” karangan
Muhammad Nawawi Bantan, syarah kepada kitab Maulid Nabawi karangan Syed Jaafar
yang lebih dikenali sebagai “Al Barzanji”. Kitab tersebut dibuka dengan
puji-pujian kepada Allah yang telah memulakan wujud ini dengan Nur Muhammad
yang meresap dalam segala perkara yang ditakdirkan Allah sebelum diciptanya
langit dan bumi selama 50,000 tahun.
2. Nur Muhammad
Versi Ka’bul Akhbar
Kata Ka’bul
Akhbar, “Bila Allah hendak menjadikan sekelian maujudat dengan merendahkan bumi
dan meninggikan langit-langit, maka Dia menggenggam satu genggaman daripada
NurNya. Diapun berkata kepada segenggam NurNya itu, “Jadilah engkau Muhammad”.
Maka iapun menjadi satu tiang daripada Nur yang berkilau-kilau sampai daripada
hijab kegelapan lalu Nur itupun bersujud seraya berkata “Segala puji bagi
Allah”. Maka Allah berfirman, “Untuk itulah Kuciptakan engkau dan Kunamakan
engkau Muhammad. Daripadamulah Aku memulakan kejadian makhluk ini dan
denganmulah Aku menyudahi Rasul-Rasul”. Kemudian sesungguhnya Allah
membahagikan NurNya itu kepada 4 bahagian pula. Daripada bahagian pertama
dijadikanNya Lauh (Luh Mahfuz), daripada yang kedua dijadikan nya Qalam.
Kemudian Allah berfirma kepada Qalam, “Tulislah”. Maka menggeletarlah Qalam itu
selama 1,000 tahun justeru hebatnya perintah Allah kepadanya itu. Kemudian
Qalam berkata, “Apakah yang perlu kutulis? Allah berfirman, “Tulislah Laailaha
illallah Muhammadun Rasulullah”. Maka Qalam itu pun menulislah apa yang
diperintahkan dan setelah itu ia mengikut ilmu Allah (dengan menulis) berhubung
dengan makhlukNya.
Qalam menulis,
“Wahai anak-anak Adam daripada sulbinya! Sesiapa yang taat kepada Allah akan
dimasukkanNya ke dalam syurga dan sesiapa yang derhaka kepada Allah akan
dimasukkanNya ke dalam neraka. Wahai ummat Nuh! Sesiapa yang taat kepada Allah
akan dimasukkanNya ke dalam syurga dan sesiapa yang derhaka akan dimasukkanNya
ke dalam neraka. Wahai ummat Ibrahim! Sesiapa yang taat kepada Allah akan
dimasukkanNya ke dalam syurga dan sesiapa yang derhaka akan dimasukkanNya ke
dalam neraka. Wahai ummat Musa! Sesiapa yang taat kepada Allah akan
dimasukkanNya ke dalam syurga dan sesiapa yang derhaka akan dimasukkanNya ke
dalam neraka. Wahai ummat Muhammad! Sesiapa yang taat kepada Allah akan
dimasukkanNya ke dalam syurga dan sesiapa yang derhaka kepada Allah…..” Qalam
sudah hampir menulis akan dimasukkanNya ke dalam neraka tiba-tiba terdengar
seruan daripada Tuhan Yang Maha Tinggi, “Wahai Qalam! Beradablah”. Maka
pecahlah Qalam itu kerana kehebatan Allah dan tertulis noktah dengan tangan
Qudrat . Kerana itulah pada kebiasaannya setiap qalam tidak menulis melainkan
dalam keadaan terpecah-pecah dan berbintik-bintik dan tuhanpun berkata
kepadanya, “Tulislah ummat yang berdosa dan Tuhan Yang Pengampun”.
Kemudian daripada
bahagian yang ketiga daripada Nur Muhammad itu Allah menjadikan arasy. Bahagian
keempat pula dibahagikan kepada empat bahagian. Yang pertama daripadanya
dijadikan Akal dan yang kedua dijadikan Ma’rifat dan yang ketiga dijadikan Nur
Arasy, Cahaya Penglihatan dan Cahaya Siang. Semua Nur-Nur ini adalah daripada
Nur Muhammad. Oleh itu Nur Muhammad adalah makhluk yang terawal dari
segala-galanya yang dijadikan Tuhan.
Sementara
bahagian yang keempat daripada empat bahagian itu pula disimpan di bawah arasy
sehingga Allah `Azzawajalla menjadikan Adam dan diperintahkan malaikat supaya
bersujud kepadanya.
Adam dimasukkan
ke dalam syurga, ketika itu malaikat berdiri di bahagian belakang Adam
bersaf-saf. Mereka memandang kepada Nur Muhammad lalu berkatalah Adam, “Wahai
Tuhan! Kenapakah malaikat ini berdiri di belakangku bersaf-saf?” Allah berkata,
“Wahai Adam! Mereka memandang kepada Nur Kekasihku (Muhammad) penyudah sekelian
Rasul yang akan Ku keluarkan daripada belakangmu.” Berkatalah Adam, “Wahai
Tuhan! Letakkanlah Nur itu di sebelah hadapanku supaya malaikat mengadapku.”
Maka Allahpun meletakkannya di dahinya. Pada ketika itu para malaikat pun
berdiri mengadap wajah Adam lalu Adam pun berkata “Wahai Tuhan! Letakkanlah Nur
ini di suatu tempat yang dapat aku melihatnya”. Maka Allahpun meletakkan Nur
Muhammad itu di jari telunjuknya.
Adam melihat
kepada kecantikan Nur itu, maka bertambah-tambahlah kecantikan dan serinya.
Adam mendengar Nur itu bertasbih dengan tasbih yang agung. Kemudian Nur itu
berpindah daripada Adam kepada Hawa. Adam melihat Nur itu pada wajah Hawa bagai
matahari yang bersinar-sinar. Kemudian Hawa melahirkan Rasul yang mula-mula
daripada anak Adam iaitu Syith. Maka hilanglah Nur itu daripada wajah Hawa,
berpindah pulalah ia kepada Syith. Adam meminta kepada Syith agar tidak
diletakkannya Nur itu melainkan pada perempuan-perempuan yang suci.
Kemudian terus
berpindah-pindahlah Nur itu daripada seorang lelaki mulia kepada seorang lelaki
mulia yang lain dan daripada seorang perempuan yang suci kepada seorang
perempuan suci yang lain hinggalah ia sampai kepada sulbi Abdullah bin Abdul
Mutalib. Kemudian Allah mengeluarkannya ke dunia lalu dijadikanNya penghulu
sekelian Rasul dan penyudah sekelian Nabi, dijadikannya rahmat kepada sekelian
alam dan pemimpin kepada orang-orang yang bertuah.
3. Nur Muhammad
Versi Syeikh Zainal Abidin Al-Fathaani
Contoh yang kedua
pula dapat kita lihat di dalam kitab – kitab seperti “Daqaa’iqu Al Akhbar Fi
Zikri Al Jannati Wa An Nar” karangan Abdul Rahim bin Ahmad Al Qadhi, “Kasyfu Al
Ghaibiah” sebuah kitab jawi karangan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad Al
Fathaani dan lain – lain di mana disebutkan di dalam helaian pertamanya lagi
tentang kejadian Nur Muhammad itu tetapi ia jauh berbeza daripada apa yang
terdapat di dalam kitab “Madariju As Su’ud” tadi , begini bunyinya ;
Bab Yang Pertama
Pada Menyatakan Kejadian Ruh Agung Iaitu Nur Penghulu Kita Dan Nabi Kita
Muhammad s.a.w.
Tersebut di dalam
hadis bahawasanya Allah telah menjadikan satu pohon kayu yang mempunyai empat
dahan . Pohon kayu itu dinamakan “Syajaratu Al Muttaqin.” Dalam sesetengah
riwayat tersebut “ Syajaratu Al Yaqin “ . Kemudian Ia menjadikan Nur Muhamamd
di dalam hijab daripada permata yang sangat putih seperti rupa burung merak dan
diletakkan burung merak itu di atas pohon tadi, maka bertasbihlah Nur itu di
atas pohon tadi selama 70,000 tahun .
Setelah itu Allah
menjadikan cermin malu, diletakkan cermin itu berhadapan dengannya . Bila
burung merak itu menilik dirinya di dalam cermin itu , dilihatnya rupanya
sangat cantik dan sangat elok . Maka malulah ia kepada Allah Taala lalu
berpeluh dan bertitiklah daripadanya enam titik peluh .
Daripada titik
yang pertama Allah jadikan ruh Abu Bakr ra. Dan daripada titik yang kedua
dijadikan ruh Umar ra . Daripada titik yang ketiga dijadikan ruh Utsman ra .
Dan daripada titik yang keempat dijadikan ruh Ali ra . Daripada titik yang
kelima dijadikan pokok bunga ros dan daripada titik yang keenam dijadikan padi.
Setelah itu
bersujudlah Nur Muhammad itu sebanyak lima kali. Lima kali sujud itu merupakan
fardhu yang ditentukan oleh Allah swt berupa sembahyang lima waktu ke atas Nabi
Muhammad dan ke atas ummatnya.
Kemudian Allah
menilik pula kepada Nur itu, maka berpeluhlah ia kerana malu kepada Allah.
Daripada peluh hidungnya Allah menjadikan malaikat, daripada peluh mukanya
Allah menjadikan arasy, qursi, lauh, qalam, matahari, bulan, hijab, segala
bintang dan segala sesuatu yang terdapat di langit. Daripada peluh dadanya
Allah menjadikan sekelian nur Rasul, sekelian ulamak, syuhada’ dan solihin.
Daripada peluh belakangnya Allah menjadikan Baitul Ma’mur, Ka’bah, Baitul
Maqdis dan segala tapak masjid di dunia ini.
Daripada peluh
dua keningnya itu Allah menjadikan ummat Nabi Muhammad, daripada sekelian
mukmin lelaki dan perempuan. Daripada peluh dua telinganya Allah menjadikan
segala ruh Yahudi, Nasrani, Majusi dan seumpamanya daripada mulhid, kafir dan
munafiqin. Daripada peluh dua kakinya Allah menjadikan segala bumi daripada
Masyrik dan Maghrib dan segala apa yang ada di dalamnya.
Kemudian Allah
berfirman kepada Nur, “Perhatikanlah di sebelah hadapanmu wahai Nur Muhammad!”
Apabila ia memerhatikan tiba-tiba ia melihat di sebelah hadapan dan belakangnya
dan di sebelah kanan dan kirinya nur semata-mata. Nur-nur itu adalah Abu Bakr,
Umar, Usman dan Ali. Nur-nur itu kemudiannya bertasbih selama 70,000 tahun.
Kemudian Allah menjadikan nur para Nabi daripada Nur Muhammad. Allah menilik
kepada Nur Muhammad maka dijadikanNya daripada Nur itu ruh-ruh mereka itu yakni
dijadikan ruh sekelian Nabi itu daripada peluh Nur Muhammad saw. Daripada peluh
ruh-ruh para Nabi itu dijadikan ruh-ruh ummat mereka dan dijadikan ruh
orang-orang mukmin dari kalangan ummat Muhammad daripada peluh Nabi Muhammad.
Maka mengucaplah sekelian mereka ‘Laaila ha illallah Muhammadun Rasulullah”.
Kemudian Allah
menjadikan “qandil” daripada “aqiaq” yang merah. Bahagian luarnya dapat dilihat daripada dalamnya.
Kemudian Allah menjadikan rupa Muhammad itu seperti rupanya di dalam dunia ini.
Lalu diletakkan
di dalam qandil itu. Maka berdirilah ia di dalam qandil itu seperti berdirinya
di dalam sembahyang dan ruh-ruh para Nabi dan lain-lain mengelilingi qandil Nur
Muhammad itu. Mereka semua bertasbih dan bertahlil selama 100,000 tahun.
Kemudian Allah
memerintahkan supaya tiap-tiap ruh itu menilik Nur Muhammad itu. Ada di
antaranya melihat kepalanya maka jadilah ia khalifah dan sultan antara sekelian
makhluk, di antara mereka ada yang melihat dua matanya maka jadilah ia hafiz
bagi kalam Allah . Di antara mereka ada yang melihat dua keningnya maka jadilah
ia pelukis. Di antara mereka ada yang melihat dua telinganya maka jadilah ia
orang yang mendengar dan patuh. Di antara mereka ada yang melihat dua pipinya
maka jadilah ia orang yang berbuat baik dan berakal. Di antara mereka ada yang
melihat dua bibir mulutnya maka jadilah ia pembesar-pembesar di sisi raja. Di
antara mereka ada yang melihat hidungnya maka jadilah ia pujangga, doktor dan
penjual wangi-wangian . Di antara mereka ada yang melihat mulutnya maka jadilah
ia orang yang berkuasa. Di
antara mereka ada yang melihat kakinya maka jadilah ia orang rupawan sama ada
lelaki atau perempuan. Di antara mereka ada yang melihat akan lidahnya maka
jadilah ia utusan raja-raja. Di antara mereka ada yang melihat halkumnya maka
jadilah ia penasihat dan muazzin (tukang azan). Di antara mereka ada yang melihat janggutnya maka
jadilah ia orang yang berjuang “fi sabilillah.”
Di antara mereka
ada orang yang melihat tengkoknya maka jadilah ia saudagar. Di antara mereka
ada yang melihat dua lengannya maka jadilah ia orang yang pandai bermain kuda
dan pedang. Di antara mereka ada yang melihat lengan kanannya maka jadilah ia
tukang berbekam. Di antara mereka ada yang melihat lengan kirinya maka jadilah
ia orang yang jahil. Di antara mereka ada yang melihat tapak tangan kanannya
maka jadilah ia penjual emas dan perak dan tukang sukat. Di antara mereka ada
yang melihat tangan kirinya maka jadilah ia orang yang pandai menyukat. Di
antara mereka ada yang melihat dua tangannya maka jadilah ia orang yang pemurah
dan terpuji. Di antara mereka ada yang melihat belakang tapak tangannya yang
kiri maka jadilah ia orang yang bakhil. Di antara mereka ada yang melihat
belakang tapak tangannya yang kanan maka jadilah tukang masak. Di antara mereka
ada yang melihat ruas-ruas anak jari yang kiri maka jadilah ia juru tulis. Di
antara mereka ada yang melihat anak-anak jari yang kiri maka jadilah ia tukang
jahit. Di antara mereka ada yang melihat segala anak-anak jari yang kiri maka
jadilah ia tukang besi. Di antara mereka ada yang melihat dadanya maka jadilah
ia orang yang `alim, mulia dan mujtahid. Di antara mereka ada yang melihat
belakangnya maka jadilah ia orang yang tawadhu’ dan taat mengikut syara’. Di
antara mereka ada yang melihat dua lambungnya maka jadilah ia orang yang
berperang fi sabilillah. Di antara mereka ada yang melihat perutnya maka
jadilah ia orang yang bersifat qana’ah dan zahid. Di antara mereka ada yang
melihat dua lututnya maka jadilah ia orang yang ruku’ dan orang yang sujud. Di
antara mereka ada yang melihat dua kakinya maka jadilah ia orang yang pandai
berburu. Di antara mereka ada yang melihat dua tapak kakinya maka jadilah ia
orang yang berjalan. Di antara mereka ada yang melihat bayang-bayangnya maka
jadilah ia penyanyi dan pemain gendang.
Di antara mereka
ada yang tiada melihat sesuatu daripadanya maka jadilah ia Yahudi dan Nasrani
atau kafir dan musyrik atau Majusi. Di antara mereka ada yang tiada langsung
melihatnya maka jadilah ia orang yang mendakwa ketuhanan seperti Fir’aun dan lainnya
daripada orang kafir”.
4. Makhluk Yang
Mula-Mula Dicipta Allah Mengikut Hadis Yang Sahih
Sedangkan apa
yang diketahui daripada kitab-kitab hadis yang sahih dan muktabar, yang
mula-mula sekali dicipta oleh Allah SWT ialah Qalam. Diriwayatkan oleh Tirmidzi
dan Abu Daud daripada Ubadah bin As Samit daripada Nabi s.a.w., “Sesungguhnya
perkara yang mula-mula sekali dicipta oleh Allah ialah Qalam. Maka Allah
berfirman kepadanya, “Tulislah!” Iapun berkata, “Wahai Tuhan! Apakah yang perlu
saya tulis?” Allah SWT bersabda, “Tulislah takdir segala sesuatu sehingga
kiamat.”
Di dalam riwayat
Muslim disebutkan bahawa yang mula-mula diciptakan oleh Allah ialah `Arasy.
Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menulis takdir sekelian
makhluk sebelum ia mencipta langit dan bumi selama 50,000 tahun. Ketika itu
arasyNya telahpun berada di atas air”.
Di sini jelas
menunjukkan bahawa kejadian arasy dan air adalah terdahulu daripada kejadian
pen, tetapi yang mana satu daripada arasy dan air ini pula terdahulu diciptakan?
Berdasarkan riwayat Ahmad dan Tirmidzi dan dihukum sahih olehnya dari hadits
Abi Razin Al’Uqaili secara marfu’ tersebut bahawa air telah diciptakan terlebih
dahulu daripada arasy. Hafidz Ibn Hajar di dalam Fathul Baari j.6 ms. 289 juga
mentarjihkan hadis ini.
Kebanyakan ulamak
mengatakan terdahulunya pen itu dalam penciptaannya adalah merupakan “awwaliah
idhafiah” atau “terdahulu nisbi” sementara terdahulunya arasy dan air itu
adalah terdahulu “awwaliah haqiqiah” maksudnya “terdahulu sebenar”.
Sementara hadis
yang dikatakan menyebutkan bahawa kejadian yang pertama sekali ialah Nur
Muhammad pula merupakan sesuatu yang tidak berasal dan tidak sabit daripada
Rasulullah s.a.w.. Hafidz Ibn Taimiah dan Ibn Katsir menyatakan, “Semua
hadis-hadis yang menyatakan demikian adalah palsu dan diada-adakan dengan
ittifaq ahli ilmu hadis”. -lihat Al Aatsaru Al Marfu’ah muka surat 23. Demikian
juga kata Abu Hasan Ali bin Muhammad Al Kinani dan Imam Zahabi – lihat Tanzihu
As Syari’ah Al Maarfu’ah.
5. Kedudukan ‘Hadis’
Tentang Nur Muhammad
Ada dikatakan
hadis tentang Nur Muhammad telah dikemukakan oleh Abdul Razak bin Hamam dalam
“Musannaf”nya padahal hadis itu tidak terdapat dalam kitab tersebut menurut
perhatian penulis terhadap kitab Musannaf cetakan Al Maktabu Al Islami, Beirut,
dengan tahqiq oleh Allamah Al Muhaddits Habibur Rahman Al-A’zami.
Yang
menghairankan ialah para ulamak yang lalu menyebutkan hadis ini terdapat di
dalam Musannaf seperti apa yang disebutkan oleh pengarang sebuah kitab tasauf
dalam bahasa Jawi iaitu “Ad Durun an Nafis” (muka surat 23) dan Sulaiman An
Nadwi dalam “Seeratu an Nabi” (Jilid 3) tetapi Sulaiman Nadwi mengakui tidak
berpeluang melihat kitab itu sendiri kerana kitab itu tidak dicetak di India
pada ketika itu.
Sementara Anwar
Shah Kasymiri pula menyatakan hadis itu telah dikemukakan oleh Hakim dalam
Mustadraknya tetapi apabila diteliti tidak terdapat pun hadis itu di dalam
Mustadrak, yang ada hanyalah hadis tentang Qalam sebagai sesuatu yang mula-mula
dijadikan oleh Allah bukannya Nur Muhammad. Tidaklah dapat dipastikan samada
ulamak-ulamak yang lalu itu hanya menukilkan riwayat dari nukilan dan kata-kata
orang lain berdasarkan kepercayaan kepada orang itu tanpa melihatnya sendiri
atau ada di antara mereka yang mendapati naskah “Musannaf” yang menyebutkan
tentang Nur Muhammad itu.
Walaubagaimanapun
daripada naskah yang tercetak dan tersebar hari ini, hadis itu memang tidak
wujud. Apa yang didakwakan sebagai hadis Nur Muhammad yang terdapat di dalam
kitab Musannaf itu mengikut sebagaimana yang dinukilkan oleh Ahmad Riza Khan
Barelwi (Pengasas aliran Barelwi di India dan Pakistan) yang sesat itu di dalam
kitabnya Solatu As Safa adalah sebagai berikut:
“Rasulullah
s.a.w. bersabda kepada Jabir, “Wahai Jabir! Sesungguhnya Allah Taala telah
mencipta sebelum segala sesuatu Nur Nabimu daripada NurNya. Maka Nur itu mula
berputar dengan kudrat Allah selama dikehendakiNya. Pada ketika itu belum ada
lagi lauh dan qalam, syurga dan neraka. Belum juga ada malaikat, langit,
matahari, bulan, jin dan manusia. Bila Allah hendak menjadikan makhluk,
dibahagiNya Nur itu kepada empat bahagian. Daripada bahagian yang pertama
dijadikan qalam, daripada bahagian yang kedua dijadikan lauh, daripada yang
ketiga dijadikan arasy. Kemudian Dia membahagikan bahagian yang keempat kepada
empat bahagian yang lain. Daripada bahagian yang pertama dijadikan langit,
daripada bahagian kedua dijadikan bumi, daripada bahagian ketiga dijadikan
syurga dan neraka kemudian yang keempat pula dibahagikan kepada empat bahagian
….” hingga ke akhir hadis.
Sebelum ini telah
dinyatakan bahawa hadis ini tidak terdapat dalam “Musannaf” Abdul Razak. Kalau
diandaikan hadis ini memang ada, maka ia perlu dinilai dan ditimbang dengan
neraca ilmu hadis dan hasilnya tentu akan kita dapati bahawa ada beberapa
perkara yang menghalang kita daripada menerima hadis ini untuk dijadikan
sebagai alasan atau pegangan.
Pertama, perlu
diteliti dan diketahui dengan sejelas-jelasnya siapakah Abdul Razak itu?
Mengikut kebanyakan tokoh-tokoh hadis bahawa Abdul Razak adalah seorang Syiah
Rafidhah. Setengah ulamak menganggapnya sebagai pembohong. Ulamak-ulamak hadis
yang menerima riwayatnya pun mengemukakan beberapa syarat untuk diterima
riwayatnya. Antaranya ialah:
1. Oleh kerana
beliau seorang Syiah, mana-mana riwayatnya berhubung dengan fadhail dan manaqib
tidak akan diterima.
2.
Riwayat-riwayatnya yang menyentuh peribadi sahabat tidak akan diterima.
3. Oleh kerana
Abdul Razak telah kehilangan akal pada tahun 210H, ketika itu sesiapa sahaja
boleh menyatakan sesuatu daripada mulutnya tanpa kesedaran dirinya, oleh itu
setiap riwayat yang dikemukakan selepas tahun 210H tidak boleh diterima.
4.
Riwayat-riwayat yang dinukilkan oleh anak saudaranya yang bernama Ahmad bin
Abdullah semuanya mungkar.
5. 5. Dia terkenal
dalam kesilapannya meriwayatkan hadis-hadis Ma’mar sedangkan kebanyakan
riwayat-riwayatnya adalah berpunca daripada Ma’mar.
6. Sekiranya
hadis yang diriwayatkannya itu hadis yang muttasil dan setiap perawinya adalah
orang tsiqah barulah boleh diterima riwayatnya.
Itupun bagi
orang-orang yang menerima riwayatnya, sementara segolongan ulamak hadis pula
langsung tidak mahu menerima riwayatnya oleh kerana beliau dikenali sebagai
Syiah Rafidhah. Zaid bin Al Mubarak malah menyatakan Abdul Razak itu lebih pembohong
daripada Waqidi. Ahmad bin Abi Khaitsamah berkata, “Saya mendengar Ibn Ma’in
ketika diceritakan kepadanya bahawa Imam Ahmad berkata, “Ubaidullah bin Musa
ditolak hadisnya kerana kefahaman Syiahnya “Maka Ibn Ma’in berkata, “Demi Allah
yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, Abdul Razak lebih melampau 100 kali ganda
daripada Ubaidullah dalam perkara ini “(Az Zahabi-Mizanu Al-I’tidal jilid 2
muka surat 611)
Bagaimanapun
pendapat kebanyakan ulamak hadis tentang Abdul Razak ialah, beliau adalah
seorang Syiah Tafdhiliah dan boleh diterima riwayat-riwayatnya dengan
syarat-syarat yang telah disebutkan tadi.
Kedua, perlu juga
dilihat kedudukan kitab Musannaf itu di antara kitab-kitab hadis yang lain dan
menurut Syah Abdul Aziz bahawa kitab-kitab hadis itu terbahagi kepada empat
peringkat. Termasuk di dalam peringkat yang pertama tiga buah kitab iaitu
Muwattha’ Imam Malik, Sahih Al Bukhari dan Sahih Muslim. Termasuk di dalam
peringkat yang kedua ialah kitab-kitab seperti Jami’ Tirmidzi, Sunan Abi Daud
dan Sunan Nasa’i. Di dalam peringkat yang ketiga pula termasuk kitab-kitab
hadis yang memuatkan hadis-hadis sahih, hasan, dhaif, ma’ruf, gharib, syaz,
mungkar, khatha’ dan shawab (salah dan betul) sabit dan maqlub. Kitab-kitab
yang termasuk dalam peringkat yang ketiga ini tidaklah sampai kepada
kemasyhuran yang begitu tinggi di kalangan ulamak. Walaupun tidak semua
hadis-hadisnya boleh dinamakan mungkar, para fuqaha tidak banyak menggunakan
hadis-hadis daripada kitab-kitab ini yang mutafarrid (hadis yang hanya tersebut
di dalam salah satu daripada kitab-kitab ini)
Termasuk di dalam
peringkat ini ialah kitab-kitab seperti Musnad Imam Syafi’e, Sunan Ibn Majah,
Musnad Ad Daarimi, Musnad Abi Ya’la, Musannaf Abdul Razak dan lain-lain.
Termasuk di dalam peringkat keempat pula kitab-kitab hadis yang hanya memuatkan
hadis-hadis dhaif dan maudhu’ seperti Kitabu Ad Dhu’afa’ karangan Ibn Hibban,
Kitabu Ad Dhu’afa’ karangan `Uqaili dan lain-lain.
Daripada
keterangan di atas dapat dilihat bahawa Musannaf Abdul Razak itu termasuk daripada
kitab-kitab hadis dari peringkat ketiga. Riwayat-riwayatnya tidak boleh
diterima secara mutlak tanpa memeriksa dan menilainya terlebih dahulu.
Sesetengah ulamak
misalnya Maulana Habibur Rahman Kandahlavi seorang tokoh hadis di Pakistan
menyatakan kepalsuan hadis ini ditinjau dari sudut dirayah. Begini katanya
“Hadis ini menyatakan bahawa Nur Muhammad telah dicipta oleh Allah dari NurNya.
Kemudian daripada Nur Muhammad itu diciptakan sekelian makhluk lain,
seolah-olahnya Allah telah terbahagi kepada juzuk-juzuk dan jisim yang tidak
berkesudahan buat selama-lamanya. Ini bermakna setiap sesuatu dalam alam
semesta ini merupakan satu juzuk daripada Allah dan setiap sesuatu darinya
mempunyai unsur ketuhanan. Tiada lagi yang sunyi dari unsur ini. Dalam keadaan
ini jika ada seseorang yang mendakwa sebagai Tuhan atau berkata, “Dalam keadaan
ini jika ada seseorang yang mendakwa sebagai Tuhan atau berkata, “Anal haq”
“Ana Rabbukumul a’la” mungkin juga dari satu sudut ada kebenarannya.
Ketika itu
perbezaan antara khaliq dan makhluk, ‘abid dan ma’bud dan malik dan mamluk yang
ditekankan dengan sejelas-jelasnya dalam Al-Quran sudah tidak bererti lagi.
Inilah sebenarnya asas kepada faham “Wahdatul Wujud” atau “Serba dia” yang
sesat itu yang menganggap segala sesuatu sebenarnya Dia (Tuhan).
Kalau dikatakan
pula juzuk-juzuk yang terpisah dari Allah itu akan fana bermakna Allah juga
akan fana dan kalau dikatakan pula bahawa juzuk-juzuk itu tidak akan fana
tetapi sebaliknya akan bergabung kembali dengan zat Allah yang merupakan
puncanya maka tidak ada perbezaan pula dengan kepercayaan orang-orang Kristian
terhadap Nabi Isa dan fahaman yang seperti inilah asas kepada Trinity. Tetapi
orang-orang Kristian menghadkan pecahan Tuhan kepada tiga sahaja. Golongan ini
pula telah memasukkan sekelian makhluk dalam lingkungan ketuhanan.
Seandainya kita
menerima satu juzuk daripada zat ini telah terpisah dari zat Allah maka ia akan
membawa kepada dua keadaan: Pertama: Sesuatu yang boleh dibahagikan kepada
beberapa juzuk adalah jisim dan akan musnah. Ini membawa kepada Allah
dipercayai berjisim dan akan musnah. Kedua: Bila dianggap satu juzuk daripada
Allah telah terpisah daripadaNya, maka ia bermakna sudah pasti berlaku
kekurangan pada zat Allah.
6. Tujuan Sebenar
Mengapa Konsep Nur Muhammad Diketengahkan
Pengamatan secara
logik terhadap riwayat-riwayat ini sebenarnya akan membawa kita kepada satu
natijah bahawa riwayat-riwayat yang seperti ini merupakan “tabarra” (pernyataan
rasa benci) terhadap Allah Taala. Perkara yang seperti ini tidak hairan jika
datangnya daripada seorang Syiah. Yang paling menghairankan ialah bagaimana
ramai daripada ulamak-ulamak Islam terpedaya dengannya sehingga menganggapnya
sebagai suatu keistimewaan Rasulullah pula.
Anggapan bahawa
Allah adalah Nur adalah salah kerana Nur adalah makhluk Allah. Makhluk dan
Khaliq adalah berlainan. Kalau tidak akan lahirlah aqidah “Wahdatul Wujud”
tadi. Dalam Al Quran dapat kita lihat sekian banyak ayat yang menunjukkan Nur
sebagai makhluk, contohnya:
1. “Dia telah
menjadikan kegelapan dan cahaya” (Surah Al An’am: 1)
2. “Kami telah
jadikan untuk manusia nur (cahaya) yang mana dia membawanya dikalangan manusia”
(Surah Al An’am: 122)
3. “Sesiapa yang
Allah tidak menjadikan untuknya nur (cahaya), dari manakah akan diperolehinya
nur?” (Surah An Nur: 40)
Perlu diingat
bahawa “ja’il” dan “ma’jul” yakni yang menjadikan dan yang dijadikan itu tidak
mungkin sama kerana “ja’il” bererti yang mencipta sedangkan “ma’jul” bermakna
yang diciptakan atau makhluk sedangkan pencipta dan yang dicipta, pembuat dan
yang dibuat mustahil sama. Ramai juga orang terkeliru apabila membaca firman
Allah yang berbunyi, “Allah adalah nur langit-langit dan bumi”. Orang-orang
awam mungkin sekali terpedaya dengan ayat-ayat yang seperti ini tetapi amat dikesali
sekiranya alim ulamak terpedaya dengannya kerana dalam bahasa Arab nur adalah
“masdar” dan “masdar” ada kalanya memberi makna “masdari”, ada kalanya memberi
makna maf’ul dan ada kalanya memberi makna “fa’il”. Kerana itulah ahli-ahli
tafsir yang muktabar mentafsirkan ayat ini dengan mengatakan, “Allahu munawwiru
assamaawaati wal ardh (Allah yang menyinari langit-langit dan bumi)”
Jika Allah bukan
Nur maka sudah tentu tidak timbul lagi persoalan kejadian sesuatu daripada
NurNya. Sekiranya Nur Muhammad itu benar-benar diciptakan daripada Nur, apakah
halangannya kepada Allah untuk menyatakan dengan terus terang bahawa Dia
menjadikan nabi Muhammad daripada Nur sebagaimana dijadikan Malaikat?
Masalahnya apabila dikatakan asal kejadian manusia itu daripada nur maka ia
akan bertentangan dengan ayat Allah yang lain yang bermaksud, “ kami telah
menciptakan manusia daripada tanah ……”
Bagaimanapun itu
adalah pendapat Maulana Habibur Rahman yang mungkin sebahagian daripada
komentarnya itu boleh dipertikaikan atau ditakwilkan. Misalnya dengan
mengatakan, “Memang Allah itu Nur tetapi bukan seperti Nur yang lain seperti
mana yang dinyatakan Allah mempunyai tangan (di dalam al-Quran) tetapi bukan
seperti tangan makhluk. Begitu
juga Allah mempunyai mata tetapi bukan seperti mata makhluk. Apa yang hendak
dinyatakan ialah nur itu ialah salah satu daripada nama sifat tuhan dan ini
diterima oleh semua.
Yang dimaksudkan
dengan menjadikan nur NabiNya daripada nurNya bukanlah bermakna menjadikan Nur
Muhammad daripada sebahagian nur Tuhan yakni dengan memakai “min li attab ‘idh”
dengan erti sebahagian atau satu juzuk daripada Nur Tuhan”. Tidakkah boleh juga
dipakai “min” itu dengan erti “ibtida’iah” bermakna kejadian Nur Muhammad itu
berpunca daripada sifat nur Allah seperti dalam Al Quran Allah menyebutkan
tentang kejadian Nabi Adam bermaksud, “Bila Aku menyempurnakan kejadiannya
(Adam) dan meniupkan ke dalamnya “min ruhi” (daripada ruhKu) “Di sini tidak
bermakna ruh Nabi Adam itu dijadikan daripada sebahagian ruh Allah dengan memakai
“min li attab’idh” tetapi semua ulamak mengatakan bahawa ruh Nabi Adam itu
adalah daripada kejadian Allah swt yakni Allah yang menjadikan ruh dan
meniupkannya ke dalam tubuh Nabi Adam. Ini bererti persamaan yang terdapat pada
perkataan nur atau ruh itu adalah persamaan pada lafaz sahaja bukannya
persamaan sifat hakikat itu seperti sifat Tuhan Al-Malik yang bererti raja,
apakah Raja yang terdapat di dunia ini boleh disamakan dengan Allah yang
bersifat Al-Malik itu kerana ia seorang Raja, dan ia dikatakan “Al Malik
dikalangan manusia? Tentu sekali tidak.!
Bagaimanapun
perkara ini mengelirukan sehingga ada sesetengah ulamak yang menyimpulkan
begitu. Sebagai contohnya Maulana Habibur Rahman kerana realiti yang dihadapi
oleh beliau daripada kepercayaan dan gelagat-gelagat golongan barelwi yang
terdapat di India dan Pakistan dengan jelas menyatakan nur Muhammad itu adalah
sebahagian daripada Nur Tuhan sebagaimana yang terdapat dalam serangkap syair
dalam bahasa Urdu oleh salah seorang tokoh Barelwi begini bunyinya:
“Vohi jo mustavi
arasy tha khudha ho kar”
Utar para Madina
mei Mustafa ho kar”
Bermaksud:
“Dialah yang
telah bersemanyam di atas arasy sebagai Tuhan
Turun ke Madinah
sebagai Mustafa (Muhammad)”
Bukankah
penyelewengan yang seperti ini berpunca daripada pentafsiran tentang Nur
Muhammad yang dikatakan berasal daripada hadis itu?.
Memanglah tidak
sia-sia takwilan yang telah dikemukakan tadi kalau sekiranya ia dikemukakan
untuk menyelesaikan kemusykilan yang timbul daripada hadis yang sahih tetapi
setelah jelas hadits itu bukan sahih bahkan ia adalah hadis yang maudhu’, tidak
perlu lagi kepada takwilan yang seperti itu. Apalagi ia membuka pintu kepada
golongan-golongan yang menyeleweng yang membawa fahaman “Wahdatul Wajud” (Serba
Dia) atau aqidah Triniti dan sebagainya.
Untuk diterima
Nabi Muhammad merupakan Nur dalam pengertian majazi (bahasa pinjaman) tidaklah
ditolak oleh semua ulamak. Memanglah Nabi Muhammad mempunyai sifat seperti
cahaya yang menyinari kegelapan kekufuran. Kalau terdapat ayat-ayat Al Quran
yang menyebutkan Nabi Muhammad sebagai Nur maka ia mengisyaratkan kepada erti
yang seperti ini. Sama sekali ia tidak menunjukkan Nabi Muhammad berasal
daripada Nur seperti kejadian malaikat umpamanya. Dalam pengertian majazi ini
Nur tidak dikhususkan untuk Nabi Muhammad sahaja bahkan Nur juga dipakai dengan
erti ugama Islam, Al Quran dan lain-lain lagi.
Sebenarnya
riwayat-riwayat yang seperti ini adalah rekaan orang-orang Syiah dengan tujuan
meratakan jalan untuk konsep “Panjthan” dalam ajarannya yang mengatakan bahwa
Nur itu berpecah kepada lima iaitu Nabi Muhammad, Ali, Fatimah, Hasan dan
Husain. Mereka berharap apabila ummat Islam bersedia menelan sebiji ubat pahit
ini, maka mereka akan terus bersedia menelan biji-biji ubat yang lebih pahit
daripada itu. Kerana itulah dapat kita lihat di dalam tafsir-tafsir Al-Kalbi
dan ahli-ahli seerah yang terpedaya dengannya, bahawa Nur itu berpindah-pindah
daripada Nabi Adam kepada Nabi Syith dan seterusnya kepada Abdul Mutalib.
Selepas Abdul Mutalib Nur itu berpecah kepada dua, Yang pertama pergi kepada
Abdullah ayahanda Nabi kita Muhammad saw. Dan yang kedua pergi kepada Abdu
Manaf atau Abu Talib iaitu ayah kepada Sayyidina Ali.
Kenyataan ini
tersebut dalam kitab-kitab Syiah seperti “Ilaalu As Syarai” jilid 1 muka surat
159 karangan Ibn Babwaih dan “Khitabu Al Khisal” jilid 1 muka surat 189 oleh
pengarang yang sama.
Daripada
Abdullah, Nur itu diterima oleh Nabi kita, daripada Abdu Manaf ia diterima oleh
Sayyidina Ali. Kerana itulah mereka memanggil Nabi sebagai “Imamul Anbiya” dan
Sayyidina Ali sebagai “Imamul Auliya”.
Riwayat ini
dengan terang menyatakan bahawa Sayyidina Ali mempunyai kesamaan darjat dengan
Rasulullah s.a.w. Keistimewaan yang diperolehinya bukanlah melalui Nabi tetapi
melalui kejadian semulajadinya. Kerana itulah Baqir Al Majlisi dalam “Jilaau Al
‘Uyun” meriwayatkan bahawa di hari pertama kelahirannya lagi Sayyidina Ali
telah bercakap. Dia bertanya Nabi s.a.w., “Adakah engkau mengenali diriku?”
Nabi s.a.w menjawab, “Ya”. Kemudian Nabi saw bertanya Sayyidina Ali begitu juga
dan Sayyidina Ali juga menjawab, “Ya” hari ini dinamakan hari “Arfah” iaitu
“Hari Perkenalan”.
Tujuan mereka
mengadakan riwayat yang seperti ini ialah untuk mengemukakan jalan Wilayah dan
Imamah yang beriringan dengan jalan Nubuwwah dan Risalah. Tidak hairanlah jika
dilihat dalam silsilah-silsilah tarekat tasauf yang berusaha mendapatkan maqam
kewalian, mempunyai perkaitan dan perhubungan dengan Sayyidina Ali. Semuanya
berakhir dan berhenti silsilahnya pada Sayyidina Ali yang merupakan Imamul
auliya’ seolah-olahnya tidak ada sahabat-sahabat yang lain yang merupakan jalan
untuk sampai kepada maqam kewalian itu selain daripada Sayyidina Ali. Bukankah
ini merupakan suatu kesan daripada memecahkan Nur Muhammad kepada Abdullah dan
Abu Talib tadi?.
Ibn Saad,
Thabarani , Abu Nu’aim, Bazzar dan lain-lain telah menukilkan satu riwayat
ketika mentafsirkan ayat yang bermaksud, “Dia melihat engkau ketika engkau
berdiri dan berbolak balik di kalangan orang-orang yang sujud”, bahawa ayat ini
bermaksud, “Bahawa Rasulullah s.a.w. dalam perpindahannya dalam sulbi para Nabi
bermula daripada Adam sampailah kepada kemunculannya dilihat oleh Allah”,
padahal “siaq” (ayat berikut) dan “sibaq” (ayat sebelum) ayat ini langsung
tidak menyokong tafsiran yang dikemukakan malah riwayat ini adalah palsu kerana
ia telah dinukilan oleh Al Kalbi daripada Ibn Abbas, sedangkan anak-anak murid
Ibn Abbas seperti Mujahid, Ikrimah, Qatadah dan lain-lain pula tidak
mengemukakan tafsiran seperti ini bahkan mereka semua menyatakan, “Yang
dimaksudkan dengan “berbolak balik engkau itu” ialah “qiam dan sujud engkau
dalam sembahyang bersama sahabat”.
Selain dari itu
dakwaan Nur Muhammad itu berpindah dari seorang nabi kepada seorang nabi yang
lain terus menerus sampailah kepada Nabi Muhammad adalah sesuatu yang salah
kerana berapa orangkah daripada anak cucu Nabi Ismail selain daripada
Rasulullah saw yang telah dilantik menjadi Nabi?. Begitu juga berapa orangkah
yang dilantik menjadi Nabi daripada anak cucu Nabi Nuh hingga kepada Nabi
Ibrahim? Sebenarnya dakwaan ini tidak berasas sama sekali.
Kalau dimaksudkan
perpindahan Nur Muhammad itu adalah di kalangan nenek moyang Nabi, maka itu
bercanggah dengan kenyataan kerana ramai sekali di antara nenek moyang Nabi
kita terdiri dari orang musyrik dan penyembah berhala dan inilah pegangan Ahlus
Sunnah Wal Jamaah. Untuk menyembunyikan satu dusta kadang-kadang manusia itu
terpaksa mengada-adakan sesuatu yang tiada atau terpaksa berdusta beratus-ratus
kali. Oleh kerana Syiah telah menetapkan bahawa kesemua nenek moyang Rasulullah
s.a.w. adalah berugama Islam, terpaksalah mereka mengada-adakan sekian banyak
hadis palsu yang lain sepertimana dapat dilihat dalam hadis-hadis yang
menyatakan perpindahan Nur Muhammad daripada seorang nabi kepada seorang nabi
yang lain, dari Adam dan berakhir pada Abdul Mutalib, dari Abdul Mutalib itu
Nur Muhammad tadi berpecah dua, satu pergi kepada Abdullah ayah Nabi kita dan
satu lagi pergi kepada Abdu Manaf iaitu Abu Talib, ayah kepada Sayyidina Ali.
Tujuan mereka
ialah meletakkan Sayyidina Ali sejajar dengan Rasulullah s.a.w. dan tidak
kurang daripada Nabi s.a.w. Kalau Nabi merupakan Sayyidul Anbiya’ maka
Sayyidina Ali pula merupakan Imamul Auliya’. Sementara Imam Wali dan Wasi pula
bagi mereka (golongan Syiah) adalah satu pangkat yang sebenarnya tidak kurang
daripada pangkat kenabian kerana terdapat segala ciri kenabian padanya seperti
dilantik oleh Allah; wajib ditaati, terpelihara daripada dosa-dosa, didatangi
oleh malaikat yang lebih agung daripada Jibril dan Mikail, cuma ia tidak
dinamakan “Nabi” sahaja. Dari sini dapat kita lihat bahawa kejadian Nur
Muhammad itu bertitik tolak juga daripada ajaran Syiah.
Jika dilihat
daripada konsep “Panjthan” oleh Syiah iaitu lima peribadi istimewa iaitu Nabi
Muhammad, Ali, Fatimah, Hasan dan Husain, kita dapati bahawa konsep Nur
Muhammad ini betul-betul berpunca daripada Syiah misalnya daripada satu riwayat
Syiah yang diambil daripada Sayyidina Ali daripada Rasulullah s.a.w., sabdanya,
“Sesungguhnya aku dan Ahli Baitku merupakan Nur di hadapan Allah Tabarakwatala
sebelum Dia menjadikan Adam selama 14,000 tahun” - Al Ihtijaj jilid 1 muka
surat 212 karangan At Thabarsi. Dalam satu riwayat yang lain disebutkan” ……
7,000 tahun sebelum kejadian Adam” – Iiaau As Syara’ jilid 1 muka surat 208
karangan Ibn Babwaih. Dalam riwayat yang ketiga tersbut “Aku dan Ali diciptakan
dalam satu nur 2,000 tahun sebelum Allah menjadikan Adam” – (ibid) jilid 1 muka
surat 134.
7. Sanggahan
Terhadap Konsep Nur Muhammad
Sementara itu
jika dilihat di dalam riwayat yang mula-mula dikemukakan dalam maqalah ini
tersebut bahawa daripada Nur Muhammad dijadikan Abu Bakr, Umar, Utsman dan Ali,
bagaimana ini boleh berlaku sedangkan dalam riwayat-riwayat Syiah semua ini
tidak ada? Mungkin juga ada orang Ahlus Sunnah yang jahil telah berusaha
menandingi riwayat yang direka oleh Syiah itu dengan mereka hadits Nur Muhammad
yang berpecah kepada Sayyidina Abu Bakr, Umar, Utsman dan Ali untuk membuktikan
bahawa mereka itu juga tidak kurang daripada Ali atau mungkin juga riwayat
inipun direka oleh Syiah atas nama Ahlus Sunnah untuk menunjukkan bahawa ahlus
sunnah juga tidak berbeza dengan mereka dalam konsep asal Nur Muhammad itu
sendiri. Yakni Ahlus Sunnah juga menerima kewujudan Nur Muhammad sebagai makhluk
yang pertama lahirnya daripada Tuhan seperti yang dipercayai oleh Syiah?.
1. Nur Muhammad
itu begitu istimewa sehingga diriwayatkan bahawa seramai 200 orang perempuan
Bani Abdul Manaf dan Qabilah Makhzum telah mati kerana tergila-gilakan Abdullah
ayahanda Nabi Muhammad saw. Mereka mati dalam keadaan membujang dan tidak ada
seorangpun daripada perempuan Quraisy yang tidak jatuh sakit kerana kecewa
tidak dapat menjadi isteri Abdullah. Yang menjadi persoalan kepada kita ialah,
“Bolehkah ahli-ahli kisah Maulud Nabi mengemukakan senarai nama 200 orang
daripada Bani Abdu Manaf dan Bani Makhzum yang dikatakan telah mati kerana
tidak dapat menjadi isteri Abdullah.
2. Bolehkah
mereka mengemukakan nama-nama hanya 10 orang perempuan Bani Makhzum dan Bani
Abdu Manaf yang tidak berkahwin sepanjang hidupnya itu?.
3. Kenapakah
ramai anak-anak gadis dan perempuan daripada kedua-dua keluarga ini sahaja yang
kecewa kerana tidak dapat berkahwin dengan Abdullah? Kenapa pula perempuan dari
Bani Zuhrah, Bani Jumah, Bani Asad, Bani Khuwailid, Bani Taim, Bani Adiy dan
Bani Ghalib tidak pula mengalami kekecewaan yang seperti itu?.
4. Mungkin juga
Walid bin Mughirah, Abu Jahal dan lain-lain memusuhi Nabi kerana membalas
dendam di atas kematian ibu-ibu dan anak-anak gadis mereka yang telah terkorban
kerana tidak terpilih sebagai isteri Abdullah!.
5. Salah seorang
anak Abdul Manaf bernama Hasyim dan anak-anak cucu Hasyim dinamakan Bani
Hasyim. Bolehkah ahli-ahli kisah Maulud Nabi menceritakan berapa ramaikah
agaknya anak-anak gadis atau perempuan-perempuan daripada Bani Hasyim yang
telah mati atau terus membujang kerana kecewa untuk menjadi isteri Abdullah?.
6. Kalaulah
diterima kisah itu maka ia bererti malam perkahwinan Abdullah dan Aminah
merupakan malam perkabungan bagi penduduk Mekah! Agaknya mereka juga berkabung
seperti orang-orang yang berkabung pada 10 Muharram dan menyatakan “tabarra”
terhadap Abdullah. Apakah perkara ini sebenarnya boleh ditonjolkan sebagai
keutamaan Nabi? Atau ia sebenarnya merupakan “tabarra” dalam bentuk yang sangat
cantik terhadap Nabi dan ayahandanya Abdullah?.
Dalam
riwayat-riawayat tersebut bahawa Nur Muhammad itu sampai kepada Abdul Mutalib
ketika beliau sedang tidur di dalam Ka’bah pada waktu siang. Sebaik sahaja
terjaga matanya kelihatan bercelak, rambutnya kelihatan berminyak, wajah dan
tubuhnya kembali menjadi muda belia. Abdul Mutalib terkejut dengan keadaannya
sendiri. Maka ia dibawa oleh ayahnya mengadap seorang tukang tenung dari
kalangan Quraisy. Berkata tukang tenung itu, “Allah telah mengizinkan agar anak
ini dikahwinkan”.
Nur Muhammad di
dalam diri Abdul Mutalib telah menyebabkan tubuhnya wangi seperti kasturi.
Apabila orang-orang Quraisy ditimpa kesusahan dan lain-lain mala petaka mereka
menjadikan Nur Muhammad itu sebagai wasilahnya agar doa mereka diterima.
Riwayat ini dikemukakan oleh Abu Saad Naisaburi wafat 307H di dalam kitab
Syarafu Al Mustaffa melalui sanad Abu Bakr bin Abi Maryam daripada Ka’ab Al
Ahbar seorang muallaf yang berasal Yahudi dari kalangan tabii.
Pertama sekali
perlu dilihat bahawa silsilah riwayat ini terhenti pada seorang tabi’i, tidak
tersebut pula sanad di atasnya. Walaupun Kaab Al Ahbar dianggap sebagai yang
terbaik di antara muallaf Yahudi namun Imam Bukhari mengatakan dia pembohong .
Dialah yang merupakan punca dan sebab utama bagi riwayat-riwayat Israiliat yang
ganjil dan pelik.
Sementara perawi
di tengahnya ialah Abu Bakr bin Abi Maryam. Beliau dengan ittifaq tokoh-tokoh
hadis merupakan seorang perawi yang dhaif. Kerana satu kemalangan yang
menimpanya, fikirannya jadi tak tentu hala. Selain itu Ka’ab Al Ahbar telah
mati di zaman Sayyidina Utsman yakni sebelum tahun 35H sedangkan Abu Bakr bin
Abi Maryam pula wafat pada tahun 156H. Abu Bakr bin Abi Maryam adalah seorang
‘abid dan zahid. Walaubagaimanapun riwayat-riwayatnya tidak diterima oleh
ulamak-ulamak hadis. Bagaimana ia boleh menerima sebarang riwayat daripada
Ka’ab yang telah begitu lama meninggal sebelum daripadanya?.
Nama asal Abdul
Mutalib ialah Syaibah. Ayahnya Hashim telah pergi ke Syam untuk tujuan
perniagaan. Dalam perjalanan ia berhenti di Madinah. Di sana ia telah terpikat
dengan seorang gadis bernama Salma dari Banu Najjar dan berkahwin dengannya.
Setelah beberapa hari bersamanya Hasyim berangkat ke Syam dan semasa pulang
dari Syam Hasyim telah meninggal dunia dalam perjalanannya di Ghaza. Tetapi
Salma sudahpun mengandung pada ketika itu. Bila ia melahirkan anak didapati
rambut anaknya itu beruban, lalu diberi namanya a”Syaibah”. Ia dipelihara di
Madinah selama 8 tahun. Apabila saudara Hasyim yang bernama Muttalib mendapat
tahu ia terus pergi ke Madinah dan membawa pulang anak itu bersamanya ke Mekah.
Oleh kerana anak itu dididik dan dipelihara oleh Muttalib, orang ramai mula
memanggilnya dengan “Abdul Muttalib”.
Yang menjadi
persoalannya ialah ayah Abdul Muttalib itu meninggal dunia sebelum kelahirannya
lagi, adakah setelah mati selama 15 atau 16 tahun ayahnya hidup kembali untuk
membawanya pergi bertemu dengan seorang tukang tenung Quraisy? Ini dengan jelas
menunjukkan Ka’ab Al Ahbar itu adalah pendusta sepertimana yang dinyatakan oleh
Imam Bukhari, ia tidak mengetahui sejarah hidup orang Mekah atau mungkin juga
kisah ini merupakan hasil fikiran Abu Bakr bin Maryam yang sudah tak tentu hala
itu?.
Daripada kisah
ini dapat diketahui beberapa perkara:
1. Menjadikan Nur
Muhammad sebagai wasilah itu sebenarnya sunnah orang- orang kafir Mekah.
2. Nur Muhammad
itu berpindah daripada seorang kepada seorang yang lain apabila ia menjadi
remaja. Jangan-jangan “Nur keremajaan” itu pula yang dipercayai sebagai Nur
Muhammad!.
3. Orang-orang
yang telah dipilih menerima Nur Muhammad dari satu generasi kepada satu
generasi yang lain rupanya tidak berkahwin melainkan dengan kebenaran Allah dan
cara untuk mengetahui keizinan Allah itu ialah dengan mengadu nasib kepada
tukang tenung.
Ada pula riwayat
yang menyebutkan bahawa bila Nur Muhammad itu bersinar-sinar di dahi Abdullah
maka ia dikenali dan dicam oleh seorang tukang tenung perempuan. Dia mengajak
Abdullah untuk tidur bersamanya dengan harapan Nur itu akan berpindah
kepadanya. Tetapi bukan dia yang bertuah mendapatkan Nur itu kerana Abdullah
enggan mengikutinya dan terus pulang ke rumah. Di rumahnya ibunda Nabi s.a.w.
telah dipilih Allah sebagai pewaris Nur Muhammad itu.
Setelah Nur
Muhammad itu berpindah kepada Aminah, Abdullah datang semula kepada tukang
tenung itu dan memintanya untuk bersama tetapi tukang tenung perempuan itu pula
yang menolak dengan alasan “Nur yang berkilau di dahimu sebelum ini telahpun
berpindah ke lain. Riwayat ini dengan perincian dan lafaz yang berbeza-beza
dikemukakan oleh Ibn Saad, Kharaiti, Ibn Asakir, Baihaqi dan Abu Nu’aim di
dalam “Dalail” masing-masing.
Ibn Saad dalam
“Tabaqat”nya telah mengemukakan riwayat ini melalui tiga jalan. Jalan yang
pertama terdapat padanya Waqidi sebagai perawi yang pertama dan di dalam
riwayat yang kedua terdapat Al Kalbi. Kedua-dua mereka ini terkenal sebagai
pendusta. Sementara jalan riwayat yang ketiga pula berhenti pada Abu Yazid Al
Madani seorang tabii, ertinya perawi di atasnya tidak diketahui. Abu Yazid Al
Madani ini walaupun telah ditausiqkan oleh sebahagian tokoh-tokoh hadis tetapi
Syeikhul Kul di Madinah Imam Malik berkata, “Aku tidak mengenalinya” Abu Zurah
pula berkata, “Saya tidak tahu tentangnya”.
Abu Nu’aim pula
mengemukakan riwayat ini melalui empat jalan tetapi tidak ada satupun daripada
sanad-sanadnya boleh dipegang kerana di dalam sanad-sanadnya boleh dipegang
kerana di dalam sanad yang pertama terdapat Nadhar bin Salamah, Ahmad bin
Muhammad dan Abdul Aziz bin Amar Az Zuhri. Ketiga-tiga mereka ini adalah orang
yang tidak diterima oleh tokoh-tokoh ilmu rijal hadis.
Dalam sanad yang
kedua terdapat Muslim bin Khalid Az Zinji dan dia dianggap sebagai perawi yang
dhaif. Selainnya terdapat beberapa perawi yang “majhul” (tidak diketahui latar
belakangnya).
Sanad yang ketiga
pula terhenti pada Yazid bin Syihab Az Zuhri. Dia tidak menyatakan silsilah
sanad di atasnya dan keadaannya sendiripun tidak diketahui. Sanad Baihaqi tidak
lain daripada sanad yang ketiga yang dikemukakan oleh Abu Nuaim tadi. Adapun
sanad oleh Kharaaithi dan Ibn Asakir pula adalah sanad yang tidak muktabar.
Dalam kenyataan
yang ringkas ini tidaklah penulis bercadang untuk memperincikan setiap perawi
yang merupakan mata rantai sanad-sanad riwayat ini. Cukuplah dengan disebutkan
bahawa perawinya adalah orang-orang yang tidak boleh diterima periwayatannya.
Apa yang perlu diteliti oleh kita ialah sudut dirayahnya yang secara
terang-terang menunjukkan kepalsuannya kerana ia menunjukkan ayahanda Nabi kita
Muhammad saw sebagai seorang yang bermata keranjang dan jahat. Apabila ia
menyatakan bahawa kerana sesuatu sebab Abdullah telah menolak ajakan tukang
tenung perempuan yang juga pelacur itu tetapi kemudiannya dia sendiri yang
mencari perempuan itu untuk digaulinya, perkara ini sahaja sudah cukup untuk
kita menentukan sama ada riwayat ini sebenarnya menyatakan kelebihan Nabi atau
ia merupakan satu bentuk tabarra terhadap ayah Nabi saw dan menampilkannya
sebaga seorang yang jahat?.
8. Kesimpulan:
Daripada
perbincangan yang lalu dapat disimpulkan beberapa perkara:
1. Hadits-hadits
yang berhubung dengan Nur Muhammad tidak ada satupun yang sahih, bahkan tidak
ada satupun yang dhaif.
2.
Riwayat-riwayat tentang Nur Muhammad sebagai kejadian yang pertama diciptakan
bertentangan dengan hadis-hadis yang sahih yang menyatakan arasy dan qalam
sebagai kejadian yang pertama.
3. Kejadian
manusia bukanlah daripada Nur seperti kejadian malaikat tetapi ia dijadikan
daripada tanah.
4. Ada beberapa
hadis sahih yang menyatakan Nabi saw berdoa meminta supaya Allah menjadikannya
Nur. Bermaksud: “Ya Allah! Jadikanlah aku Nur” Apa ertinya Nabi meminta supaya
dijadikannya cahaya kalau baginda sememangnya berasal daripada cahaya?
5. Hadis-hadis
tentang Nur Muhammad sebenarnya merupakan rekaan orang-orang Syiah sebagaimana
yang dapat dilihat dengan jelas di dalam kitab-kitab mereka.
6. Hadis tentang
Nur Muhammad adalah direka untuk membuka jalan untuk diterima konsep “Nur
Panjthan”.
7. Perkataan
“Nur” yang disandarkan kepada Nabi adalah dengan ertinya yang majazi (bahasa
pinjaman) sebagaimana perkataan Nur juga secara majazi dipakai untuk ugama, Al
Quran dan lain-lain.
8. Hadits-hadits
atau riwayat yang menceritakan tentang Nur Muhammad itu banyak juga menampilkan
unsur-unsur “tabarra” (pernyataan rasa benci dan dendam kesumat) terhadap Nabi
saw dan ayahandanya.
9. Ia memuatkan
banyak sekali peranan dan mitos daripada ugama dan budaya asing seperti Hindu
dan lain-lain dalam merupakan Nur Muhammad sebagai rupa burung merak dan
lain-lain rupa menurut kepercayaan mereka tentang tanasukh, awagaman atau
inkarnasi.
10. Ia telah terbukti merupakan satu daripada beberapa
faktor utama kesesatan golongan Barelwi, Ilmu Isi, Bathiniah dan lain-lain .
Oleh yang demikian tidaklah wajar Nur Muhammad itu ditonjolkan sebagai suatu
keistimewaan Nabi Muhammad s.a.w. malah sebaliknya kita ummat Islam semestinya
menganggapnya sebagai satu penghinaan terhadap Nabi kita.
No comments:
Post a Comment